fbpx

Mike Gordon – Perencana Kejayaan Liverpool

0 377

Sebaik kelab bertukar tangan dari pemilikan George Gillett dan Tom Hick kepada Fenway Sports Group (FSG) pada Oktober 2010, Liverpool tahu ia mengambil masa untuk pulih daripada legasi pengurusan bermasalah yang ditinggalkan pemilik lama mereka.

 

Individu yang bertanggungjawab memperbetulkan semua ini dan meletakkan Reds di landasan tepat bergelar juara liga tidak lain tidak bukan ialah Mike Gordon.

 

Advertisement

Bagi penyokong Reds, nama Gordon mungkin tidak segah Jurgen ‘Run, Forrest, Run’ Klopp tetapi beliaulah yang bertanggungjawab menrencanakan pengurusan harian Reds dari Boston, Amerika Syarikat.

 

Walaupun sudah dikenali sebagai antara pemegang saham FSG yang mengambil alih Boston Red Sox pada 2002, penglibatan penuh orang kuat FSG berusia 55 tahun ini hanya bermula pada tahun 2013.

 

Selepas menutup dana lindung nilai yang diusahakan bersama pemilik pasukan hoki ais Tampa Bay Lightning, Jeffrey Vinik pada tahun itu, FSG melantiknya sebagai presiden pada tahun 2014.

 

Setahun selepas itu, Gordon dilantik sebagai pengarah kelab yang bertanggungjawab memantau urusan harian kelab.

 

Perpindahan pemain

Walaupun jauh dari Merseyside, beliau sentiasa berhubung dengan pasukan pengurusan kelab seperti CEO Peter Moore, pengarah sukan Michael Edwards dan Klopp sendiri.

 

Namun perjalanannya sebagai ‘point-man’ penting kejayaan Liverpool bermula dengan sukar terima kasih kepada ini: jawatankuasa perpindahan pemain.

 

Selepas menjual Luis Suarez ke Barcelona dengan harga 75 juta paun pada tahun 2014, kebanyakan wang tersebut dibazirkan kepada pemain-pemain yang tidak menyerlah seperti Lazar Markovic, Rickie Lambert dan Mario Balotelli.

 

Musim panas tersebut merupakan satu pengajaran berharga kepada Gordon dan ia juga peluang untuk menilai kesilapan yang dibuat kelab.

 

Bagi yang sudah masak dengan pengurusan kelab-kelab sukan di Eropah, jawatan seperti pengarah sukan bukan sesuatu yang asing.

 

Individu sebegini yang bertanggungjawab merekrut pemain mengikut keperluan pengurus dan merundingkan perjanjian terbaik tanpa menjejaskan kedudukan kewangan kelab.

 

Di England, perkara ini dianggap asing dan beberapa kelab sahaja yang meniru model pengurusan Eropah ini pada awal abad ke-21.

 

Tottenham merupakan kelab pertama Liga Perdana Inggeris (PL) yang menggunakan model ini menerusi perlantikan bekas pengarah sukan PSV, Frank Arnesen sebagai pengarah sukan mereka pada musim 2004-2005.

Rajah 1: Spurs merupakan kelab pertama England yang memilih model pengarah sukan menerusi Frank Arnesen (kiri) pada musim 2004-2005.

Amerika Syarikat juga tidak asing dengan konsep pengurusan sebegini. Jadi, apa sebenarnya yang menjadikan urusan perpindahan Reds bermasalah sebegini rupa?

 

Bagi Gordon, jawapannya mudah saja iaitu pengurus mereka ketika itu, Brendan Rodgers tidak mampu bekerja dengan model pengurusan yang dipilih FSG.

 

Selain itu, kelab merasakan sesetengah pembelian yang dipilih Rodgers sebagai tidak masuk akal dari segi kewangan.

 

Oleh sebab itulah, apabila pengurus berdarah Ireland Utara itu cuba mendapatkan Wilfried Bony sebagai pengganti Suarez, Gordon dan Edwards yang ketika itu menjawat pengarah teknikal kelab menolak permintaannya.

 

Pada musim panas 2015, Gordon membenarkan permintaan Rodgers mendapatkan Christian Benteke dari Aston Villa dengan yuran perpindahan 30 juta paun.

 

Beliau merasakan jika Benteke tidak menjadi sekalipun di Anfield, nilai penyerang Belgium itu masih lagi lumayan khususnya dalam pasaran perpindahan England.

 

Telahan tersebut menjadi kenyataan setahun kemudian bila penyerang itu dijual ke Crystal Palace dengan yuran perpindahan 27 juta paun.

 

Selepas Rodgers disingkirkan pada Oktober 2015, Gordon tahu kunci kejayaan model pengurusan ini ialah pengurus yang mudah bekerjasama dengan model tersebut.

 

Bagi Klopp pula beliau tidak asing dengan semua ini kerana pernah melakukannya bersama Mainz dan Borussia Dortmund selama 14 tahun.

Rajah 2: Klopp sudah biasa dengan model pengarah sukan di Mainz dan Dortmund.

Hal itulah yang membawa kepada perlantikan Klopp sebagai pengganti Rodgers. Sementara Edwards pula dinaikkan pangkat sebagai pengarah sukan kelab pada November 2016. Secara perlahan-lahan, kelab mula berubah menjadi gergasi bola sepak yang disegani.

 

Salah satu rahsia resepi kejayaan Gordon ialah membenarkan semua orang bercakap dengan bebas walaupun ianya tidak sedap di telinga. Baginya, input semua orang penting dari lembaga pengarah hinggalah ke peringkat pengurusan dan staf.

 

Bersama Klopp, Gordon membentuk persahabatan dan hubungan kerja erat dengan pengurus berdarah Jerman itu. Mereka sentiasa berhubung beberapa kali setiap hari membincangkan hal ehwal kelab termasuk pasukan utama.

 

Malah, Gordon juga yang menyakinkan para pelabur FSG menuruti kehendak Klopp yang mengelak jelajah pra-musim lumayan bagi memberi peluang kepada pemain mengikuti sesi kem latihan.

 

Trio Liverpool

Hubungan kerja yang erat antara Klopp, Gordon dan Edwards diterjemahkan dalam beberapa kejayaan. Pada musim panas 2017, Reds mahukan Virgil van Dijk sebagai orang besi mereka tetapi Southampton enggan melayan sebarang cubaan pembelian.

 

Hubungan kedua-dua kelab sangat buruk berikutan tindakan kelab membenarkan pembelian ramai pemain Saints seperti Lambert, Dejan Lovren dan Adam Lallana pada 2015 dan 2016.

Rajah 3: Perpindahan van Dijk (kiri) ke Reds hampir musnah gara-gara hubungan dingin kedua-dua kelab sebelum ia dipulihkan semula oleh Gordon.

Justeru, tidak hairanlah bila Reds menunjukkan minat terhadap van Dijk, Saints memfailkan aduan kepada Persatuan Bola Sepak (FA) terhadap tindakan Liverpool mengumpan bek tengah Belanda itu. Perkara sebegini sudah pasti mendorong kelab mencari alternatif.

 

Namun bagi trio ini, van Dijk merupakan sasaran utama dan mereka tiada keinginan mencari alternatif. Pada musim perpindahan musim sejuk 2018, kelab membayar 75 juta paun kepada Saints dan hubungan kedua-dua kelab di peringkat lembaga pengarah kembali pulih.

 

Trio ini juga bertanggugjawab menjual Philippe Coutinho dengan yuran perpindahan 142 juta paun ke Barcelona dan memilih tidak berbelanja besar pada musim panas lepas.

 

Bagi mereka, masih banyak yang boleh ditawarkan pemain dan ada yang terus menunjukkan peningkatan seperti Mohamed Salah dan Sadio Mane, satu keputusan kewangan yang bijak.

 

Aktiviti komersial

Namun, kejayaan terbesar Gordon ialah meningkatkan pendapatan kelab tanpa meminggirkan penyokong.

 

Anfield kini lebih menyerupai stadium komersial, 17 rakan kongsi komersial dalam tempoh dua tahun kewangan dan keuntungan sebelum cukai tertinggi di dunia untuk pasukan bola sepak sebanyak 125 juta paun pada musim 2017-2018.

 

Bagaimanapun, itu tidak bermakna pengarah yang berpangkalan di Boston itu terlepas daripada kritikan. Sesetengah tindakan kelab mengundang kritikan penyokong termasuk cubaan menaikkan harga tiket pada 2016 dan mengambil bahagian dalam skim subsidi gaji Covid-19 kerajaan Britain baru-baru ini.

 

Namun ‘gol-gol sendiri’ ini segera dihentikan bagi menjaga imej dan hubungan baik Reds dengan peminat.

 

Situasi itu menunjukkan bahawa pasukan pengurusan Reds sentiasa berhubung rapat dengan peminat termasuk kesatuan penyokong Spirit of Shankly.

 

Bagi Gordon, wujud keperluan untuk berhubung dengan peminat walau di mana saja mereka berada. Ini mendorong Reds melantik pegawai perhubungan peminatnya yang pertama, Tony Barrett.

 

Bagi Klopp, jawatan sebegini bukan sesuatu yang asing di Jerman dan ia bertanggungjawab memberi suara kepada para penyokong bukan saja di stadium tetapi sehingga ke peringkat pengurusan dan lembaga pengarah.

 

Gordon yang pernah melihat situasi ini di Jerman mempersoalkan mengapa wujud jurang sebegitu rupa antara penyokong dengan kelab di England.

 

Infrastruktur

Gordon juga merupakan individu bertanggungjawab memodenkan infrastruktur kelab. Tiga projek besar yang diluluskan FSG ialah pembangunan semula bahagian Main Stand bernilai 114 juta paun pada Disember 2014 dan dibuka kepada umum pada September 2016, pusat latihan baru di Kirkby bernilai 50 juta paun dan pembangunan semula bahagian Anfield Road.

Rajah 4: Bahagian Main Stand Anfield yang siap dibangunkan semula pada September 2016.

Pusat latihan baru ini dijangka menggantikan Melwood yang berperanan sebagai pusat latihan Liverpool dan dijangka siap tidak lama lagi.

 

Manakala pembangunan Anfield Road pula dijangka dimulakan pada akhir tahun ini dan siap sebelum permulaan musim 2022-2023. Namun berikutan situasi pandemik Covid-19, projek tersebut ditangguhkan selama setahun.

 

FSG sebenarnya keberatan untuk membangunkan semula bahagian stadium Anfield itu berikutan pulangan pelaburannya dilihat tidak seberapa berbanding pembangunan semula Main Stand.

 

Namun Gordon bertegas ia perlu dibuat lebih-lebih lagi selepas melihat bilangan penyokong yang menyambut Liverpool pulang sebagai juara Liga Juara-Juara Eropah musim lepas seramai 750,000 orang.

 

Bagi Gordon, pelan asal pembangunan semula Anfield Road dilihat tidak memuaskan. Justeru, satu lagi pelan baru dibuat bagi menambah kapasiti tempat duduk di bahagian stadium Anfield itu.

 

Jika berjaya direalisasikan, Anfield bakal mempunyai kapasiti 60,000 tempat duduk sekaligus membolehkannya bersaing dengan gergasi-gergasi Eropah lain seperti musuh ketat Manchester United, Real Madrid dan Barcelona.

 

Pendek kata, semua orang menyumbang kepada kejayaan Liverpool menjulang kejuaraan liga musim ini. Namun orang yang merealisasikan semua ini ialah Gordon dengan memilih melakukan kerja secara senyap-senyap sambil terus membina asas kejayaan mereka untuk tahun mendatang.

Source Hunter, A. (2020). Mike Gordon: the quiet man who makes FSG's Liverpool vision a reality. The Guardian.
You might also like

Leave A Reply

Your email address will not be published.