
Nak Melabur Saham? Buka Akaun CDS Dahulu
Langkah pertama yang perlu dilakukan untuk memulakan pelaburan saham adalah dengan membuka akaun Central Depository Service (CDS) terlebih dahulu. Adalah satu perkara yang mustahil bagi individu untuk melabur saham tanpa membuka akaun CDS. Tapi apakah yang dimaksudkan dengan akaun CDS?
Apakah akaun CDS?
Advertisement
Akaun CDS adalah akaun yang dibuka dengan Bursa Malaysia dan merupakan tempat menyimpan saham-saham yang dibeli. Semua urusan jual beli saham akan dilakukan melalui akaun CDS ini. Mana-mana individu yang berumur 18 tahun ke atas sudah layak untuk membuka akaun ini.
Berapa kosnya untuk membuka akaun CDS?
Kosnya hanya RM10 sahaja, malah ada sesetengah syarikat yang menawarkan pembukaan akaun percuma ketika promosi.
Di mana nak buka akaun CDS?
Akaun CDS boleh dibuka dengan mana-mana broker yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Namun, perkara paling utama adalah anda perlu memilih broker yang patuh syariah (memilih yang halal itu kan fardhu).
Senarai syarikat-syarikat broker yang sah boleh dilihat di laman web Bursa Malaysia di sini: List of Participating Organisations. Setakat hari ini ada 16 broker patuh syariah yang berdaftar:
- Affin Hwang Investment Bank Berhad (window)
- AmInvestment Bank Berhad (window)
- BIMB Securities Sdn Bhd (full-fledged)
- CIMB Investment Bank Berhad (window)
- Hong Leong Investment Bank (window)
- Jupiter Securities Sdn Bhd (window)
- Inter-Pacific Securities Sdn Bhd (window)
- Kenanga Investment Bank Berhad (window)
- Malacca Securities Sdn Bhd (window)
- Maybank Investment Bank Berhad (window)
- MIDF Amanah Investment Bank Berhad (window)
- Public Investment Bank Berhad (window)
- RHB Investment Bank Berhad (window)
- TA Securities Holdings Berhad (window)
- UOB Kay Hian Securities Sdn Bhd (window)
- KAF Seagroatt & Campbell Securities Sdn Bhd (window)
Setelah mengenal pasti syarikat broker, bagi urusan pembukaan akaun, ia boleh dilakukan di cawangan broker tersebut. Sebagai contoh cawangan-cawangan Maybank Investment Bank hanya terdapat di Kuala Lumpur, Selangor (Klang, Petaling Jaya), Perak (Ipoh), Negeri Sembilan (Seremban) dan Pulau Pinang (Penang).
Bagaimana pula bagi mereka yang menetap di kawasan yang tidak mempunyai sebarang cawangan. Anda ada dua pilihan, yang pertama anda boleh mencari remisier/dealer (ibarat agen-agen kepada syarikat broker) daripada mana-mana syarikat broker. Selain itu, ada juga sesetengah syarikat broker mempunyai share investment/trading center di cawangan-cawangan bank mereka seperti Maybank dan CIMB.
Langkah terakhir adalah mengisi borang dan membuat bayaran RM10 bagi tujuan pembukaan akaun. Dalam masa 2-3 hari anda sudah boleh mula melabur saham!
Ada apa-apa perbezaan ke di antara broker-broker ini? Ada, dan perkara ini akan dibincangkan dalam artikel seterusnya.