fbpx

Pulau Buatan Manusia Hub Tenaga Hijau Denmark?

0 687

Bersesuaian dengan aspirasi Perjanjian Paris yang menggesa negara-negara global berusaha mengurangkan perlepasan karbon sebagai solusi isu pemanasan global, banyak negara mula beralih kepada kaedah yang lebih lestari seperti penggunaan kenderaan elektrik atau mencari alternatif sumber tenaga elektrik.

Dalam kes Denmark, mereka ingin membina sebuah pulau buatan manusia bagi menjana tenaga elektrik secara lestari.

Advertisement

Mungkin bagi kita di Malaysia, idea sebegini dianggap terlalu bercita-cita tinggi, radikal atau gila.

energy island denmark
Kredit: Offshore Wind

Namun ia sudah mendapat kelulusan sebulat suara semua penggubal undang-undang Denmark yang melihatnya sebagai idea radikal tetapi perlu bagi merealisasikan matlamat Denmark bergelar negara bebas karbon menjelang 2050.

Pulau buatan manusia itu pada awalnya berkeluasan 120,000 km persegi tetapi keluasannya akan ditambah sebanyak tiga kali ganda mengikut pelan baru.

Ia merupakan projek pembinaan termahal dalam sejarah Denmark dengan kos 210 bilion kroner (RM100.8 bilion).

Separuh daripada pemilikan pulau yang terletak 80 km di luar pesisir pantai Laut Utara akan diambil pihak kerajaan manakala bakinya diambil oleh pihak swasta.

Apabila ia dijangka siap pada 2033, ia bukan saja akan membekalkan tenaga elektrik kepada seluruh isi rumah di Denmark.

Malah, tambah Profesor Jacob Ostergaard dari Universiti Teknikal Denmark, ia bakal memberi manfaat kepada negara-negara luar seperti Britain, Jerman dan Belanda.

Hal ini demikian kerana tenaga hidrogen hijau yang dibekalkan pulau itu boleh digunakan dalam banyak sektor seperti perkapalan, penerbangan dan perindustrian berat.

Lantaran pulau berkenaan bakal menjadi hub kepada 200 buah kincir angin gergasi yang dipasang di situ.

Profesor Ostergaard melihat pembinaan pulau ini sebagai satu lagi langkah besar untuk industri kincir angin Denmark.

Ianya kerana apabila projek ini dapat direalisasikan, ia bakal menjadikan mereka sebagai perintis kepada pemain industri kincir angin lain di seluruh dunia.

Bagi kumpulan aktivis alam sekitar Dansk Energi, mereka meragui sama ada projek ini dapat disiapkan pada tahun 2033. Namun pada masa sama, mereka melihatnya sebagai satu mimpi yang hampir menjadi kenyataan.

Sebelum ini, Copenhagen meluluskan usul menghentikan semua bentuk aktiviti penerokaan gas dan minyak di Laut Utara pada Disember tahun lepas.

Walaupun keputusan ini dijangka mengakibatkan Denmark kerugian 13 bilion kroner (RM6.2 bilion), ia meletakkan mereka di landasan tepat untuk mencapai matlamat negara bebas karbon pada 2050.

Walaupun lokasi pembinaan pulau buatan ini belum didedahkan, dua kawasan di barat pesisir pantai Jutland dilihat sebagai calon berpotensi untuk projek berkenaan. Kedua-dua kawasan mempunyai kedalaman laut yang cetek sekitar 26-27 meter.

Selain projek ini, terdapat satu lagi projek pulau tenaga tetapi pada skala lebih kecil sedang dirancang di luar pesisir Bornholm di Laut Baltik.

Apabila siap dibina, ia bukan saja membekalkan tenaga elektrik kepada Denmark tetapi kepada Jerman, Belanda dan Belgium juga.

Baca juga Belajar Dari Pengurusan Ekonomi Denmark Ketika Covid-19

Source BBC. (2021). Denmark to build 'first energy island' in North Sea.
You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.