fbpx

Nilai Syarikat Apple Yang Mencapai Angka Trilion

0 865

Siapa sangka sekitar 50 tahun dulu, dua sahabat berjumpa dalam sebuah garaj dan meletakkan langkah pertama yang menjadi sebuah gergasi dalam industri teknologi. Apple telah mencapai menara gading dan mencipta menara gading baru untuk dicapainya lagi.

Kejayaan Apple memang ajaib. Kerana syarikat ini berjaya membuatkan “kejayaan” itu sebagai satu perkara biasa. Kalau tanya orang ramai, Apple terkenal dengan iPhone dan Macbook seolah-olah dua peranti ini adalah perkara biasa.

Advertisement

Itulah kehebatan Apple, membiasakan apa yang hebat. Namun sebenarnya, Apple telah merombak cara dunia melihat suatu teknologi (Griffin, 2015).

Rombakan ini membuahkan hasil. Walaupun Steve Jobs sudah pergi buat selamanya, Apple masih kekal relevan. Kerana gergasi ini bijak bermain catur dalam dunia perniagaan dan sosial. Mereka nampak suatu peluang.

Mereka akan berusaha ke arah peluang tersebut. Cuba bandingkan kualiti kamera telefon antara 2000 hingga 2010 dan 2010 hingga 2020. Mungkin perbandingan ini tidak begitu adil. Jadi cuba bandingkan kualiti kamera antara 2010 hingga 2015 dan 2015 hingga 2020. Semua boleh nampak perbezaannya sangat ketara.

Ini adalah kerana Apple (dan syarikat telefon lain) nampak kamera adalah segalanya sekarang. Dengan kebangkitan Instagram dan TikTok, semua pemain industri memastikan kamera mereka mencapai tahap yang tidak terjangkau dek akal.

Punyalah susah dulu untuk ada kamera berteknologi 1080p. Sekarang teknologi 4K sudah tersedia. Malah kamera iPhone boleh merakan 4K jauh lebih lama untuk dibandingkan dengan kamera tanpa cermin seperti Panasonic Lumix GF-9 (sekalipun kualiti GF-9 jauh lebih baik).

Teknologi kamera mungkin nampak remeh. Tetapi ia adalah bukti – syarikat teknologi perlu tahu apa yang pengguna perlu (bukannya mahu). Dan Apple melengkapi segala aspek, menembusi nilai pasaran AS$1 trilion buat julung kalinya pada 2 Ogos 2018.

Apple juga berupaya untuk mengekalkan kedudukan selepas setahun (Leswing, 2019). Begitu rapi perkembangan syarikat Apple hingga gergasi minyak Arab Saudi iaitu Aramco sendiri tidak mampu menghampiri.

Ramai orang dulu tunggu Aramco membuka akses dagangan (selama ini dipegang kerajaan Abdullah II). Datangnya Raja Salman, harga minyak telah jatuh. Dan nampaknya peluang sudah tutup untuk Aramco capai sasaran nilai pasaran.

Apple walau bagaimanapun tidak bergantung pada sumber semulajadi. Sumbernya adalah manusia, yang mempunyai keinginan tanpa had. Sebab itulah Amazon dan Microsoft boleh mengekori Apple rapat. Ketiga-tiga syarikat ini berjaya mengekalkan kedudukan AS$1 trilion dalam pasaran.

Ada yang menyangka mereka akan jatuh kerana COVID-19. Realiti itu tidak menjadi walau sedikit pun. Memang benar Apple mempunyai barang jualan seperti iPhone misalnya. Namun dunia perniagaan Apple sebenar adalah dalam bentuk perisian, yang lebih meluas.

Seorang pengguna iPhone takkan membeli iPhone setiap bulan. Seorang pengguna Macbook pula jarang membeli Macbook baru dalam masa lima tahun, melainkan kalau teknologi yang dikejarnya.

Kalau seorang dua begini, Apple tidak kisah. Tetapi kalau 1-2 juta orang begini? Mesti potensi perniagaan susut. Jadi Apple beralih ke dunia perisian, menawarkan Apple Music, Apple TV+ dan segala produk Apple yang dilanggan secara bulanan.

Ini yang menaikkan lagi nilai Apple sebagai pemain teknologi. Pada 19 Ogos 2020, Apple memecah rekod dan tiba di satu lagi menara gading iaitu AS$2 trilion (Nicas, 2020). Fikir sejenak: Apple perlu 42 tahun untuk capai AS$1 trilion… tetapi dua tahun sudah cukup untuk pecah AS$2 trilion.

Cuma yang pelik, entah kenapa Apple enggan buat media sosial sendiri. Alangkah indah kalau tengok Apple bersaing dengan Facebook. Mungkin satu hari nanti….

Rujukan:

Griffin, A. (2015, Januari 28). 8 Ways That Apple Changed The World. Independent UK.

Leswing, K. (2019, September 11). Apple reaches $1 trillion market cap again after iPhone launch. CNBC.

Nicas, J. (2020, Ogos 19). Apple reaches $2 trillion, punctuating Big Tech’s grip. The New York Times.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.