fbpx

Saintis Barangkali Jumpa Cara Vaksin MRNA Merawat Kanser?

0 1,308

Bagi pesakit kanser, kebiasaannya rejim rawatan yang dilalui ialah kimoterapi dan dalam sesetengah kes, pemindahan organ. Tetapi ramai saintis percaya kunci kepada rawatan kanser ialah kunci sama digunakan dalam penghasilan vaksin Covid-19 buatan Pfizer dan Moderna: RNA pengutus/MRNA.

Secara ringkas, MRNA ialah RNA yang memindahkan maklumat pengekod daripada nukleus kepada ribosom semasa sintesis protein. Tidak seperti vaksin Covid-19 yang mencegah penularan jangkitan virus, vaksin kanser ini pula bersifat rawatan terapi sekaligus tidak menyakitkan pesakit semasa menjalani rawatan.

Advertisement

Mungkin ada menganggap MRNA ini bersifat baru tetapi hakikatnya, ia sudah lama diketahui oleh komuniti saintifik. Menurut Dr Daniel Anderson dari Institut Penyelidikan Integrasi Kanser Koch, selain digunakan sebagai cara melawan kanser dan penyakit autoimun seperti sklerosis berbilang, ia turut digunakan sebagai alat pencegahan penyakit berjangkit lain seperti virus sinsitium pernafasan.

Ketika ini, ujian-ujian percubaan fasa satu dan fasa dua sedang dijalankan bagi menguji keberkesanan, kesesuaian dan jaminan keselamatan vaksin MRNA bagi setiap rawatan kanser. Antara rawatan kanser yang diletakkan dalam ujian percubaan ialah kanser payu dara, melanoma dan kanser pankreas.

Bagi pakar onkologi Dr Van Morris dari Pusat Kanser MD Anderson Universiti Texas, vaksin MRNA mempunyai banyak kelebihan. Salah satunya ialah ia boleh digunakan ke atas pesakit yang mengetahui jenis kanser yang dihidapi mereka. Dari situ, ia boleh diubahsuai bagi membolehkannya beradaptasi melawan kanser yang dinyatakan termasuk mengenalpasti ciri biologi kanser berkenaan.

Begitupun, ada vaksin MRNA yang dihasilkan menggunakan pendekatan biasa iaitu mensasarkan protein yang muncul pada permukaan sesetengah tumor kanser. Tetapi beberapa saintis seperti David Braun merasakan kaedah sebegini sebagai kurang sesuai. Tambah pakar onkologi dari Sekolah Perubatan Harvard itu, protein bukan satu-satunya sasaran dengan mengambil kira faktor mutasi yang menjadikan sel kanser pesakit berbeza mengikut individu.

Atas sebab itulah, MRNA yang diubahsuai untuk keperluan seorang pesakit lebih sesuai sebagai kaedah rawatan kanser. Sampel tisu tumor pesakit akan diambil dan dianalisis bagi mengenalpasti mutasi yang membezakan sel kanser dengan sel normal yang sihat. Komputer akan membandingkan kedua-dua sel bagi mengenalpasti mutasi unik pada tumor sebelum keputusan ujian digunakan sebagai asas vaksin MRNA. Kebiasaannya, proses ini mengambil masa antara empat hingga lapan minggu.

Selepas vaksin disuntik ke dalam badan pesakit, MRNA akan memberitahu sel-sel yang menghasilkan protein yang dikaitkan dengan mutasi-mutasi unik pada tumor kanser. Fragmen protein tumor yang dihasilkan daripada MRNA kemudiannya dikenali oleh sistem imuniti pesakit.

Menurut Dr Morris, inilah cara MRNA melatih sel T (sel darah putih) sistem imuniti pesakit untuk mengenali 20 jenis mutasi pada sel kanser dan mensasarkan mutasi yang dinyatakan. Dari situ, sistem imuniti akan melancarkan misi pencarian dan pemus.na.han (S&D) untuk sel-sel tumor sama. Dan ini merupakan kemuncak ubat yang dibuat khas untuk individu.

Begitupun, usah jangkakan vaksin MRNA ini akan tiba seperti mana vaksin Covid-19. Bagi vaksin kanser sebegini, ia memerlukan penyelidikan dan ujian percubaan yang mungkin mengambil masa bertahun-tahun. Sebabnya mudah, vaksin kanser direka sebagai alat merawat sedangkan vaksin Covid-19 yang dihasilkan daripada MRNA bertujuan melindungi penerimanya daripada jangkitan Covid-19.

Satu lagi cabaran vaksin kanser MRNA ialah bagaimana menghasilkan nanopartikel yang boleh menghantar MRNA ke tempat sepatutnya. Dr Anderson menambah tanpa sebarang perlindungan, MRNA tidak akan memasuki sel dan cepat mus.na.h bila disuntik ke dalam badan. Nanopartikel membantu MRNA melepasi mekanisme pembersihan badan dan masuk ke sel-sel yang tepat.

Di samping itu, perlu diingat tidak semua kanser boleh diubati dengan vaksin MRNA. Tetapi bila digabungkan dengan terapi-terapi berasaskan imun seperti ubat penghalang sekatan imun atau terapi sel T angkat, ia boleh merawat penyakit-penyakit kanser yang jarang atau sukar diubati.

Dan ini berdasarkan keputusan ujian percubaan fasa satu membabitkan kombinasi vaksin MRNA dan ubat penghalang sekatan imun untuk kanser leher, kepala dan kolerektum. Lima daripada 10 pesakit menunjukkan perubahan positif di mana kombinasi dua rawatan ini mengecilkan tumor kanser leher dan kepala dengan dua lagi pesakit tidak menunjukkan sebarang kesan kanser. Bagaimanapun, 17 pesakit kanser kolorektum tidak memberi respon terhadap kombinasi dua rawatan yang dinyatakan.

Dalam kes kanser kolorektum, tidak banyak berlaku aktiviti sistem imun sekaligus membantu sel kanser lebih cepat bersembunyi. Dalam sesetengah kes, sistem imun tidak mendapat bahan mencukupi untuk mengenali rupa kanser. Untuk mengha.pu.skan tumor, sel T perlu sampai kepadanya tetapi itu tidak berlaku dalam kes kanser kolorektum.

Tetapi dalam satu kajian pada 2018, gabungan vaksin MRNA dan antibodi monoklon berupaya merawat sejenis kanser payu dara yang agresif. Ini berdasarkan ujian pada tikus yang disuntik dua kombinasi ini di mana ia menunjukkan respon anti-tumor yang baik jika dibandingkan tikus yang diberi vaksin atau antibodi monoklon.

Perkara sama dapat dilihat pada tikus yang disuntik sel melanoma dalam satu kajian lain pada 2019. Gabungan vaksin MRNA dan ubat penghalang sekatan imun yang digunakan pada tikus-tikus ini mendapati tumbesaran tumornya berkurangan secara signifikan. Ini termasuk 40% tikus yang merasakan tumor yang dihidapi sudah tiada.

Sekiranya vaksin ini terbukti dari segi keberkesanannya, pakar-pakar perubatan dan penyelidik berharap ia boleh digunakan untuk merawat sesetengah kanser, mencegah ia daripada muncul semula dan mencegahnya dari muncul dalam kalangan individu yang berpotensi menghidapnya. Dan ada yang percaya ia boleh diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Da.da.h Amerika Syarikat (FDA) dalam tempoh lima tahun.

RUJUKAN:

Colino, Stacey. (2021). New cancer treatments may be on the horizon—thanks to mRNA vaccines. National Geographic. Diambil dari https://www.nationalgeographic.com/science/article/new-cancer-treatments-may-be-on-the-horizonthanks-to-mrna-vaccines

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.