
MRTT VS MLTT, Mana Lebih Baik?
MRTT bermaksud Mortgage Reducing Term Takaful (atau dalam istilah insurans konvensional disebut MRTA), manakala MLTT pula merujuk kepada Mortgage Level Term Takaful.
Dalam konteks perancangan kewangan Islam, kita digesa untuk menyokong produk-produk patuh syariah, jadi MRTT dan MLTT adalah yang relevan untuk tujuan ini.
Advertisement
Ia ditawarkan oleh kebanyakan syarikat takaful yang ada di Malaysia.

Ini ialah jadual perbandingan di antara MRTT dan MLTT.
Setiap produk ada kelebihan dan kelemahan masing-masing. Kita dapat apa yang kita bayar, tanpa mengatakan bahawa MRTT lebih baik dari MLTT atau sebaliknya.
MRTT VS MLTT: Perbandingan Harga
Dari segi harga, MRTT jauh lebih rendah berbanding MLTT. Cuma MRTT perlu dibayar sekaligus manakala MLTT boleh dibayar secara ansuran. Apapun bagi MRTT kadang-kala ada pilihan yang ditawarkan oleh pihak bank untuk dimasukkan ke dalam bayaran ansuran pembiayaan perumahan yang dibuat.
Pembayaran caruman sumbangan untuk MRTT 100% dibayar untuk perlindungan, sebab itu ia lebih murah. Manakala pula bagi MLTT, ada sedikit nilai tunai, bergantung kepada polisi. Jika polisi berbentuk “term takaful“, tidak ada nilai tunai selalunya.
Baca juga: Jenis-jenis takaful
TAPI, jika MRTT dimasukkan dalam pembiayaan perumahan, ia akan dikenakan keuntungan oleh bank dan bayarannya tidak jauh bezanya berbanding pembeli melanggan MLTT.
MRTT VS MLTT: Perbandingan Perlindungan
Selain harga, perbezaan ketara bagi MRTT dan MLTT ialah;
- MRTT memberi perlindungan kepada baki hutang dan ia akan berkurangan dari tahun ke tahun.
- Manakala MLTT pula memberi perlindungan kepada keseluruhan jumlah hutang yang awal dan ia setara dari awal polisi hingga tamat polisi.
Perlindungan bagi MRTT adalah berdasarkan baki pembiayaan atau pinjaman perumahan yakni akan berkurangan setiap tahun, manakala perlindungan bagi MLTT pula adalah setara dari awal polisi hingga tamat.
Perbandingan MRTT dan MLTT; dalam situasi berlaku kematian atau lumpuh kepada penghutang atau pemilik rumah.
Simulasi Perbandingan
Jadi apa bila berlaku tuntutan dalam kes kematian atau lumpuh, polisi MRTT akan membayar baki hutang kepada pihak bank, manakala polisi MLTT pula membayar keseluruhan pampasan kepada penama dan tanggungjawab penama utk selesaikan hutang si mati kepada bank.
Baca juga: 2 Perkara Penting Dalam Mengurus Harta Pusaka
Jika pemilik rumah mengambil MRTT, proses pembayaran tuntutan tersebut hanya melibatkan dua pihak, yakni bank dan syarikat takaful sahaja, dan kemudian ahli akan memperoleh rumah terbabit.
Manakala bagi kes MLTT pula, pihak penama atau ahli waris akan terlibat utk menerima pampasan dari pihak syarikat. Selepas menerima pempasan tersebut, maka pihak waris bertanggungjawab untuk menyelesaikan baki hutang kepada pihak bank.
Dalam kes ini, terserah kepada ahli waris untuk membayar sekaligus baki hutang atau secara ansuran. Lebihan wang pampasan adalah milik ahli waris, tertakluk kepada faraid.
Perbandingan MRTT dan MLTT, kesan dan akibat apabila pemilik rumah membuat pembiayaan semula (refinancing) atau menjual rumah.
Bagi setiap polisi MRTT, penama atau pemegang amanah polisi ialah bank, manakala bagi polisi MLTT pula, pemilik polisi boleh meletakkan sesiapa sahaja seperti pasangan, isteri, suami, adik beradik, anak-anak dan sebagainya. Polisi MLTT juga kita boleh letakakan syarikat amanah seperti As-Salihin Trustee sebagai penama atau pemegang amanah.
Jika Berlaku Pembiayaan Semula
Setiap satu polisi MRTT yang diambil hanya untuk satu pembiayaan atau pinjaman perumahan yang kita lakukan. Jadi sekiranya kita lakukan pembiayaan semula atau jual rumah tersebut sebelum tamat tempoh maka polisi MRTT tersebut akan terbatal.
Perkara ini tidak terjadi jika kita mengambil MLTT kerana setiap polisi MLTT boleh digunapakai untuk beberapa tujuan pembiayaan dan tidak terkesan sekiranya pemilik membuat refinancing atau menjual rumah tersebut sebelum tamat tempoh.
Contoh Kes Perbandingan MRTT VS MLTT

Ini adalah sampel kes, perbandingan “apple to apple” di antara MRTT dengan MLTT dari sudut bayaran dan nilai tunai bagi setiap polis.
Bagi polisi MRTT sudah tentu tiada langsung nilai tunai yang diperolehi manakala bagi MLTT pula ada kemungkinan mempunyai nilai tunai. Ia tidak dijamin di dalam polisi tetapi mempunyai unjuran dengan jangkaan keuntungan pelaburan pihak syarikat takaful.
Jadual ini berdasarkan beberapa quotation MRTT dan MLTT dari beberapa syarikat takaful di Malaysia, dan jumlahnya mungkin lebih rendah atau lebih tinggi bergantung kepada polisi syarikat.
Rumusan
Secara umumnya,
MRTT sesuai untuk:
- Rumah utk KEDIAMAN
- Pembelian JANGKA PANJANG
- TIDAK bercadang utk melakukan RE-FINANCING
- Umur 35 tahun ke atas
MLTT sesuai untuk:
- Rumah utk PELABURAN
- Pembelian JANGKA PENDEK
- Bercadang melakukan RE-FINANCING
- Umur bawah 35
Perasan tak, pegawai bank selalunya promosikan MRTA / MRTT manakala ejen takaful /ejen insurans selalunya mempromosi MLTT / MLTA. Sebabnya? Mereka promosikan produk yang mereka ada.
Kedua-dunya ada kelebihan tersendiri.
Jika MRTT / MRTA diambil secara pembiayaan dan dimasukkan sekali dengan pembiayaan perumahan, bayarannya tidak jauh bezanya jika kita melanggan MLTT / MLTA.
Afyan merupakan seorang perunding kewangan berlesen (IFP) dan sering berkongsi tentang pengurusan kewangan di laman sosial dan blog beliau.