fbpx

Perlukah Monopoli TNB Dipecahkan?

0 466

Baru-baru ini, ramai menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap kenaikan bil elektrik yang dilihat menambah beban kepada kantung kewangan mereka yang terjejas akibat perlaksanaan PKP.

 

Justeru, ada yang menyarankan sudah tiba masanya monopoli Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam perkhidmatan bekalan elektrik dihapuskan.

 

Advertisement

Gesaan tersebut dibuat bagi mencetuskan persaingan sihat dalam kalangan pihak pembekal elektrik dan berupaya menawarkan perbezaan kadar tarif. Persaingan sebegini menurut mereka bakal memberi kesan positif kepada pengguna.

banggunan tnb
Kredit: TNB

Namun bagi Profesor Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Datuk Dr Shazali Abu Mansor, buat masa ini agak sukar ia dapat direalisasikan.

 

Hal ini demikian kerana menurut beliau, syarikat baru yang ingin meneroka perniagaan utiliti memerlukan modal besar dan kepakaran tertentu.

 

Selain itu, urus niaga syarikat utiliti mempunyai kos tidak langsung yang sangat tinggi, sekaligus boleh mempengaruhi kadar tarif bekalan elektrik kepada pengguna.

 

Beliau berkata, “Berdasarkan beberapa asas ini, langkah atau pertimbangan untuk memecahkan monopoli bekalan utiliti tidak semestinya mampu mengurangkan kadar harga bekalan elektrik kepada pengguna.

 

“Sebaliknya, kelangsungan bekalan harian kepada pengguna mungkin berdepan gangguan kerana syarikat yang baru ingin menceburi bidang perniagaan utiliti ini berkemungkinan berdepan masalah aliran tunai. Apabila berdepan masalah sedemikian, aspek perkhidmatan akan terencat dan hanya mencetuskan pelbagai rungutan dalam kalangan pengguna sementara kerajaan sukar mengawal situasi semasa.”

 

Sebagai cadangan balas, Prof Shazali berkata, langkah mengurangkan beban kos bayaran elektrik dalam kalangan rakyat dapat dilaksanakan menerusi beberapa pendekatan termasuk menilai semula julat kadar tarif semasa dan menerapkan elemen koperasi antara syarikat, pemegang taruh dan pengguna.

 

Beliau berkata, golongan B40 dan M40 paling terkesan dalam peningkatan kos sara hidup berupaya menikmati manfaat caj bekalan elektrik terendah jika blok pertama tarif ditingkatkan daripada 200 kilowatt sejam (kWj) kepada 300 kWj.

 

“Namun, kadar untuk blok pertama itu dikekalkan 21.8 sen. Ianya bagi memastikan B40 dan M40 ada lebihan pendapatan boleh guna yang akhirnya akan dikitar semula dalam ekonomi domestik menerusi perbelanjaan bagi keperluan lain. Pendekatan koperasi dengan pemberian rebat sebagaimana diterapkan di negara maju seperti United Kingdom (UK) boleh digunakan untuk memberi situasi menang-menang antara syarikat pembekal dengan golongan T20.

 

“Bekalan utiliti adalah perniagaan yang sudah pasti menjana keuntungan, justeru syarikat sepatutnya mempunyai dasar tanggungjawab sosial untuk mengagihkan semula pendapatan atau pulangan kepada pengguna bagi menghargai kesetiaan mereka. Keuntungan atau pulangan tidak seharusnya sekadar diagih kepada pemegang taruh dalam perniagaan semata-mata kerana pengguna juga melanggan perkhidmatan mereka seharian,” katanya.

 

Sementara itu Timbalan Pengarah Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin turut bersetuju dengan Prof Shazali dan berpendapat bekalan elektrik wajar diselia oleh TNB saja buat masa ini.

 

“Industri tenaga ini bukan seperti industri lain kerana ia memerlukan kos besar untuk beroperasi. Jika ada beberapa firma beroperasi dalam industri ini, mungkin mereka memerlukan bantuan kerajaan untuk meneruskan perniagaan ketika ekonomi berdepan krisis akibat COVID-19,” katanya.

 

Namun untuk jangka panjang dan apabila ekonomi sudah pulih daripada krisis COVID-19, beliau berpendapat situasi itu amat sesuai untuk mewujudkan struktur pasaran yang lebih oligopolistik.

 

Baca juga: Mekanisme TNB Yang Agak Menakutkan

 

Hal ini demikian kerana pasaran seumpama itu dapat mengawal harga secara lebih berkesan dengan menggalakkan persaingan, mempertingkat kecekapan dan daya saing serta merangsang pengeluaran.

 

“Ini akan menurunkan harga dalam pasaran melalui kuasa pasaran itu sendiri, bukannya campur tangan kerajaan seperti pemberian subsidi. Jika ini dapat dilakukan pada masa depan, ia bukan saja dapat memberi kepuasan dan kuasa kepada pengguna untuk membuat pilihan tetapi juga meningkatkan hasil negara, dengan penjimatan daripada pengurangan pemberian subsidi atau insentif lain dalam usaha kerajaan mengurangkan harga dalam industri ini,” katanya.

 

Bagi pihak kerajaan sendiri, mereka juga melihat belum masanya untuk memecah monopoli TNB dalam hal perkhidmatan bekalan elektrik.

 

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata hasrat kerajaan ialah menjamin kawalan sektor perkhidmatan bekalan elektrik sekaligus memastikan permintaan pengguna berupaya dipenuhi pada setiap masa.

 

“Kita perlu ingat sektor tenaga penting kepada kerajaan. Justeru, perlu ada pengawalan. Jadi, pada pandangan kita, ia adalah yang terbaik untuk menangani isu seperti yang berlaku pada hari ini. Jika perkhidmatan tenaga ada banyak pihak pembekal lain, ia bakal menyukarkan aspek kawalan. Jadi, buat masa ini, kerajaan masih berpegang kepada pendekatan sedia ada,” katanya dalam satu sidang media beberapa hari lepas.

Source Abdul Karim, Luqman Arif & Abdul Mutalib, Zanariah. (2020). Monopoli bekalan elektrik mudahkan kawalan. Berita Harian. Abdul Karim, Luqman Arif & Abdul Mutalib, Zanariah. (2020). Pecah monopoli tidak jamin mampu kurangkan kadar tarif. Berita Harian.
You might also like

Leave A Reply

Your email address will not be published.