
Peraturan 996 Diharamkan Di China
Tidak lama dahulu, penulis pernah berbicara tentang peraturan 996 China. Secara ringkas, 996 merujuk kepada peraturan tidak formal syarikat-syarikat China di mana bekerja selama 12 jam (9.00 pagi-9.00 malam) enam hari seminggu. Peraturan ini bukan sekali menjadi punca kematian di tempat kerja di China tetapi dipertahankan sebagai cara memacu kemajuan syarikat-syarikat.
Tetapi kini, Mahkamah Agung Rakyat China pada Jumaat lepas memutuskan peraturan 996 merupakan salah satu kesalahan mengikut undang-undang buruh China. Mahkamah dan Kementerian Sumber Manusia dan Keselamatan Sosial menerbitkan sebuah memo mengandungi 10 contoh kesalahan di tempat kerja dengan sesetengah daripadanya menyumbang kepada kematian di tempat kerja.
Advertisement
Kebanyakan kes membabitkan 996 berlaku dalam firma-firma teknologi seperti Alibaba dan Tencent. Satu contoh kes 996 yang dipetik mahkamah berkenaan seorang staf media wanita yang ditemui rebah dalam tandas di sebuah syarikat. Apabila wanita tersebut disahkan mati di hospital, koroner mengesahkan punca kematiannya ialah sakit jantung dan ada kaitan dengan pekerjaannya.
Akibatnya, firma tempat wanita itu bekerja disaman oleh keluarganya. Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, mahkamah mengarahkan firma tersebut membayar 400,000 yuan terhadap mereka sebagai pampasan. Dalam satu kes lain, seorang pekerja dipecat oleh syarikatnya selepas mempersoalkan budaya kerja 996 yang diamalkan mereka.
Mengikut undang-undang buruh China, pekerja tidak seharusnya bekerja lebih masa melebihi 36 jam sebulan. Tetapi jika mengikut jadual kerja 996, kadang-kadang kerja lebih masa yang diambil pekerja melebihi 128 jam. Di sebalik kritikan bahawa peraturan 996 ini bersifat tidak berperikemanusiaan, sesetengah pengasas firma-firma teknologi melihatnya sebagai kunci menyaingi sektor teknologi Amerika Syarikat atau Silicon Valley.
Antara yang menyokong peraturan ini ialah pengasas Alibaba sendiri, Jack Ma. Ma pernah menyatakan kenyataan ini bila ditanya tentang 996, “Dapat bekerja 996 merupakan satu rahmat. Kalau anda nak sertai Alibaba, anda perlu bersedia untuk bekerja 12 jam sehari. Jika tidak, mengapa anda mahu menyertai kami?”
Bagaimanapun, situasi tidak lagi menyebelahi firma-firma teknologi China. Sejak akhir tahun lepas, kerajaan mula melancarkan kempen untuk mengurangkan pengaruh mereka dengan Presiden Xi Jingping menggesa setiap keuntungan diraih pihak swasta dikongsikan bagi mengatasi isu ketidaksaksamaan kekayaan. Di samping itu, firma-firma turut dikritik di platform internet kerana tidak melayan pekerja kolar biru mereka dengan baik dan gagal menyelesaikan isu-isu tempat kerja yang endemik.
China seperti negara-negara global lain turut dibadai dengan isu ekonomi akibat pandemik Covid-19. Keadaan ini tidak dibantu oleh kemerosotan kadar kelahiran bayi dengan beberapa faktor dikenalpasti seperti kemerosotan bilangan pasangan berkahwin dan kualiti hidup.
Bagi Jingping, kuncinya di sini ialah menyingkirkan budaya 996 yang berakar umbi dalam kebanyakan sektor pekerjaan China termasuk sektor teknologi. Tanpa 996, ia dapat merangsang sentimen pengguna domestik dan menambahbaik kualiti hidup pekerja. Dari situ, ia diharap dapat menambah bilangan kadar kelahiran bayi di China.
Sesetengah syarikat yang bimbang dengan implikasi budaya 996 mula mengambil tindakan segera. Salah satu daripadanya ialah pemilik TikTok, Bytedance mengumumkan telah menamatkan polisi kerja lebih masa pada hujung minggu pada 1 Ogos lalu. Dua minggu sebelumnya, pesaing TikTok iaitu Kuaishou memilih melakukan perkara sama.
RUJUKAN:
Rai, Arpan. (2021). China issues detailed warning against illegal ‘996’ work culture. The Independent.
Huang, Zheping. (2021). China spells out how ‘996’ work culture is illegal. Bloomberg.
Sumber gambar: Steven McDowell/Science Photo Library