fbpx

Qatar Semakin Makmur Walau Disisihkan Negara Arab Lain

0 951

Tiga tahun lepas, Timur Tengah dikejutkan dengan sekatan udara, air dan darat yang dikenakan Arab Saudi, Bahrain, Mesir serta Emiriah Arab Bersatu (UAE) terhadap Qatar.

 

Puncanya mudah iaitu Qatar enggan menutup stesen televisyen Al-Jazeera dan dituduh menyokong kumpulan ekstremis. Namun pada tahun 2020, Qatar bukan saja tidak terganggu tetapi terus mengembangkan ekonominya di sebalik cabaran sekatan dan Covid-19.

 

Advertisement

Tidak lama selepas sekatan dikenakan, ratusan kapal dan kapal terbang dari Turki, Maghribi, India serta Iran membawa bekalan makanan kepada negara Teluk itu untuk memastikan bekalan makanan mereka sentiasa ada. Namun Doha harus sedar mereka perlu segera mengatasi kesan negatif sekatan yang dikenakan.

Salah satu kesan positif yang muncul dari sekatan tersebut adalah industri tenusu Qatar. Sebelum ini, 90% bekalan tenusu termasuk susu diimport dari Arab Saudi.

 

Namun tidak lama selepas sekatan, Doha segera mengimport ribuan ekor lembu tenusu dari Eropah dan Amerika Syarikat serta mengasaskan ladang tenusu serta daging tempatannya yang pertama, Baladna.

 

Menerusi langkah ini, ia membolehkan Qatar mengekalkan sumber makanan yang diperlukan populasinya dan lebihan pula boleh dieksport ke pasaran luar negara.

 

Tidak cukup dengan itu, banyak firma tempatan bekerjasama dengan ladang buah-buahan dan sayur-sayuran untuk membekalkan bekalan makanan segar di pasaraya seluruh negara.

 

Siapa sangka, langkah yang diambil untuk membendung kesan negatif sekatan amat berguna semasa penularan pandemik Covid-19.

 

Semasa penularan Covid-19, gudang-gudang besar yang menyimpan makanan seperti beras, minyak dan gula dimanfaatkan bagi memastikan bekalan tersebut sentiasa ada semasa kemuncak penularan pandemik Covid-19 di Qatar.

 

CEO Syarikat Pertanian Agrico, Nasser Al Khalaf mendedahkan sebab perubahan ini ialah akses kepada teknologi pertanian tempatan yang terkini.

 

Beliau berkata, “Tiga tahun lepas, hasil pengeluaran buah-buahan dan sayur-sayuran tidak sampai 10%. Kini, kami sedang menghampiri sasaran 30%.

 

“Memandangkan teknologi dan kepakaran tempatan sudah ada, maka tiada apa yang menghalang kami dari mencapai sasaran yang ditetapkan.” Disebabkan itu, Qatar berada di kedudukan pertama untuk keselamatan makanan di Timur Tengah dan menduduki tangga ke-13 Indeks Keselamatan Makanan Global yang dikumpul oleh Economist Intelligence Unit.

 

Kurang enam bulan selepas dikenakan sekatan, Pelabuhan Hamad dibuka secara rasmi. Pelabuhan itu merupakan pelabuhan terbesar di Timur Tengah dan ia membuka laluan kepada laluan perkapalan baru, sekaligus memastikan semua bekalan termasuk keperluan asas sentiasa ada.

 

Sekatan juga memaksa syarikat penerbangan Qatar Airways mengubah strategi perniagaan mereka. Walaupun pada tahun pertama sekatan, mereka mengalami kerugian besar berikutan kehilangan akses penerbangan ke 18 bandar besar empat negara tersebut, pendapatan Qatar Airways terus bertambah dari tahun ke tahun.

Kredit: Bosshunting

Salah satu taktik mereka ialah meningkatkan pegangan saham dalam beberapa syarikat penerbangan. Antara syarikat penerbangan di mana Qatar Airways mempunyai pegangan saham ialah Cathay Pacific, RwandAir, LATAM Airlines Group (Chile) dan syarikat induk British Airways, IAG SA.

 

Di samping itu, ia turut mendorong Qatar menjalin hubungan rapat dengan Iran dan Turki. Iran kini menjadi sumber makanan, perubatan dan air utama untuk Qatar.

 

Buktinya, imbangan perdagangan membabitkan kedua-dua negara bertambah secara dramatik sebanyak AS$2 bilion antara 2017 hingga 2018.

 

Sementara dengan Turki pula, Qatar meneruskan perjanjian kerjasama ketenteraan bersama Ankara yang dimeterai pada tahun 2014. Kerjasama ini membolehkan Turki meningkatkan lagi bilangan kekuatan tentera mereka di rantau Teluk.

 

Justeru, tidak hairanlah tatkala banyak negara mungkin mengalami defisit pada tahun ini akibat Covid-19 dan perang harga minyak Rusia-Arab Saudi, Qatar berkemungkinan menjadi antara beberapa negara yang mempunyai lebihan pendapatan ekonominya.

 

Hal ini demikian kerana kekuatan kewangan yang dimiliki mereka dapat menyerap impak negatif yang dibawa oleh faktor-faktor luar jangka itu.

 

Dengan semua perkembangan ini, nyatalah sekatan yang dikenakan empat negara itu bukan saja tidak menjadi, bahkan menambah kemakmuran Qatar.

 

Tidak ramai tahu, Qatar mempunyai dana kekayaan berjumlah AS$320 bilion dan menurut Dr Harry Verhoeven, sikap Riyadh dan Abu Dhabi memandang rendah keupayaan Doha merupakan satu kesilapan besar.

 

Felo Oxford itu menambah, “Pada asasnya, Arab Saudi dan UAE gagal menganggar keupayaan Qatar mengalihkan semula laluan bekalan dan kekayaan negara itu yang membolehkan mereka bertahan.” Pada akhirnya, situasi ini mendorong empat negara itu menilai semula sekatan yang dikenakan.

 

Pada Februari lepas, keempat-empat negara itu memutuskan memulihkan kembali perkhidmatan pos ke Qatar, sekaligus menandakan permulaan keretakan sekatan yang dikenakan pada 2017.

 

Pada Disember 2019, kuartet menghantar pasukan bola sepak mereka menyertai Piala Teluk Arab di Doha walaupun sedar mereka melanggar sekatan udara yang dikenakan.

 

Terima kasih kepada tindakan bodoh Riyadh yang membenarkan siaran sukan antarabangsa secara haram disiarkan beoutQ dengan harapan mengenakan tekanan kepada BeIN Sports, penyiar sukan Qatar sejak sekatan dikenakan, ia mengundang laporan pedas daripada Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO).

 

WTO dalam satu laporannya baru-baru ini menyifatkan Arab Saudi bukan sahaja menyokong dan mempromosikan beoutQ, malah enggan mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap entiti itu walaupun mendapat aduan dari ramai pihak seperti Liga Perdana Inggeris (PL), FIFA, UEFA dan NBA.

 

Akibatnya, Dana Pelaburan Awam (PIF) yang digunakan Arab Saudi untuk mengambil alih kelab Newcastle United terpaksa merundingkan isu ini dengan pihak Qatar bagi membolehkan pengambilalihan berjalan lancar. Malah, PIF juga bersedia melobi pihak kerajaan untuk memastikan perkara ini tidak berlarutan.

 

Di sebalik usaha Oman dan Kuwait meredakan ketegangan antara kuartet negara itu dengan Qatar, ketegangan masih lagi timbul. Bagi UAE, selagi Qatar tidak memenuhi dua syarat yang dikemukakan, sukar bagi mereka menarik balik sekatan.

 

Namun bagi Profesor Ahmad Baabod dari Institut Timur Tengah, Universiti Singapura menyifatkan isu sekatan ini sebagai satu isu buatan dan bersifat peribadi terhadap dua arkiteknya, Putera Mohammed bin Salman (Arab Saudi) dan Putera Mohammed bin Zayed al-Nahyan (UAE).

 

Tambahnya, “Ia boleh saja berakhir seperti ia bermula – dengan satu keputusan pantas oleh pemimpin mereka.”

Source Al-Jazeera. (2020). Saudi state behind beoutQ piracy TV operation: WTO ruling. Ibrahim, Arwa. (2020). Beating the blockade: How Qatar prevailed over a siege. Al-Jazeera. Robinson, D. (2020). Saudi Arabia seek peace deal over TV rights to rescue Newcastle takeover. Daily Star.
You might also like

Leave A Reply

Your email address will not be published.