fbpx

Pakistan – Budak Suruhan Saudi

0 916

Hubungan antara Arab Saudi dan Pakistan boleh dikatakan bersimpul lagi disimpulkan dengan pepatah mudah. Riyadh berdehem, lalu Islamabad pun tercirit. Hal ini demikian kerana Pakistan sedang menghadapi kemelut ekonomi yang berlarutan.

 

Kadar inflasi mencecah 8.2 peratus. Seramai 77.6 juta rakyatnya dihimpit kemiskinan dan dua juta dalam kalangan ini pula kebuluran. Perbelanjaan kerajaan dan imbangan perdagangan pun dalam keadaan defisit.

 

Advertisement

Pada setiap tahun kerajaan Pakistan mengeluarkan AS$3 bilion untuk membayar hutang kepada negara-negara Barat dan pihak IMF (Rafiq, 2019).

Inilah pentadbiran yang diwarisi Imran Khan pada 18 Ogos 2018. Dua bulan selepas mengangkat sumpah, Khan membuat kunjungan hormat di Riyadh untuk bertemu dengan Raja Salman.

 

Di sini Khan berjaya mendapat pelaburan berbilion (Middle East Monitor, 2018). Tanpa mempedulikan sentimen antarabangsa ekoran pembunuhan Jamal Khashoggi, Khanr rela pergi demi AS$6 bilion dijanjikan.

 

Khan juga mengaku dengan jujur bahawa Pakistan sangat terdesak kerana tersedak hutang. Angkara sentimen inilah Khan tidak mengunjungi Malaysia apabila Dr Mahathir Mohamad menganjurkan KL Summit.

 

Malang buat Mahathir, majlis ini dianggap Saudi seolah-olah ingin menggantikan OIC pula (Cobain, 2019). Turut menghadiri KL Summit ialah Hassan Rouhani, Recep Tayyip Erdogan dan Tamim Hamad, ketiga-tiga ketua negara yang tidak disukai Saudi.

 

Jadi Pakistan ketika itu “play safe” dengan mengelak KL Summit kerana negara itu perlu mempertahankan jaminan pelaburan sebanyak AS$20 bilion (Hashim, 2019).

 

Namun, dasar “play safe” ini tidak bertahan lama. Hampir setahun kemudian, Pakistan menyelar OIC kerana tidak mahu berdiri bersama dalam isu Kashmir (Hashim, 2020).

 

Malah Pakistan dengan berani mengatakan, “kalau kamu tidak boleh bermesyuarat, saya akan meminta (Imran Khan) adakan mesyuarat bersama negara-negara Islam yang rela bersama kami dalam isu (Kashmir)”.

 

Seruan ini sedang mencabar hegemoni Saudi, lebih teruk daripada apa yang dibuat semasa KL Summit. Sekelip mata, Saudi membatalkan AS$1 bilion yang dijaminkan untuk Pakistan tanpa faedah (interest).

 

Malah kerajaan Saudi meminta bayaran minyak, yang sebelum ini ditangguhkan atas persetujuan kedua-dua pihak.

 

Deheman dari Riyadh telah menciritkan Islamabad. Beberapa hari kemudian, Pakistan memuji peranan OIC dalam hal Kashmir pula.

You might also like

Leave A Reply

Your email address will not be published.