
Penggal 2 Tahun Pemerintahan Perdana Menteri
Setakat tahun 2021, peradaban dunia moden mencatatkan angka 195 buah negara berdaulat yang ‘berdaftar’ di bawah payung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Daripada jumlah itu, 193 negara telah diiktiraf sebagai negara anggota PBB (member states), manakala Palestin dan Vatican City pula berada dalam kategori negara pemerhati (observer states)
Advertisement
Umum tahu bahawasanya kesemua negara berdaulat terbahagi kepada dua bentuk kerajaan yang paling utama, iaitu; kerajaan Republik (150 negara) dan kerajaan Monarki (43 negara).
Perbezaan antara dua bentuk kerajaan tersebut adalah; kerajaan Republik diperintah oleh seorang pemimpin yang dilantik dalam kalangan rakyat dan kerajaan Monarki pula diperintah oleh individu berketurunan Raja.
Kebiasaannya kerajaan Republik akan mewujudkan Institusi Kepresidenan sebagai badan eksekutif tertinggi negara, yang mana institusi tersebut diketuai oleh seorang Presiden; sama ada Presiden itu dipilih secara terus oleh rakyat atau dilantik menerusi majlis Parlimen atau Kongres.
Secara asasnya, negara-negara Republik yang mengamalkan sistem Demokrasi terbahagi kepada tiga jenis; (1) Demokrasi Berpresiden (Presidential), (2) Demokrasi Separa-Presiden (Semi-Presidential) dan (3) Demokrasi Berparlimen (Parliamentary).
Bagi negara-negara Demokrasi Berpresiden seperti Amerika Syarikat, Indonesia dan Filipina, calon Presiden akan dipilih secara terus oleh rakyat ketika pilihan raya. Presiden yang dipilih kemudiannya akan dilantik sebagai Ketua Negara (Head of State) dan Ketua Kerajaan (Head of Government).
Negara yang mengamalkan sistem Demokrasi Separa-Presiden (Perancis, Portugal dan Mesir) pula memiliki dua orang pemimpin yang saling berkongsi kuasa, iaitu Presiden selaku Ketua Negara dan Perdana Menteri sebagai Ketua Kerajaan.
Dalam konteks kenegaraan Malaysia, kita adalah sebuah negara Monarki yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan (Constitutional Monarchy).
Selain Malaysia, terdapat 37 buah negara beraja lain yang turut mengaplikasikan sistem sama, seperti; Britain, Belgium, Belanda, Luxemborg, Jepun, dan Thailand.
Malaysia tergolong di dalam kelas Demokrasi Berparlimen, yang mana Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku Yang di-Pertuan Agong diiktiraf sebagai Ketua Negara, di samping kewujudan jawatan Perdana Menteri selaku ketua kerajaan.
Menurut laporan ‘Democracy Index’ terbitan tahun 2019; sebanyak 54 negara tergolong di dalam kumpulan kerajaan Autoritarian. China, Vietnam, Laos dan Korea Utara adalah negara autokratik, kerana mereka mengamalkan sistem satu parti (One-Party System).
Ini termasuk enam buah negara beraja yang diiktiraf sebagai negara Monarki Mutlak (Absolute Monarchy), antaranya; Brunei, Arab Saudi, Oman, Qatar, United Arab Emirates dan Eswatini, di samping empat negara Raja Berperlembagaan (Bahrain, Kuwait, Jordan dan Kemboja).
Berbalik kepada isu pokok, yakni had penggal (term limit); puluhan negara demokrasi telah menggunapakai sistem had penggal ke atas pemimpin tertinggi negara, seperti yang termaktub di dalam perlembagaan negara masing-masing.
Amerika Syarikat, Argentina, Brazil, Ecuador, Ghana, Taiwan dan Iraq sebagai contoh, Presiden yang dipilih menerusi pilihan raya atau dewan kongres hanya dibenarkan untuk berkhidmat selama dua penggal atau lapan tahun sahaja.
Selain itu, Indonesia, Perancis, Jerman, Turki, Afghanistan, Kazakhstan, Pakistan dan beberapa negara lain turut menetapkan tempoh perkhidmatan maksimum kepada Presiden mereka, iaitu selama dua penggal (10 tahun).
Ada juga negara yang mengehadkan jawatan Presiden kepada satu penggal, seperti Guatemala (4 tahun), El Salvador (4 tahun), Colombia (4 tahun), Korea Selatan (5 tahun), Mexico (6 tahun), Filipina (6 tahun) dan Israel Laknatullah (7 tahun).
Situasi yang berlaku di negara China dan Rusia pula ‘terbalik’; bila mana kedua-dua negara tersebut baru sahaja menghapuskan had penggal bagi jawatan Presiden. Terdahulu China menetapkan had maksimum Presiden selama 10 tahun dan Russia pula 12 tahun.
Pada 3 Disember 2019, kerajaan Malaysia sebenarnya pernah mengusulkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2019; yang bertujuan untuk mengehadkan tempoh masa lantikan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja.
Namun RUU tersebut hanya sempat dibentangkan di dalam Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama, setelah kerajaan Perikatan Nasional bertindak menarik semula pengusulan RUU tersebut berkuatkuasa 26 Ogos 2020.
Semestinya ada banyak kebaikan jikalau negara ini mengamalkan sistem had penggal melibatkan jawatan-jawatan penting seperti Perdana Menteri, Jemaah Menteri, Menteri Besar, Exco dan Wakil Rakyat (Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri).
Bukan sahaja kita sebagai rakyat dapat mengelakkan diri daripada menonton drama politik lakonan aktor-aktor yang sama, kita juga dapat memberikan ruang kepada tokoh-tokoh lain yang jauh lebih berwibawa untuk mengisi jawatan tersebut.
Elemen-elemen negatif yang mampu merosakkan nilai demokrasi; khususnya pemusatan kuasa kepada seseorang pemimpin juga dapat dibanteras, memandangkan tempoh masa mereka berkuasa telah dihadkan.
Untuk rekod, pemimpin tempatan yang paling lama berkhidmat sebagai Perdana Menteri (PM), Ketua Menteri (KM) atau Menteri Besar (MB) ialah Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud selaku bekas KM Sarawak selama 33 tahun.
Diikuti bekas PM ke-4 dan ke-7; Tun Dr Mahathir Mohamed (23 tahun + 10 bulan), Bekas MB Kelantan; Almarhum Datuk Seri Nik Abdul Aziz (23 tahun), Bekas MB Pahang; Datuk Seri Adnan Yaacob (19 tahun) dan bekas MB Johor; Dato Abdul Ghani Othman (18 tahun).
Tengku Razaleigh Hamzah dinobatkan sebagai Ahli Parlimen yang memiliki rekod perkhidmatan paling lama sejak tahun 1974, iaitu selama 12 penggal (47 tahun), diikuti Lim Kit Siang (45 tahun), Datuk Seri Mohd Najib (41 tahun) dan Tun Dr Mahathir Mohamed (38 tahun).