fbpx

Rancangan Penggabungan Nissan-Renault Ditangguhkan

0 108

Tidak lama dahulu, penulis pernah berbicara panjang lebar tentang perihal Carlos Ghosn, rancangan besarnya untuk Nissan dan Renault serta orang yang bertanggungjawab menjahanamkan rancangan tersebut.

 

Boleh juga : Hari Nada – Pemusnah Legasi Nissan Carlos Ghosn

 

Advertisement

Salah satu perkara yang menjadi punca pertikaian dua gergasi kenderaan dunia itu ialah rancangan penggabungan yang dicadangkan Ghosn.

Rancangan tersebut ditentang keras eksekutif-eksekutif Nissan kerana menganggap Renault tidak membayar pakej kewangan yang setimpal dengan kerja kejuruteraan yang dilakukan di Jepun. Satu isu pertikaian yang berlangsung selama beberapa tahun.

 

Kini disebabkan pandemik Covid-19 dan situasi pasaran kenderaan yang tidak menentu, dua entiti permotoran dunia itu mengambil keputusan menambahbaik pakatan mereka dan menangguhkan sebarang usaha penggabungan.

 

Keputusan ini diterjemah melalui usaha penstrukturan semula pertengahan penggal sebagai solusi kepada isu yang berbangkit antara Renault dengan Nissan.

 

Sebelum ini, kedua-dua syarikat terpaksa membuat pemotongan mengakibatkan ramai pekerja dibuang dengan Nissan pada 28 Mei disusuli Renault sehari kemudian.

 

Sumber syarikat mendedahkan rancangan baru membabitkan kedua-dua entiti itu ialah mengaplikasikan pendekatan “ketua-pengikut” dalam pakatan yang turut dianggotai oleh Mitsubishi.

 

Sumber ini turut menyebut menerusi pelan baru ini, ia akan mengukuhkan perkongsian teknologi dan sumber yang lebih adil sambil memelihara keunikan jenama masing-masing.

 

Dua individu yang bertanggungjawab membawa rancangan ini ke hadapan ialah Ketua Pegawai Operasi Nissan, Ashwani Gupta dan pengerusi Renault, Jean-Dominique Senard.

 

Mengikut rancangan, sebuah syarikat akan ditugaskan membangunkan sebuah model kenderaan atau teknologi dengan dua syarikat lagi akan mengikut.

 

Bagi Gupta, perkara ini bukan asing baginya kerana ia cara sama untuk membina semula kecemerlangan unit kenderaan komersial Renault dan Nissan sendiri.

 

Semasa beliau bertugas di Renault, Nissan menggunakan rekaan Renault sebagai blok pembangunan untuk van penghantaran bandarnya.

 

Sementara Nissan pula menyediakan teknologi yang diperlukan Renault untuk lori pikapnya.

 

Ujian percubaan pendekatan ini akan dilihat di beberapa tempat seperti Eropah, Amerika Selatan (kerjasama Nissan dan Renault), Asia Tenggara dan Jepun (kerjasama Nissan dan Mitsubishi).

 

Menerusi pendekatan baru ini, Nissan akan mengetuai pembangunan kenderaan utiliti sukan (SUV) di Eropah.

 

Sementara Renault akan mengetuai usaha pembangunan van komersial dan kereta kecil bandar dengan Nissan menjadikan model Renault sebagai templat. Kilang Nissan di Sunderland, Britain bakal memainkan peranan penting.

 

Renault dan Nissan merancang menukar loji pemasangan sebagai hub SUV entiti-entiti pakatan itu seperti Nissan Qashkai dan Renault Kadjar.

 

Rancangan tersebut kini diperhalusi tetapi tempoh keputusan akhir akan dibuat masih belum diputuskan.

 

Hal ini ditambah dengan ketidaktentuan isu tarif selepas Britain memutuskan untuk keluar dari Kesatuan Eropah yang dimuktamadkan pada akhir tahun lepas.

 

Di Filipina pula, Mitsubishi akan membantu Nissan menghasilkan kereta di sana memandangkan syarikat itu sudah mempunyai kilang di Filipina.

 

Melalui kerjasama terbaru dua entiti permotoran itu dalam pembuatan kereta mini mikro, ini dapat membantu kedua-dua syarikat menguasai pasaran model kereta itu di Filipina.

 

Dengan usaha baru ini, sebarang perbincangan tentang penggabungan akan ditangguhkan terlebih dahulu.

 

Ketika ini, Renault mempunyai pegangan sebanyak 43.5% dalam Nissan dengan pengeluar kereta Jepun itu mempunyai pegangan 15% tanpa hak mengundi dalam Renault.

 

Bila ditanya sama ada usaha penggabungan akan diusahakan semula pada akan datang, sumber kanan syarikat berkata, “Mungkinkah cakap-cakap penggabungan ini akan disentuh semula pada masa akan datang? Tiada siapa tahu. Semua orang harus bersedia ke arah itu. Namun setakat yang saya tahu, ianya tidak akan diusahakan buat masa ini. Ia memang di luar jangkaan kami sekarang.”

You might also like

Leave A Reply

Your email address will not be published.