fbpx

Risiko Gelombang Kedua Covid Terhadap Ekonomi Negara

0 54

Selama dalam perutusan khas perkembangan terkini PKPPnya, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merasa kurang senang dengan sikap sesetengah pihak yang memandang ringan ancaman pandemik Covid-19 bukan saja dari aspek kesihatan tetapi juga aspek kewangan.

 

Disebabkan situasi ini, ia sedikit sebanyak menyumbang kepada pertambahan kes Covid-19 kepada dua angka sejak kebelakangan ini.

 

Advertisement

Beliau memberi amaran sekiranya ancaman pandemik ini tidak dipandang serius, ia bakal memberi kesan buruk kepada ekonomi negara termasuk kehilangan pendapatan sekurang-kurangnya RM2 billion sehari.

Malah, ia juga boleh menyebabkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2021 tidak dapat dicapai.

 

Tambahnya, penutupan semula sektor-sektor ekonomi akibat peningkatan kes Covid-19 yang mendadak boleh menyebabkan kerugian kepada negara khususnya dari aspek ekonomi dan sektor pekerjaan.

 

“Ia juga akan menidakkan usaha-usaha kerajaan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) di bawah Pakej Prihatin dan Penjana yang bertujuan untuk memulih dan menjana semula ekonomi. Harus diingat bahawa kerajaan sudahpun mengumumkan pakej rangsangan ekonomi Prihatin, Prihatin Tambahan dan Penjana yang keseluruhannya berjumlah RM295 bilion untuk kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perniagaan dalam tempoh yang sukar ini.

 

“Lebih 2.75 juta pekerjaan berjaya diselamatkan di bawah program Subsidi Upah dan Program Pengekalan Pekerja. Selain itu, lebih 800,000 perniagaan, termasuk perniagaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerima manfaat daripada pakej-pakej rangsangan ini,” katanya.

 

Menurutnya, pakej di bawah Prihatin dan Penjana menyumbang lebih 3.0% kepada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara pada tahun ini.

 

“Sekiranya PKP terpaksa dikuatkuasakan semula, antara impaknya termasuklah unjuran pertumbuhan KDNK yang dijangka pada tahun 2021 mungkin tidak akan tercapai. Perniagaan terpaksa ditutup semula dan kadar pengangguran di tahap 5.3% bagi bulan Mei 2020 boleh meningkat secara mendadak,” tambahnya.

 

Ujar Tan Sri Muhyiddin, untuk mengelakkan semua masalah ini berlaku, semua pihak perlu memainkan peranan dengan meneruskan amalan kebiasaan baru.

 

“Kejayaan kita memerangi Covid-19 dalam fasa pemulihan ini adalah bergantung kepada diri kita sendiri. Ia bergantung kepada kesedaran kita, sikap kita dan amalan kita. Jangan kerana kes-kes Covid-19 semakin berkurangan, kita tidak lagi memakai pelitup muka di tempat awam. Pakai lah. Jangan tak pakai.

 

“Penjarakan sosial juga mesti diteruskan. Pastikan jarak anda sekurang-kurangnya satu meter dari orang lain. Elak tempat yang sesak dan sempit. Sentiasa beringat untuk elakkan sentuhan badan,” katanya.

 

Jika gelombang kedua Covid-19 melanda negara akibat kelalaian sesetengah pihak mematuhi amalan kebiasaan baru, kesannya sangat buruk.

 

Menurut Pakar Kewangan Keluarga, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri, kedudukan kewangan rakyat akan berada pada tahap kritikal sekiranya perkara itu berlaku.

 

Katanya, walaupun semakin ramai orang mempunyai kesedaran untuk menyimpan tetapi simpanan itu dilihat tidak mencukupi dalam menghadapi tempoh kecemasan.

 

“Berdasarkan kajian pakar, setiap orang perlu mempunyai simpanan berjumlah tiga hingga enam bulan gaji untuk digunakan sewaktu tempoh kecemasan tetapi kebanyakan daripada kita ketika ini lebih menumpukan kepada keperluan semasa tanpa ada simpanan.

 

“Ramai yang sudah mula sedar kepentingan simpanan, kalau ikut kajian kira-kira 60% rakyat sudah mempunyai simpanan tetapi akan digunakan dalam masa terdekat, bukannya disimpan untuk menghadapi tempoh kecemasan,” katanya.

 

Pada masa sama, Prof Fazli berharap tempoh sukar disebabkan penularan Covid-19 yang membawa kepada perlaksanaan PKP oleh kerajaan perlu diambil sebagai hikmah kepada rakyat dan mula membuat simpanan sekiranya sekali lagi terpaksa berhadapan situasi kecemasan.

 

“Sekarang ini kita boleh lihat kedudukan ekonomi telah mula pulih secara perlahan tetapi perkara itu boleh berubah jika berlakunya gelombang kedua. Kita perlu sentiasa berwaspada dan mengikuti segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan supaya tidak berlaku,” katanya.

Source Harian Metro. (2020). Negara rugi RM2 bilion sehari jika Covid-19 naik mendadak. Mohd Syah, Ahmad Afiq Syahmi dan Nadzi, Nur Izzati Izzah. (2020). Kewangan rakyat di tahap kritikal. Utusan Malaysia.
You might also like

Leave A Reply

Your email address will not be published.