fbpx

Saintis Jumpa Cara Vaksin Melalui Tumbuhan?!

0 72

Kebiasaannya bila hendak mendapatkan vaksin, kita membayangkan jarum suntikan dan kesan sampingannya. Tetapi pernahkah kita terbayang pada satu masa kelak, kita boleh mengambilnya dengan cara memakannya?

Prospek ini boleh berlaku sekiranya pasukan penyelidik dari Universiti California, Riverside (UCR) berjaya menggunakan aplikasi teknologi mRNA menerusi tumbuhan yang boleh dimakan. Sekiranya berjaya, ia merupakan satu prospek yang melegakan sektor kesihatan negara-negara miskin.

Advertisement

Ini kerana ia dapat membuang kerumitan penyimpanan pada suhu tertentu. Pengamal-pengamal perubatan tahu betapa lecehnya menyimpan vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech dan Moderna sekiranya ia tidak digunakan. Dua vaksin ini perlu disimpan dalam peti sejuk dengan suhu -90°C dan memerlukan penggunaan ais kering.

Aplikasi teknologi mRNA ini sudah lama diketahui oleh komuniti perubatan tetapi jarang digunakan. Hanya selepas pandemik Covid-19, barulah ia mula diteliti dan dimanfaatkan dalam skala yang lebih luas.

Ia berfungsi dengan menghantar maklumat kepada badan bagaimana ia membentuk pepaku protein bila dijangkiti. Apabila ia dikesan oleh sistem imuniti badan, ia akan melawannya dan membentuk imuniti terhadap protein itu sekiranya ia muncul semula melalui jangkitan kepada badan.

Menurut Profesor Madya Juan Pablo Giraldo dari Jabatan Botani dan Sains Tumbuhan UCR, sesebuah tumbuhan boleh saja berkemampuan menghasilkan MRNA mencukupi untuk memvaksin seorang individu. Dan rahsianya terletak pada bahagian kloroplas yang boleh membawa gen yang bukan kebiasaannya sebahagian daripada tumbuhan itu.

Tambah Profesor Giraldo lagi, kloroplas ibarat sebuah kilang kecil berkuasa suria yang menghasilkan gula dan pelbagai jenis molekul diperlukan untuk tumbuhan tumbuh subur. Cuma, kuncinya di sini ialah memasukkan MRNA tanpa menjejaskan struktur kloroplas.

Sekiranya vaksin boleh dihasilkan dalam bentuk tanaman seperti sayur-sayuran, ia dapat mengurangkan kos dari segi pengangkutan dan penyimpanan. Ia sudah pasti melegakan negara-negara miskin kerana tidak mempunyai sumber mencukupi untuk mengangkut dan menyimpan vaksin diperlukan untuk populasi mereka.

Ketika ini, Profesor Giraldo dan rakan-rakan penyelidiknya melihat dua tanaman sebagai medium MRNA vaksin iaitu bayam dan salad. Jika ia dapat direalisasikan, ia bukan saja boleh ditanam di halaman rumah. Malah, ia membolehkan lebih banyak vaksin dihasilkan melalui kaedah MRNA termasuk vaksin flu tahunan di negara-negara Barat.

RUJUKAN:

Shaheen, Mansoor. (2021, 21 September). Scientists are developing plants that can deliver same vaccine technology used by Pfizer and Moderna Covid shots by being EATEN. Daily Mail.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.