fbpx

Projek Ladang Suria Terbesar Singapura-Australia

0 174

Dengan isu perubahan iklim mula dirasai di seluruh dunia, banyak negara mula beralih kepada tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga suria, tenaga angin dan tenaga geoterma. Tetapi bagi negara bersaiz kecil seperti Singapura, agak sukar untuk mereka berbuat demikian. Ini kerana mereka tidak mempunyai ruang tanah yang besar diperlukan untuk menjana tenaga boleh diperbaharui.

Jadi, sebagai solusi kepada permasalahan mereka, sebuah syarikat tenaga bernama Sun Cable merancang untuk membina ladang tenaga suria berhampiran Elliot, Australia. Elliot dipilih kerana ia merupakan antara lokasi di dunia yang menerima sinaran matahari paling banyak. Loji ini berupaya menjana tenaga antara 17 hingga 20 Gigawatt (GW)!

Advertisement

Sekiranya rancangan syarikat Australia ini mendapat lampu hijau Canberra, sebahagian tenaga akan dibekalkan ke bandar Darwin yang terletak 800 km dari Elliot. Manakala bakinya akan dibekalkan kepada Singapura melalui kabel DC bervoltan tinggi yang berukuran 4,200 km dipasang merentasi rangkaian kepulauan Indonesia dan Singapura.

Pada tempoh di mana loji menerima sinaran matahari yang paling banyak, sesetengah tenaga elektrik yang dijana akan digunakan untuk mengecas bateri berkuasa 36 hingga 42 GW. Ini bagi memastikan bandar-bandar yang menerima tenaga akan dapat menggunakannya pada waktu malam.

Projek ini bukan sekadar membantu Singapura menjana tenaga bersih dan membolehkan pelabur-pelabur Sun Cable meraih keuntungan. Projek ini juga diharap sebagai permulaan industri suria Australia. Walaupun bertanggungjawab mencipta panel suria yang paling banyak digunakan di seluruh dunia dan menerima banyak sinaran matahari, Australia tidak menghasilkan satu panel suria untuk kegunaan tenaga.

Sun Cable berharap situasi ini dapat diubah. Salah seorang pelabur mereka, Mike Cannon-Brookes turut melabur dalam SunDrive yang sedang mencari cara mengkomersialkan teknologi menggantikan perak dengan kuprum pada panel suria. Satu lagi syarikat yang mendapat suntikan pelaburan Cannon-Brookes ialah 5b yang menunjukkan kaedah lebih murah untuk pemasangan ladang suria.

Sekiranya projek ini berjaya, ia sudah pasti membantu Sun Cable merealisasikan projek skala sama di tempat lain. Baru-baru ini, mereka memeterai persetujuan dengan kerajaan Maghribi untuk membina ladang suria dan angin yang berupaya menjana tenaga sebanyak 10.5 GW. Sebahagian tenaga akan dihantar ke Britain menerusi kabel sepanjang 3,800 km.

Sementara menanti kelulusan projek Sun Cable, ada yang mencadangkan agar ladang suria terapung dibina di kawasan Tadahan Duriankang di Pulau Batam, Indonesia. Mengikut keterangan cadangan tersebut, ia berupaya menjana 2.2 GW dan sebahagiannya akan dibekalkan ke Singapura dengan kabel sejauh 50 km.

RUJUKAN

Luntz, Stephen. (2021, 1 Oktober). Gigantic Solar Project Plans To Power Singapore All The Way From Australia. IFLScience.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.