fbpx

‘Naga Laut’ Minesto Jana Elektrik Melalui Tenaga Ombak

0 201

Semua sedia maklum dengan tenaga hijau digunakan dengan lebih meluas, ia turut membuka ruang kepada aplikasi dan teknologi baru. Untuk tenaga ombak, sebuah syarikat Sweden telah menghasilkan sebuah turbin ombak berteknologi tinggi di mana ia menjana tenaga elektrik dari laut untuk Faroe Islands. Ia dikenali sebagai naga laut atau layang-layang ombak.

Layang-layang ombak ini diikat pada lantai laut menerusi kabel besi berukuran 40 meter panjang. Ia akan bergerak di dalam air di mana ia menyerap tenaga daripada pergerakan ombak. Pergerakan naga laut ini dijana oleh daya yang dihasilkan oleh pergerakan air – seperti kapal terbang yang terbang dengan udara melewati sayapnya.

Advertisement

Rajah 1: Ilustrasi bagaimana naga laut Minesto beroperasi di Holyhead Deep, Wales. Sumber: Minesto.

‘Laluan penerbangan’ bergerak ini membolehkan layang-layang ombak meliputi kawasan yang besar dengan kelajuan melebihi kelajuan arus air. Ini membenarkan menjana lebih banyak tenaga elektrik dijana daripada air.

Bagi memastikan kedalamannya dalam air sentiasa konsisten, komputer pada layang-layang akan memperbetulkan haluannya termasuk memastikan ia kekal mengikut arus air. Sekiranya beberapa layang-layang beroperasi secara serentak, komputer akan memastikan wujud jarak mencukupi antara semua layang-layang bagi mencegah potensi perlanggaran.

Tenaga yang dijana kemudiannya dihantar kepada kabel yang dipasang di dasar laut fjord sebelum disebarkan kepada kabel-kabel lain di dasar laut. Dari situ, ia dipindahkan ke sebuah stesen kawalan tenaga berhampiran bandar Vestmanna, Faroe Islands. Layang-layang ombak dihasilkan oleh Minesto, sebuah firma Sweden yang ditubuhkan pada 2007 sebagai pecahan kepada pengeluar kapal terbang Sweden Saab.

Dua naga laut yang digunakan di Faroe Islands ketika ini telah menyumbang tenaga elektrik kepada syarikat utiliti negara itu, SEV. Ia merupakan sebahagian daripada pecubaan pembekalan tenaga elektrik SEV menerusi tenaga ombak yang dijalankan sejak 2020. Layang-layang ini berupaya membekalkan tenaga sekurang-kurangnya 50 hingga 70 buah rumah.

Dan kapasiti tersebut boleh ditambahbaik menerusi pengenalan layang-layang ombak yang lebih besar pada 2022. Ia dijangka mula dipasang di kawasan fjord pada tahun sama. Menurut CEO Minesto, Martin Edlund, dengan sayap berukuran 12 meter panjang dan berupaya menjana 1,000 megawatt tenaga elektrik, ini cukup untuk membekalkan elektrik untuk separuh daripada jumlah rumah yang wujud di Faroe Islands.

Faroe Islands yang terdiri daripada 17 buah pulau merupakan sebuah wilayah autonomi Denmark. Ia mempunyai populasi seramai 50,000 orang dan terletak di antara Shetland dan Iceland. Pentadbiran Faroe Islands berharap dengan pengenalan naga-naga laut keluaran Minesto ini, ia dapat membantu mereka mencapai sasaran sifar karbon pada 2030.

Ini kerana separuh daripada bekalan tenaga elektrik wilayah itu dijana menggunakan sumber fosil. Edlund melihat dengan memanfaatkan tenaga ombak, ia merupakan solusi terbaik kerana ia sentiasa ada dan boleh menjadi sumber tenaga alternatif sekiranya bekalan elektrik berkurangan.

Selain Faroe Islands, naga laut turut diuji di Ireland Utara dan Wales dengan wujud perancangan untuk memasangnya di Angelsey. Selain Wales, Minesto turut diberi kebenaran untuk melaksanakan projek naga laut di Taiwan dan Florida, Amerika Syarikat.

RUJUKAN

Ecott, T. (2021, 29 November). The underwater ‘kites’ generating electricity as they move. BBC News.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.