fbpx

Model IPT Perlu Diubah Ke Arah Norma Baru

0 134

Suka atau tidak, pandemik Covid-19 memaksa semua sektor ekonomi beradaptasi dengan norma dan cabaran baru.

Ianya termasuklah sektor pendidikan dengan banyak institusi pengajian tinggi (IPT) perlu beradaptasi atau berdepan risiko tidak lagi relevan dalam dunia pasca-pandemik dan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).

Advertisement

Dilema ini harus difikirkan sedalam-dalamnya oleh semua IPT sama ada institut pengajian tinggi awam (IPTA) atau institut pengajian tinggi swasta (IPTS).

Kredit: Soya Cincau

Ahli ekonomi Dr Nungsari Ahmad Radhi menyifatkan satu pendekatan radikal harus diambil oleh semua IPT termasuk menyemak semula kurikulum pengajian mereka.

Pandangan beliau dipersetujui oleh Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff dari Sekolah Perniagaan Putra (PBS) yang menyifatkan kurikulum pengajian IPT harus relevan dengan kehendak pasaran semasa.

Antara jurusan yang boleh ditambah seperti pengurusan rantaian bekalan dan agromakanan, kewangan Islam dan bioteknologi.

“Apa yang boleh dilakukan IPT-IPT ialah meningkatkan hubungan mereka dengan industri-industri yang terlibat dan cuba memahami keperluan semasa mereka, agar mereka boleh menambahbaik program/jurusan yang boleh memenuhi keperluan segera industri. Pada masa sama, IPT-IPT juga harus menawarkan jurusan-jurusan inovatif yang mendorong pelajar menjadi pelopor bidang baru bila sudah tamat pengajian dan bukan sekadar pencari kerja saja,” katanya.

Ketika ini, graduan-graduan baru berdepan tugas sukar mendapatkan pekerjaan dalam era pandemik ini.

Hal ini demikian kerana pandemik Covid-19 memberi kesan kepada banyak sektor ekonomi sekaligus mengakibatkan kehilangan kerja dan pengangguran.

Bagaimanapun, kadar pengangguran berada pada tahap terkawal dari 741,600 orang pada Ogos kepada 737,500 orang pada September lepas.

Tambah Prof Razman lagi, graduan baru akan terus ketinggalan lebih-lebih lagi apabila ekonomi mula menunjukkan trend pemulihan.

Ianya kerana firma-firma lebih memilih menggaji individu yang mempunyai pengalaman kerja terutama yang diberhentikan kerja semasa krisis pandemik.

“Jadi, apa yang perlu dilakukan mereka ialah melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, menjadi usahawan atau mendapatkan pekerjaan menerusi pelbagai inisiatif kerajaan seperti MySTEP yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 yang lepas,” ujarnya.

Selepas menilai kedudukan IPT baik IPTA mahupun IPTS, Dr Nungsari berpandangan IPTA sentiasa berdepan persoalan kapasiti dan kos yang melampau dengan dianggap tidak relevan dalam menyediakan modal insan diperlukan untuk menjana pertumbuhan ekonomi dan inovasi.

Beliau menambah sesetengah IPTA masih lagi pada tahap sederhana.

Sementara untuk IPTS pula, wujud kestabilan selepas menjalani proses liberalisasi yang dijalankan 20 tahun yang lalu.

“Bagaimanapun, dengan kebanyakan IPTS berasaskan keuntungan, kebanyakan IPTS ini berdepan tekanan kewangan terutama selepas mereka tidak mendapat pelajar asing kerana isu pandemik.

“Di Amerika Syarikat di mana IPTSnya bukan berorientasikan keuntungan, kehilangan pelajar-pelajar asing ini sudah memberi kesan kepada mereka. Bagi institusi berorietasikan keuntungan seperti di Malaysia, mereka boleh dikatakan sebagai perniagaan yang mengalami kehilangan ramai pelanggan. Dan ramai dijangka akan jatuh,” katanya.

Kerajaan boleh saja membuat pertimbangan fiskal kepada sektor pengajian tinggi tetapi tidaklah terlalu banyak kerana sektor pendidikan rendah dan menengah memerlukan perhatian yang lebih banyak.

Pada masa sama, graduan-graduan IPT dibelenggu isu hutang dan mempunyai ijazah yang tidak dimahukan oleh pasaran.

Justeru, Dr Nungsari menegaskan perubahan radikal harus dibuat dengan segera.

Jika tidak, isu ini akan terus membelenggu sektor pendidikan tinggi negara dan menjejaskan usaha Malaysia menghasilkan modal insan berkualiti untuk mendepani IR4.0 serta dunia pasca-pandemik Covid-19.

Source Azman, N.H. (2020). Higher education model needs tweaking. The Malaysian Reserve.
You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.