fbpx

Muslim Pro: Keselamatan Data Peribadi Terancam?

0 708

Baru-baru ini, umat Islam digemparkan dengan pendedahan data aplikasi pilihan ramai iaitu Muslim Pro dibeli oleh kerajaan Amerika Syarikat dan digunakan untuk aktiviti mencegah keganasan.

 

Berikutan pendedahan tersebut, ramai merasa marah dan menganggap apa yang dilakukan mereka sebagai menyalahi privasi mereka sebagai pengguna.

 

Advertisement

Muslim Pro merupakan antara ratusan aplikasi telefon pintar yang menjana pendapatan dengan menjual data pengguna mereka kepada broker pihak ketiga.

 

Namun begitu, firma data lokasi dan rakan-rakan kongsi mereka menegaskan identiti pengguna tidak akan diketahui serta tidak akan dikaitkan terus dengan identiti mereka.

 

Bagaimanapun, hujah mereka disanggah ramai pakar teknologi sambil menyifatkan identiti pengguna yang disamarkan masih boleh didedahkan dengan mudah termasuk lokasi data pengguna itu sendiri.

 

Laporan yang diterbitkan dalam seksyen Motherboard, portal Vice itu mendedahkan betapa mudahnya data pengguna diakses oleh agensi-agensi kerajaan bagi mendapatkan lokasi pengguna termasuk warganegara sesebuah negara.

 

Di Amerika Syarikat, amalan ini mendapat kecaman ramai pihak termasuk ahli-ahli politik dan ramai menggesa ia dikawalselia mengikut lunas undang-undang.

 

Seruan ini dibuat berikutan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS membeli data lokasi untuk menjejak mana-mana individu yang disyaki memasuki AS secara haram.

 

Motherboard turut mendedahkan Muslim Pro menjual data pengguna kepada sebuah firma broker pihak ketiga bernama X-Mode. X-Mode kemudiannya menjual kepada kontraktor pertahanan sebelum ia dibekalkan kepada Jabatan Pertahanan AS.

 

Bila dihubungi pihak media, X-Mode mendedahkan hubungan mereka dengan pihak kontraktor memberi fokus kepada tiga perkara iaitu mencegah keganasan, keselamatan siber dan meramal titik panas terbaru Covid-19.

 

Sebelum ini, X-Mode berdepan kontroversi kerana menerbitkan data lokasi telefon pintar pengguna bagi menunjukkan pergerakan keluar masuk kawasan-kawasan yang disyaki titik panas Covid-19.

 

Ada ketikanya, kerajaan AS membeli terus data daripada broker seperti didedahkan oleh rekod ini. Rekod awam menunjukkan Pasukan Pemerintah Operasi Khas AS membeli data lokasi daripada Babel Street dengan harga AS$90,656 pada April lepas.

 

Bila ditanya media tentang perkara ini, Komander Tentera Laut Tim Hawkins memberitahu pembelian data dibuat keperluan misi Pasukan Operasi Khas di luar negara.

 

Hawkins turut menegaskan semua pembelian dibuat berdasarkan polisi dan prosedur yang menjamin hak asasi warga AS.

 

Babel Street juga didedahkan turut menjual sebuah produk bernama Locate X yang membenarkan pengguna memilih satu kawasan peta dan menunjukkan pergerakan alat di kawasan berkenaan.

 

Klien boleh melakukan pemeriksaan berulang kali selepas membayar kepada firma akses kepada data lokasi.

 

Pembelian sebegini bukan perkara asing kepada Pentagon kerana menggunakan data lokasi telefon pintar untuk merancang dan melaksanakan operasi sulit.

 

Manakala Agensi Keselamatan Negara (NSA) pula menggunakan data lokasi berbeza yang diambil daripada telefon bimbit ahli Taliban yang ditahan bagi membolehkan serangan dron dilancarkan ke atas suspek pengganas seperti didedahkan pada 2014.

 

Bagaimanapun, tidak diketahui sama ada data yang dibeli daripada broker pihak ketiga digunakan untuk sebarang operasi ketenteraan AS yang spesifik.

 

Sebagai alternatif, kita boleh guna aplikasi hasil buatan tempatan. Ikuti tweet berikut untuk info lanjut.

Source Holmes, Aaron. (2020). The US military reportedly bought location data mined from a popular Muslim prayer app to track users for 'counterterrorism'. Business Insider.
You might also like

Leave A Reply

Your email address will not be published.