
Negara Gigit Jari Lagi Hilang Peluang Pelaburan Kabel Utama
Tidak lama dahulu, negara dikejutkan dengan berita Malaysia dikecualikan daripada pelaburan kabel optik dasar laut utama oleh firma teknologi utama Facebook dan Google membabitkan sistem kabel Echo dan Bifrost. Dan kini, Malaysia menggigit jari apabila dikecualikan daripada mendapat pelaburan pemasangan sistem kabel Apricot yang disokong dua firma berkenaan.
Menurut firma penyelidikan MIDF Research, dengan pengecualian itu, kerajaan akan berdepan kerugian AS$300 juta-AS$400 juta (RM1.26 bilion-RM1.68 bilion) dalam bentuk pelaburan dan kesalinghubungan berkapasiti tinggi. Tambah firma berkenaan, ia akan menjejaskan kesalinghubungan internet dan pelaburan pusat data untuk syarikat tempatan dan antarabangsa.
Advertisement
Dengan kerugian terbaru yang dialami negara dalam hal ini, ia sudah pasti akan memaksa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menilai semula pemansuhan polisi pengecualian kabotaj yang dibuat Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong. Sebelum ini, kerajaan diberi amaran oleh ramai pihak termasuk pembangkang bahawa mereka bakal berdepan kerugian RM12 bilion hingga RM15 bilion dalam sektor digital sekiranya pemansuhan dasar itu dikekalkan.
Ini sudah pasti akan menjejaskan usaha merealisasikan pelbagai sasaran Pelan Biru Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital). Ini kerana salah satu sasaran pelan berkenaan ialah mempunyai bilangan pendaratan kabel laut tertinggi di Asia Tenggara pada 2025. Selain itu, keengganan kerajaan menilai semula pemansuhan dasar itu akan mengakibatkan negara terus ketinggalan dari segi kelajuan dan liputan jalur lebar.
Mengikut Indeks Global Speedtest 2021, kelajuan muat turun untuk telefon bimbit meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-94 daripada 140 buah negara. Dari segi kedudukan negara ASEAN pula, negara pada kedudukan kelapan. Pendek kata, ia sesuatu yang memalukan dan patut diambil perhatian segera.
RAM Rating Services Bhd turut memberi amaran sama seperti MIDF Research dan menambah negara kini berisiko ketinggalan di belakang negara-negara ASEAN lain dari segi pendaratan kabel laut. Ketika ini, Malaysia mempunyai 23 buah kabel dasar laut, jauh ditinggalkan Indonesia (55) dan Singapura (31). Filipina di belakang dengan 19 buah kabel tetapi boleh saja memotong negara sekiranya berjaya mendapat pelaburan sistem kabel yang dinyatakan di atas.
Selain isu pemansuhan pengecualian kabotaj, pelabur juga tertanya-tanya tentang hala tuju polisi kerajaan dan perlaksanaan dasar untuk merealisasikan misi negara berpendapatan tinggi menjelang 2030. Penganalisis RAM Rating Services Bhd Chu Jia Ying, dua isu ini harus diselesaikan segera bagi merangsang keyakinan pelabur. Lantas, sesi meja bulat dan komunikasi kerajaan dengan pemegang taruh utama seperti Facebook, Google dan Microsoft perlu dipertingkatkan sekiranya ingin memastikan lebih banyak pelaburan baru masuk.
Tambahnya, kesalinghubungan global yang lemah dari segi pelaburan kabel dan sokongan untuk infrastrutktur digital lain seperti kemudahan pengehosan data dijangka akan mempengaruhi kejayaan aspirasi digital negara. Isunya di sini sentiasa berkisar tentang isu kedaulatan dan keselamatan data. Atau lebih tepat, bagaimana kerajaan mengawal selia atau mengeluarkan lesen kepada pusat-pusat data dan penyedia-penyedia perkhidmatan awan (cloud).
Pada Februari 2021, kerajaan memberi kebenaran bersyarat kepada firma-firma teknologi antarabangsa untuk membina dan mengurus pusat-pusat data dan perkhidmatan awan. Bagaimanapun, setakat ini, hanya Microsoft sahaja yang menunjukkan minat untuk berbuat demikian. Isu sensitif ini dijangka akan mempengaruhi pendekatan kerajaan dan pelaburan akan datang.
Di sebalik kerugian akibat kehilangan peluang pelaburan sistem kabel dasar laut, Jia Ying melihat negara boleh meraih keuntungan menerusi pembinaan pusat-pusat data. Ini kerana dengan pertambahan permintaan pusat-pusat data baru dari pemain-pemain tempatan seperti TM One, AIMS (Data Centre Sdn Bhd) dan Extreme Broadband (Sdn Bhd) dan moratorium pembinaan pusat data oleh Singapura, ia bakal membuka peluang baru kepada negara.
RUJUKAN:
Hazim, Anis. (2021). Subsea cable exclusion a loss to digital Malaysia’s future. The Malaysian Reserve.
Sumber gambar: SoyaCincau