fbpx

Moratorium Pinjaman Disambung Atau Tidak?

0 414

Pada Mei lepas, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan perlaksanaan moratorium penangguhan pembayaran balik pinjaman atau ansuran bulanan) selama 6 bulan bermula 1 Mei 2020 sehingga 30 September 2020.

 

Bagi pemilik perniagaan dan pengguna, ia dilihat memberi kelegaan besar kepada mereka kerana meringankan beban kewangan yang dihadapi berikutan pandemik Covid-19.

 

Advertisement

Namun baru-baru ini, BNM seolah-olah memberi klu moratorium penangguhan pembayaran balik pinjaman atau ansuran bulanan tidak akan diteruskan selepas 30 September 2020.

Kredit: Miro

Hal ini amat bertentangan dengan usaha pihak kerajaan menerusi Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang ingin melanjutkan lagi moratorium untuk tempoh tambahan enam bulan.

 

Penolong Gabenor BNM, Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata menerusi perlaksanaan moratorium itu, ia mengakibatkan pemain industri perbankan kehilangan kos sebanyak RM47.5 bilion sejak ia dilaksanakan pada 1 Mei 2020.

 

Daripada jumlah itu, RM16.6 bilion dinikmati oleh sektor perniagaan manakala baki RM30.9 bilion pula dinikmati oleh pengguna.

 

“Sektor ekonomi sedang menunjukkan pemulihan dan kami tiada niat menyambung moratorium kerana ia boleh memberi kesan yang patut dielakkan. Sektor perbankan membiayai beberapa aktiviti ekonomi dan kami kini berada di persimpangan memandangkan masih ada sektor yang berdepan cabaran, “katanya dalam satu diskusi bersama CEO Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Azaddin Ngah Tasir baru-baru ini.

 

Bagaimanapun, ramai pakar ekonomi kurang bersetuju dengan pendirian BNM. Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, moratorium tersebut perlu dilanjutkan tetapi perlu melalui proses permohonan dan hanya mereka yang benar-benar layak sahaja diberikan penangguhan.

 

“Kita tidak mahu situasi kesilapan moral yang mana masyarakat mengambil mudah dalam hal pembayaran hutang ini. Justeru, langkah untuk memanjangkan penangguhan perlu bersasar. Dan berkemungkinan perlu melihat kedudukan kewangan seseorang itu dengan lebih menyeluruh seperti melibatkan penstrukturan semula hutang-hutang yang sedia ada supaya dapat dilunaskan dengan lancar,” katanya dalam satu temubual dengan Sinar Harian.

 

Menurut Mohd Afzanizam, sektor perbankan sememangnya berada di posisi yang kukuh dan bank-bank di Malaysia ini mempunyai kecairan dan modal yang tinggi.

 

“Perkara ini membolehkan mereka boleh terus menjalankan perniagaan seperti biasa iaitu menerima deposit dan memberi pinjaman. Bagaimanapun, risiko agak rendah berikutan suasana ekonomi yang lembap. Justeru, bank di Malaysia akan lebih berhati-hati dalam meluluskan sesuatu permohonan pinjaman itu,” katanya.

 

Ditanya apa syarat yang boleh dikenakan sekiranya moratorium dilanjutkan, Mohd Afzanizam berkata, pertama, kerajaan perlu mengenalpasti sektor ekonomi mana yang masih lagi terjejas meskipun Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) telah dilaksanakan.

 

“Syarat ini bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak sahaja yang boleh diberikan penangguhan. Kedua, peminjam perlu telus dan jujur dalam menilai kedudukan kewangan mereka. Dengan ini dapat dipastikan apakah keperluan mereka dalam menangguhkan pembayaran hutang-hutang mereka,” katanya.

 

Selain itu, amat penting aspek literasi kewangan diterapkan kepada seluruh rakyat Malaysia supaya isu keberhutangan yang tinggi dapat dielakkan. Jadi jika berlaku suatu bencana kewangan, kesannya dapat diminimumkan.

 

“Contohnya, bagi mereka yang mempunyai aset yang cair seperti wang tunai, saham, unit amanah, barang kemas dan sebagainya, aset-aset ini boleh digunakan untuk melunaskan hutang sekiranya berlaku bencana ekonomi dan kewangan peribadi. Oleh itu, amat penting untuk memastikan seseorang itu betul-betul mampu dalam melunaskan hutang sebelum mengambil sesuatu fasiliti kewangan.

 

“Contohnya, nisbah pembayaran hutang atau Debt Service Ratio (DSR) yang rendah menandakan seseorang itu mempunyai keupayaan yang tinggi untuk membayar hutang. Jadi janganlah DSR ini melebihi angka yang tinggi seperti 70% dan ke atas. DSR yang tinggi boleh menyebabkan seseorang itu begitu terdedah kepada risiko kewangan seperti pengurangan pendapatan,” katanya.

 

Pakar Kewangan Pengguna, Profesor Madya Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, pelaksanaan moratorium BNM merupakan satu insentif yang amat membantu individu dan isi rumah di negara ini.

 

“Pelaksanaan moratorium ini banyak membantu dengan memastikan kuasa beli pengguna boleh diteruskan sekali gus merangsang pendapatan dan ekonomi negara,” katanya kepada Sinar Harian.

 

Prof Mohamad Fazli yang juga Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah, Jaringan Industri dan Masyarakat), Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia berkata, selain meringankan bebanan kewangan individu dan isi rumah yang terjejas teruk ketika perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama hampir tiga bulan, moratorium turut memberi peluang kepada orang ramai untuk menambah tabungan.

 

“Wang yang dijimatkan susulan penangguhan pembayaran tersebut harus dimanfaatkan sebaik mungkin dengan menambah tabungan terutama untuk tabungan kecemasan,” katanya lagi.

 

Beliau turut berkongsikan Kaji Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan dari Sudut Permintaan 2018 (Financial Capability and Inclusion Demand Side Survey 2018, FCI 2018) oleh BNM.

 

Kaji selidik itu mendedahkan empat perkara yang membimbangkan tentang rakyat Malaysia iaitu tahap pengetahuan kewangan, simpanan dan belanjawan, kesediaan menghadapi peristiwa yang tidak dijangka dalam kehidupan serta perancangan untuk persaraan.

 

“Dalam konteks kesiapsiagaan menghadapi situasi di luar jangkaan, contoh terdekat ialah apa yang sedang kita hadapi sekarang ini. Dapatan kajian menunjukkan bahawa lebih daripada satu per dua (52 peratus) rakyat Malaysia menyatakan sukar buat mereka untuk menyediakan sejumlah wang sebanyak RM1,000 sekiranya berlaku kecemasan.

 

“Hanya 24% rakyat Malaysia dapat menampung perbelanjaan sara hidup untuk sekurang-kurangnya tiga bulan atau lebih sekiranya kehilangan sumber pendapatan utama mereka. Manakala 10% lagi menyatakan bahawa mereka boleh bertahan untuk lebih daripada enam bulan. Daripada sudut pengurusan risiko diri dan keluarga pula, hanya 17 peratus sahaja rakyat Malaysia mempunyai insurans hayat dan perlindungan takaful,” katanya.

 

Statistik tersebut menunjukkan rakyat Malaysia berhadapan risiko yang amat tinggi bila berhadapan dengan masalah kewangan peribadi yang serius sekiranya mereka tidak mempunyai simpanan yang mencukupi bagi keperluan masa kecemasan dan masa hadapan.

 

Kajian oleh penyelidik tempatan turut mendapati kebanyakan rakyat negara ini menumpukan kepada perbelanjaan keperluan semasa berbanding keperluan masa hadapan.

 

Sementara itu, pengerusi hal ehwal perniagaan Persatuan Alumni UiTM Ahmad Muzakkir Hamid melihat amat logik sekiranya moratorium disambung lagi selama enam bulan.

 

Hal ini demikian kerana kebanyakan sektor perniagaan yang terjejas hanya mula beroperasi semula pada 10 Jun serta salah satu kumpulan yang terjejas ialah kumpulan usahawan kecil dan sederhana (SME).

 

Tambah beliau lagi, walaupun penjual pasar malam dan pasar tani dibenarkan beroperasi bermula 15 Jun, ada yang memilih menangguhkan dahulu kerana mahu prosedur operasi standard (SOP) untuk pasar malam serta pasar tani disemak semula berikutan ianya terlalu ketat dan menjejaskan pendapatan mereka sekiranya dibuka.

 

Ahmad Muzakkir turut melihat menerusi lanjutan moratorium ini, ia dilihat memberi kelegaan kepada pengusaha-pengusaha perniagaan berikutan tidak berupaya menampung kerugian di sebalik perlaksanaan PKPP ini.

 

Tambahnya, kuasa beli pengguna dijangka menurun berikutan mereka berbelanja lebih cermat untuk berjimat. Justeru jika moratorium tidak disambung Oktober ini, ia bakal menjadi beban kepada kelompok SME.

 

Isu sambung atau tidak moratorium ini, kita hanya tunggu dan lihat apa yang berlaku seterusnya. Diharap pihak kerajaan terutama BNM mengambil kira semua aspek sebelum memutuskan sama ada tidak melanjutkan atau menyambung lagi moratorium selama enam bulan.

Source Mokhtar, Liza. (2020). Moratorium perlu dilanjutkan. Sinar Harian.
You might also like

Leave A Reply

Your email address will not be published.