fbpx

Projek pembesaran, naik taraf LTSIP lewat 5 peratus

0 90

Kota Bharu: Projek pembesaran dan naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa, di sini, mengalami sedikit kelewatan lima peratus atau 83 hari, berbanding jadual asal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kelewatan itu disebabkan dua faktor iaitu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kekurangan tenaga buruh asing.

Advertisement

Beliau berkata, mengikut perancangan asal, sepatutnya projek berkenaan sudah siap 14 peratus, namun hanya sembilan peratus disiapkan disebabkan PKP dan sukar mendapatkan tenaga buruh asing.

“Buat masa sekarang hanya 180 pekerja termasuk 30 pekerja tempatan dan kita memerlukan 400 pekerja apabila projek berkenaan sampai ke kemuncak.

“Kita sudah memohon dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung tenaga kerja asing berkenaan dan Kementerian Pengangkutan sudah memaklumkan akan menyelesaikan perkara ini.

“Projek yang mengambil masa selama tiga tahun ini masih berbaki dua tahun lagi untuk siap iaitu April 2024 dan kementerian memaklumkan projek itu akan dapat disiapkan mengikut jadual walaupun pada awalnya berlaku sedikit kelewatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau projek pembesaran dan naik taraf LTSIP, di sini, hari ini.

Mustapa berkata, projek membabitkan kos keseluruhan RM440 juta itu dinanti-nantikan rakyat Kelantan kerana apabila siap nanti akan setaraf lapangan terbang antarabangsa dan mampu menampung empat juta penumpang setahun.

Beliau berkata, ketika ini ia hanya mampu 1.8 juta penumpang selain keluasan tapak membabitkan 37,000 meter persegi.

“Saya dimaklumkan jumlah penumpang menggunakan LTSIP adalah lebih 90 peratus dan hampir menyamai jumlah sebelum berlakunya Covid-19. “Ia satu petanda baik kerana lapangan terbang ini berkembang dengan pesat. Justeru, amat penting projek pembesaran lapangan terbang ini dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan,” katanya.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.