fbpx

Naikkan Had Hutang Negara Kepada 60% Mampu Meredakan Ekonomi Negara?

0 201

KUALA LUMPUR, 13 Ogos  — Cadangan untuk menaikkan sedikit had hutang negara kepada 60 peratus daripada keluaran negara kasar (KDNK) berbanding 53 peratus pada masa ini dijangka memberi impak “neutral” kepada pasaran tempatan ketika ekonomi di seluruh dunia berdepan dengan perbelanjaan defisit besar yang disebabkan oleh pandemik COVID-19, kata seorang ahli ekonomi.

 

Profesor Ekonomi daripada Kajian Perniagaan Universiti Sunway Prof Dr Yeah Kim Leng berkata had hutang tambahan itu, sekiranya diluluskan, juga sejajar dengan norma antarabangsa bagi ekonomi membangun walaupun negara-negara maju mempunyai paras hutang lebih tinggi yang ketika ini melebihi 100 peratus.

 

Menurut kertas kerja yang diterbitkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa bertajuk: ‘Debt and growth: is there a magic threshold’, negara-negara dengan nisbah hutang berbanding KDNK pada 90 peratus ke atas boleh mengalami penurunan pertumbuhan ekonomi yang drastik. 

 

“Lebih tinggi perbelanjaan kitaran-balas yang disebabkan oleh pandemik itu digabungkan dengan hasil rendah akan meningkatkan defisit fiskal Malaysia bagi tahun ini dan tahun depan.

“Oleh itu untuk membiayai anggaran defisit antara enam dan tujuh peratus, kerajaan perlu meningkatkan pinjamannya melebihi had siling hutang yang ditetapkan kendiri pada 55 peratus daripada KDNK,” kata Yeah kepada Bernama.

 

Beliau berkata had statutori yang ditetapkan kendiri ke atas hutang langsung tidak mempengaruhi jumlah hutang negara kerana penganalisis menimbang kedua-dua obligasi hutang langsung dan tidak langsung dalam menilai kemampanan hutang negara.

 

Selain itu, perbelanjaan dibiayai hutang tidak dapat dielakkan disebabkan oleh kejutan kesihatan awam dan juga ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan jangkaan kemelesetan global.

 

Had statutori hutang negara sehingga 60 peratus

Laporan sebelum ini memetik Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz sebagai berkata, kementerian itu telah mengusulkan untuk menaikkan had statutori hutang negara sehingga 60 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) berbanding 55 peratus pada masa sekarang.

 

Pada persidangan Dewan Rakyat 6 Ogos lepas, kementerian itu telah membuat bacaan pertama Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019) termasuk cadangan tersebut.

 

Sebagaimana ditegaskan tengku Zafrul, peningkatan jumlah hutang ini adalah bagi membiayai defisit selain turut mengambil kira pelaksanaan pakej-pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi menerusi suntikan langsung fiskal.

 

Ketika mengulas perkara itu, Yeah berkata sebarang peningkatan perbelanjaan kerajaan adalah bertujuan mengurangkan kejutan ekonomi serta mengimbangi kitaran pertumbuhan sejajar peranannya untuk memastikan kestabilan makroekonomi.

 

“Kerajaan dijangka tidak berdepan kesukaran untuk mendapatkan pinjaman bagi perbelanjaan defisit berikutan mempunyai mudah tunai domestik dan lebihan simpanan yang mencukupi. Malah, kerajaan juga boleh mendapatkan pinjaman asing pada kos lebih wajar berikutan paras hutang luarnya yang rendah,” katanya.

Namun, katanya, apa yang penting adalah jangkaan peningkatan pinjaman kerajaan itu diunjurkan tidak menjejaskan pinjaman sektor swasta dalam hutang pasaran modal domestik.

 

Malaysia sebelum ini telah menaikkan had hutang statutori ketika krisis kewangan global kepada 45 peratus daripada 40 peratus pada Jun 2008 dan seterusnya 55 peratus pada Julai 2009. 

 

Kemampuan Bayar Balik Pinjaman Terjamin

Secara ringkasnya, had statutori hutang yang ditetapkan kendiri itu merujuk kepada satu bentuk disipilin kewangan yang perlu dipatuhi supaya kerajaan tidak meminjam secara berlebihan.

“Selain itu ia juga memberi rasa tanggungjawab dan ketelusan, memandangkan kerajaan perlu menjelaskan kepada Parlimen sekiranya mereka melanggar had hutang berkenaan.

“Ini merupakan perkara yang baik dari sudut tadbir urus kerana ia akan mengekang kemungkinan lebihan (pinjaman) disalahgunakan, selain dapat melonjakkan keyakinan rakyat, perniagaan dan pelabur,” kata Ketua Pakar Ekonomi, Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Beliau berkata kebanyakan pinjaman kerajaan adalah dalam denominasi ringgit iaitu kira-kira 96 peratus justeru, kemampuan kerajaan untuk membayar balik pinjaman itu sememangnya terjamin.

 

Ini kerana kerajaan sentiasa boleh mengumpulkan ringgit menerusi terbitan instrumen hutang seperti Sekuriti Kerajaan Malaysia, Terbitan Pelaburan Kerajaan dan Bil-bil Perbendaharaan, katanya.

 

Beliau berkata instrumen-instrumen ini amat dicari oleh dana persaraan, syarikat insurans, bank dan pengurus aset susulan kualitinya yang tinggi dan bersifat jangka panjang selain amat mudah tunai.

 

“Kita mendapati minat terhadap instrumen ini adalah amat positif memandangkan ia terus mendapat sambutan memberangsangkan daripada para pelabur, berdasarkan kadar terlebih langgan.

“Selain itu, pemilikan asing bagi instrumen ini juga agak besar dengan pelabur asing menyumbang kira-kira 38 peratus kepada pemilikan MGS. Oleh itu, kerajaan mempunyai fleksibeliti untuk meningkatkan pinjaman berdenominasi ringgit dan wujud pembeli yang bersedia untuk instrumen-instrumen ini,” katanya.

 

Pelan Sokongan

Mohd Afzanizam berkata kerajaan mungkin memerlukan strategi yang jelas untuk mengurangkan jurang belanjawan apabila ekonomi pulih sepenuhnya daripada pandemik terutamanya berkaitan dengan komunikasi kepada orang ramai.

Mengurangkan jurang belanjawan akan bermakna meningkatkan pendapatan, mengurangkan perbelanjaan atau gabungan kedua-duanya.

“Biasanya, langkah untuk mengurangkan defisit fiskal atau jurang belanjawan tidak pernah popular, justeru, kerajaan perlu memikirkan strategi mereka tentang bagaimana mereka dapat melaksanakan pelan mereka untuk mengurangkan belanjawan apabila tiba masanya (pemulihan ekonomi sepenuhnya).

 

Mengenai prospek penarafan kepada negara, katanya ia dijangka stabil berdasarkan tebaran Tukaran Mungkir Kredit (CDS) untuk tempoh lima tahun yang kini kira-kira 54 mata asas daripada 194 mata asas semasa PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac.

“Tebaran yang rendah bermakna kemungkinan kemungkiran yang rendah. Apa yang CDS cuba memberitahu kita ialah pelabur agak selesa dengan keupayaan kerajaan untuk membayar balik hutangnya,” katanya.

 

Mohd Afzanizam berkata kerajaan juga perlu memulakan projek infrastruktur seperti Mass Rapid Transit, Lebuhraya Pan Borneo, Kereta Api Berkelajuan Tinggi dan lain-lain untuk menggalakkan sektor pembinaan berikutan ia mempunyai hubungan langsung dengan industri sokongan lain seperti sektor pembuatan dan perkhidmatan.

 

Pada masa ini, ekonomi mempunyai banyak mudah tunai dan dengan menggalakkan sektor pembinaan, ia dapat memastikan wang akan digunakan dengan baik.

 

MASA UNTUK MENIMBANG SEMULA SEKTOR PERTANIAN

Beliau berpendapat bahawa sektor pertanian khususnya dalam agro makanan sewajarnya dikaji semula dan dipulihkan. 

 

Menurutnya, negara ini sentiasa menjadi pengimport bersih makanan dan senario ini memberi kesan negatif ke atas ringgit serta harga di pasaran domestik. 

 

“Tahap Kecukupan Diri (SLL) bagi daging kambing, daging lembu, cili, kubis bulat, bijirin dan beras, masing-masing berada pada 11.2 peratus, 23.9 peratus, 31.9 peratus, 38.7 peratus, 61.3 peratus dan 70.0 peratus pada 2018.

“Ini jelas menunjukkan bahawa kebergantungan negara terhadap import makanan agak tinggi.  Kita juga mendapat tahu bahawa ramai daripada mereka yang dibuang kerja, sudah mula memasuki bidang ini.

“Mungkin, apa yang diperlukan daripada kerajaan bukan sekadar bantuan dalam bentuk kewangan tetapi kepakaran teknikal juga amat penting,” kata Mohd Afzanizam.

 

Dengan cara ini, ia boleh memudahkan lagi peralihan bagi mereka yang terjejas akibat COVID-19.

 

Selain itu, sektor tersebut juga perlu dijenamakan semula dan diberi pendekatan baharu khususnya dalam konteks Revolusi Perindustrian 4.0, yang mana percambahan teknologi akan dapat meningkatkan pengeluaran tanaman dengan lebih cekap lagi.

 

Defisit perdagangan bagi agro makanan berjumlah RM 17.4 bilion pada tahun lepas daripada hanya RM1 bilion pada 1995.

BERNAMA

You might also like

Leave A Reply

Your email address will not be published.