fbpx

Menilai Kemampuan Syarikat Membayar Hutang Menggunakan Nisbah Kecairan

0 86

Nisbah kecairan (liquidity ratio) mengukur kemampuan sesebuah syarikat untuk membayar hutang jangka masa pendeknya berdasarkan jumlah aset semasa. Ada dua jenis nisbah yang pelabur perlu tahu iaitu nisbah semasa (current ratio) dan nisbah pantas (quick ratio).

 

Untuk tujuan kira-kira, kita akan rujuk kepada laporan kewangan Serba Dinamik. Laporan penuh boleh dapatkan di laman rasmi Serba Dinamik

Advertisement

 

Berikut adalah item-item penting untuk pengiraan nisbah semasa, quick ratios dan nisbah tunai kepada hutang jangka pendek.

i) Jumlah aset semasa:  RM3,965,143

ii) Tunai: RM1,306,590

iii) Akaun Penghutang (Accounts receivables): RM1,256,132

iv) Jumlah liabiliti semasa: RM925,735

v) Hutang jangka pendek: RM400,903

 

Setelah mendapatkan data-data di atas, kita boleh memulakan perkiraan kita.

Bacaan berkaitan: Analisa Nisbah, Menilai Tahap Kesihatan Kewangan Syarikat

Nisbah Semasa

Nisbah semasa = Jumlah aset semasa / Jumlah liabiliti semasa

Nisbah semasa = RM3,965,143 / RM925,735 = 4.28

 

Nisbah semasa digunakan bagi mengukur kemampuan syarikat untuk membayar hutang yang perlu dibayar bagi tempoh 1 tahun. Jika nisbah semasa di bawah 1, ini bermakna syarikat tersebut akan berdepan kesukaran untuk membayar hutang jangka masa pendek.

 

Walau bagaimana pun, nisbah semasa lebih 1 juga tidak semestinya bagus. Ada kemungkinan aset semasanya tinggi kerana akaun penghutangnya terdiri daripada hutang-hutang lama, atau dalam bahasa mudahnya syarikat tersebut menghadapi kesukaran untuk mengutip hutang daripada pelanggan.

 

Selain itu, perlu lihat juga kepada inventorinya, adakah aset semasa syarikat tinggi disebabkan inventorinya tinggi, dan adakah inventori tinggi disebabkan syarikat sukar menjual produknya.

 

Jika nisbah semasa terlampau tinggi pula seperti contoh di atas, ada kemungkinan bahawa syarikat ini tidak menggunakan aset semasa dengan efisyen atau tidak mengurus modal kerja (working capital) dengan baik. Untuk mengetahui lebih lanjut, anda boleh baca notes untuk setiap item dalam aet semasa tersebut.

 

Nisbah pantas (Quick ratios)

Nisbah pantas merupakan indikator yang mengukur kemampuan syarikat untuk membayar hutang jangka pendek menggunakan aset yang paling mudah untuk dicairkan. Ia juga dikenali sebagai acid test ratio.

 

Nisbah pantas (Quick ratios) = (Aset tunai + Sekuriti Boleh Pasaran (Marketable Securities) + Akaun Penghutang) / Liabiliti Semasa

Nisbah pantas = (RM1,306,590 + RM1,256,132) / RM925,735 = 2.78

 

Seperti mana nisbah semasa, jika nisbah pantas berada di bawah paras 1 bermakna syarikat mungkin berdepan kesukaran untuk membayar hutang jangka masa pendeknya.

 

Untuk nisbah ini, kita melihat kepada aset yang boleh ditukarkan kepada tunai dengan pantas tanpa mengurangkan nilai. Contohnya dalam inventori ada barang mentah bernilai RM10,000, tetapi jika ingin dijual dalam tempoh 90 hari, ia perlu dijual dengan diskaun. Contohnya dijual pada RM7,000, sebab itu inventori tidak dimasukkan dalam formula nisbah pantas.

 

Begitu juga dengan akaun penghutang, perlu lihat sama ada mampukah syarikat mengutip hutang daripada pelanggan/vendor dengan pantas, apakah kontrak pembayarannya.

 

Nisbah Tunai Kepada Hutang Jangka Pendek

Nisbah ini merupakan indikator terbaik untuk mengukur sama ada sesebuah syarikat akan menghadapi masalah untuk membayar hutang. Jika nisbahnya kurang daripada 1, bermakna syarikat akan menghadapi kesukaran untuk membayar hutangnya.

 

Nisbah Tunai Kepada Hutang Jangka Pendek = (Tunai + Sekuriti) / Hutang Jangka Pendek

Nisbah Tunai Kepada Hutang Jangka Pendek = RM1,306,590 / RM400,903 = 3.25

 

Kesimpulan

Langkah untuk menilai kebolehan syarikat untuk membayar hutang adalah dengan melihat kepada nisbah tunai kepada hutang jangka pendek terlebih dahulu. Jika lepas paras 1, kemudian quick ratios dan akhir sekali nisbah semasa.

 

Secara umum, jika semua nisbah kecairan kurang daripada 1, syarikat tersebut mungkin menghadapi masalah pembayaran hutang.

You might also like

Leave A Reply

Your email address will not be published.