fbpx

Pasaran Perumahan Global Sudah Rosak…

0 231

Selama bertahun-tahun, penulis mendengar rungutan ramai orang tentang ketidakupayaan membeli rumah. Bila ditanya punca ia tidak dapat direalisasikan, majoriti menyatakan harga rumah yang mahal sebagai punca. Trend itu kini menjadi pembolehubah malar yang dapat dilihat di seluruh dunia dari Amerika Syarikat hingga Korea Selatan.

Fenomena ini mula menjadi tumpuan terima kasih kepada pandemik Covid-19. Tetapi ia tidak lagi berkisar dari segi pembelian rumah sahaja. Nak menyewa rumah pun membuatkan ramai orang berfikir banyak kali sebelum melakukannya. Ini merupakan salah satu bentuk ketidaksaksamaan yang berlaku dalam masyarakat dan berpotensi mengakibatkan seluruh generasi merasai kesannya.

Advertisement

Bagi Datuk Bandar Berlin Michael Mueller, trend sebegini sememangnya meresahkan. Beliau mengakui kenaikan kos sewa rumah termasuk apartmen di kota-kota seperti Berlin, London dan Rome menafikan hak mereka yang ingin memiliki kediaman pada kadar berpatutan.

Ia juga kini menjadi bahan kempen politik yang dapat dilihat seantero dunia. Bagi pemimpin Kesatuan Verdi di Jerman, isu perumahan merupakan versi abad ke-21 untuk harga roti yang sentiasa menjadi pencetus ketidakstabilan sosial. Jika keadaan ini dibiarkan, ia boleh mencetuskan gangguan kepada keamanan dan ketenteraman awam.

Bagi yang mengikuti perkembangan semasa, pasti sudah masak dengan semua solusi isu perumahan. Solusi seperti had kadar sewa, cukai tuan tanah, memiliknegarakan hartanah persendirian atau menukar lot pejabat kosong kepada kediaman. Masalahnya, setiap solusi dicengkam dengan pelbagai isu dan bukan solusi terbaik kepada permasalahan ini.

Di Korea Selatan sahaja, isu perumahan ibarat mimpi ngeri kepada pentadbiran Presiden Moon Jae-in. Pada tahun ini, calon-calon parti beliau yang bertanding dalam pilihan raya datuk bandar di seluruh negara tewas. Kekalahan ini merupakan manifestasi ketidakpuasan hati warga Korea terutama golongan muda terhadap cara kerajaan menangani kenaikan harga rumah.

Sementara China mula mengenakan pelbagai syarat yang perlu dipenuhi sektor hartanahnya. Wujud khabar angin Beijing juga bersedia menguatkuasakan cukai hartanah dengan tujuan memaksa harga hartanah kekal rendah.

Di Shenzhen sahaja, kos rumah di sana bersamaan dengan 43.5 kali ganda purata gaji penduduk di situ. Lantas, tidak hairanlah mengapa isu ini turut mendorong kepada perlaksanaan agenda kemakmuran bersama yang dibawa oleh Presiden Xi Jingping.

Yang pasti, pandemik Covid-19 telah mengakibatkan pasaran perumahan global semakin menarik dalam tempoh 18 bulan. Gabungan faktor kadar faedah yang rendah, kekurangan projek perumahan, perubahan corak perbelanjaan keluarga dan bilangan rumah yang ditawarkan untuk dijual sedikit memastikan harga rumah meningkat. Bagi tuan rumah, ia sesuatu yang bagus tetapi bagi pembeli, ia menyukarkan mereka mendapatkannya.

Dan seperti mana disaksikan dalam filem The Big Short di mana hutang rumah tertunggak menjadi benih kepada krisis ekonomi 2008, perkara sama boleh berulang jika tidak ditangani segera. Tetapi dalam mencari solusi, kerajaan-kerajaan dunia harus bijak mengelak daripada bersikap tidak adil baik kepada tuan rumah mahupun penyewa.

Jika gagal melakukannya, maka bersedialah berdepan prospek ditumbangkan dalam pilihan raya akan datang. Dan itu yang menimpa kerajaan Sweden pimpinan Stefan Lofven selepas mencadangkan lebih banyak sewa ditetapkan oleh pasaran dan bukan lagi oleh kerajaan.

Di Berlin pula, cubaan menghalang kenaikan sewa dihalang menerusi satu perintah mahkamah. Kini, ada yang melancarkan kempen agar rumah-rumah dirampas daripada tuan tanah dan diharap dapat memaksa kerajaan mengadakan referendum berkenaan hal itu, Usul tersebut dijangka dibawa ke sesi pengundian pada 26 September ini.

Kemelut sebegini mendorong bandaraya Berlin bertindak membeli lebih 15,000 buah apartmen daripada dua firma sewaan korporat dengan kos €2.46 bilion (RM12.06 bilion). Ini bagi memastikan lebih banyak rumah dapat diakses untuk tujuan sewaan atau pembelian.

Bagi Anthony Breach dari Pusat Kajian Bandaraya, beliau percaya isu ini turut menyumbang kepada sokongan Brexit dalam referendum UK 2016. Dan jika isu ketidaksaksamaan perumahan ini tidak diselesaikan segera, ia bakal menambah kerumitan kepada fabrik politik sesebuah negara.

RUJUKAN:

Crawford, Alan. (2021). The global housing market is broken, and it’s dividing entire countries. Bloomberg.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.