fbpx

Perbelanjaan Demi Pemulihan Negara

0 172

Ismail Sabri Yaakob membentuk kerajaan pada masa yang sangat sesuai. Beliau mempunyai masa sangat cukup untuk merancang hala tuju negara mengikut acuannya sendiri. Dan acuannya boleh kita lihat dalam pembentangan Belanjawan 2022. Malaysia kelihatan semakin kembali normal. Mana tidaknya – kerajaan selamba berkomited untuk membelanja RM332.1 bilion, jumlah paling tinggi dalam sejarah ekonomi Malaysia (Ramayah, 2021).

Daripada jumlah besar ini, sebanyak RM233.5 bilion diperuntukkan untuk pengurusan (administrative spending). Manakala RM75.6 bilion pula adalah untuk pembangunan (development spending). Baki RM23 bilion dicarum dalam Kumpulan Wang COVID-19… dan RM2 bilion disediakan untuk simpanan luar jangkaan.

Advertisement

Ada satu benda sangat penting yang perlu disentuh: belanjawan semakin mengembang – tetapi defisit fiskal menurun enam peratus. Jadi walaupun diisytihar paling besar sejarah, perbelanjaan ini masih dikira berhemah untuk melengkapkan keperluan negara.

Memahami Perbelanjaan Dalam Hukum Keynesian

Prinsip ekonomi mungkin rumit untuk dihayati warga marhaen. Senang cakap, ekonomi ada “mazhab-mazhab” tersendiri. Sesiapa yang berjinak-jinak mesti pernah dengar nama John Maynard Keynes dan Adam Smith – dua nama sangat besar dalam prinsip ekonomi.  Keynes hidup pada zaman the Great Depression, yakni penguncupan global paling teruk yang pernah berlaku. Punyalah teruk sampai penguncupan COVID-19 pun belum tentu setanding. Sebagai gambaran, zaman the Great Depression dulu ada ibu siap jual anak sebab tidak sanggup tengok mereka pakai baju diperbuat daripada bungkusan guni.

Semua kerajaan ketika itu padang setiap masalah secara berindividu. Masalah tiada kerja diserap dalam bidangkuasa “kadar pengangguran”. Masalah tiada pembangunan dituju pada bidangkuasa menguruskan “kos buruh”. Keynes pula nampak lain. Beliau melihat dua masalah ini berkongsi pucuk yang sama: “tiada permintaan dalam negara”. Keynes berpendapat selagi tiada permintaan, selagi itulah negara takkan pulih seperti biasa (Macfarlane, 2021). Selalunya pihak swasta akan menjana produktiviti supaya permintaan negara dipenuhi. Tetapi dalam keadaan krisis, pihak swasta sudah berkecai. Jadi tanggungjawab ini perlu digalas kerajaan.

Dasar Fiskal Sebagai Mekanisme Keluar Krisis

Selalunya pemikiran Keynesian adalah mainan kerajaan pro-konservatif macam Ismail Sabri. Golongan konservatif melihat perbelanjaan kerajaan sebagai alat ekonomi yang sangat berguna. Tidak wajar kalau ingin pukul rata banyak berbelanja adalah suatu pembaziran. Ekonomi negara bukan macam poket individu. Ambil contoh bantuan kewangan yang dimulakan sebagai BR1M. Kerajaan beri wang sebanyak RM1,000 yang dibelanja rakyat untuk membeli barangan runcit. Syarikat pnegeluar barangan runcit sudah dapat untung. Mereka akhirnya membayar cukai… maka wang kembali kepada kerajaan balik.

Dengan RM1,000 satu keluarga, dasar konsumerisme negara terus hidup. Ekonomi bertambah sihat kerana hidup dengan perbelanjaan. Ada permintaan dalam ekonomi; jadi ada bekalan. Pekerja dalam syarikat terbabit kekal tanpa perlu dibuang untuk menjimatkan kos. Kerajaan tidak menjaga seorang pekerja. Kalau ada 100,000 pekerja, maka 100,000 lah dijaga kerajaan. Kerajaan Ismail Sabri menyediakan RM4.8 bilion untuk bantu 600,000 orang dapatkan kerja. Ini adalah sebahagian daripada sasaran iaitu untuk mengurangkan kadar pengangguran daripada 4.6 peratus ke 4 peratus.

Bayangkan 600,000 orang terus dapat kerja. Mesti ekonomi keliling dapat tempias juga. Kedai makan boleh dapat untung. Kedai runcit kekal beroperasi. Itulah contoh limpahan ekonomi yang diusulkan hukum Keynesian. Dan daripada RM75.6 bilion dibelanja untuk pembangunan, pihak AmBank sasar dapat merancakkan projek-projek bernilai RM140 bilion (Salim, 2021). Jadi sekali keluar RM75 bilion, Malaysia barangkali menjana beratus bilion setiap tahun.

RUJUKAN:

Macfarlane, A. (2021). Science and Culture. Routledge.

Ramayah, U. (2021, Oktober 29). Bajet 2022: Kerajaan bentang belanjawan berjumlah RM332.1 bilion, tertinggi dalam sejarah. ASTRO AWANI.

Salim, S. (2021, Oktober 30). AmBank Research sees potential roll-out of RM140b worth of projects from Malaysia’s higher development spending. The Edge Markets.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.