Rasanya saya tak perlu lagi kenalkan kepada anda, apa itu Samsung. Samsung Galaxy merupakan antara jenama telefon pintar yang paling popular di Malaysia. Setiap kali sahaja Samsung mengeluarkan peranti mercu (flagship) yang terbaru, pasti ianya akan mempersona dan menjadi bualan ramai rakyat Malaysia.
Peranti mercu Samsung yang terkini adalah Samsung Galaxy S10, dan juga Samsung Galaxy Note 10, yang dikeluarkan tahun lepas. Jadi sudah tentulah tahun ini Samsung akan mengeluarkan Samsung Galaxy S11.
Advertisement
Tapi tahun ini, ada sesuatu kejutan yang menanti semua peminat Samsung. Dikatakan Samsung akan melancarkan Samsung Galaxy S20 pada 11 Februari ini.
Kenapa jauh sangat melangkaunya tu? Dari 10 pergi ke 20? Apa sebenarnya Galaxy S20 tu? Banyak persoalan bermain di minda siapa sahaja yang mendengar nama peranti mercu terbaharu dari Samsung ini.
Mujurlah, di ruang maya, telefon pintar rahsia dari Samsung ini sudah banyak kali dibocorkan rahsianya, melalui sumber-sumber yang boleh dipercayai. Jadi saya mengumpul semua sumber-sumber itu, dan mempersembahkan kepada anda tentang peranti mercu terbaharu dari Samsung, Galaxy S20.
Prestasi Yang Mengangumkan
Dari namanya sahaja kita boleh menjangkakan yang peranti mercu terbaharu dari Samsung ini sudah tentunya mempunyai spesifikasi dan prestasi yang mengagumkan. Berdasarkan kepada imej di atas, yang dibocorkan dari satu sumber, ia menunjukkan yang Galaxy S20 bakal dikuasakan dengan cip pemproser terbaharu dari Samsung, Exynos 990.
Semua sediakala tahu yang Samsung dengan Exynos merupakan model untuk pasaran antarabangsa. Untuk Amerika Syarikat, Samsung mungkin sekali menggunakan Snapdragon 865, buat julung kalinya dalam telefon pintar.
Selain dari itu, model asas Galaxy S20 sahaja sudah datang dengan memori capaian-rawak (RAM) 12 GB. Apatah lagi dengan Galaxy S20 Ultra yang bakal datang dengan RAM 16 GB.
Itu belum cerita lagi pasal memori simpanan. Ia bermula dari 128 GB sehinggalah ke 512 GB bagi Galaxy S20 Ultra. Apa yang pasti, Galaxy S20 bakal menawarkan komponen-komponen yang terbaik demi memberi prestati yang mengagumkan buat pengguna.
Paparan Skrin Yang Indah
Di sebalik spesifikasi dan komponen-komponen terbaik yang mengisi Galaxy S20, paparan skrin telefon pintar ini juga bakal menjadi sesuatu yang menakjubkan buat pengguna.
Kalau melihat pada imej di atas tadi, Galaxy S20 bakal datang dengan paparan skrin 120Hz. Kebiasaannya telefon pintar yang ada di pasaran hanya mempunyai paparan skrin pada 60Hz.
Telefon pintar dengan paparan skrin melebihi 60Hz setakat ini hanyalah Asus Rog Phone 2, Razer Phone, One Plus 7 Series, dan Google Pixel. Respons dari pengguna yang menggunakan telefon pintar seperti ini adalah positif.
Skrin 90-120Hz adalah lebih pantas, lebih reponsif, dan bila sahaja anda menggunakan telefon pintar seperti ini, anda akan merasakan yang telefon pintar lain lebih perlahan.
Masalahnya skrin dengan kadar segar semula (refresh rate) seperti ini hanya akan memakan bateri. Jadi tak hairanlah bila Samsung meletakkan bateri dengan kapasiti 4500 mAh sekali dengan Galaxy S20, dan 5000 mAh dengan Galaxy S20 Ultra.
Jika dulu, telefon pintar dengan 5000 mAh mampu bertahan lebih dari sehari, kali ini kita berharap dengan menanggung skrin 120Hz ianya dapatlah bertahan sekurang-kurangnya sebelum kita melelapkan mata di penghujung hari.
Kamera!!
Nama kod untuk Galaxy S20 adalah Picasso. Jadi ramai pemerhati di luar sana menjangkakan yang Samsung akan menumpukan pada kamera dan fotografi. Dan apabila imej pertama tersebar, memang benarlah seperti yang dikata.
Samsung Galaxy S20 bakal datang dengan dengan 3 lensa (untuk model asas) dan 4 lensa untul model S20 Plus. Untuk S20 Plus ia bakal datang dengan lensa 3D Time of Flight (ToF) yang berguna untuk teknologi realiti diperkasa (augmented reality) dan juga mod potret.
S20 Ultra pula pergi lebih jauh dengan menambah lensa 108 MP, bagi memastikan imej yang diambil lebih berkualiti tinggi. Ia juga bakal membantu memastikan kamera Galaxy S20 mampu mencapai 100x zum yang dipanggil oleh Samsung sebagai “Space Zoom”.
Apa yang pasti, Samsung bakal mencabar kembali takhta kamera telefon pintar terbaik yang selama ini direbut Huawei, Apple dan juga Pixel.
Berapa Harganya?
Sudah tentulah bila Samsung meletakkan komponen, kamera dan prestasi yang terbaik, harganya pasti akan melambung naik. Sesetengah pemerhati meramalkan harga Samsung Galaxy S20 akan bermula dari $850, dan akan terus meningkat naik bagi S20 Plus ($1000) dan S20 Ultra ($1300).
Jadi secara tidak lansung anda boleh menjangkakan yang harganya di Malaysia bakal berada dalam julat RM 4500-5500. Tapi semua ini hanya ramalan dan sangkaan sahaja. Samsung bakal melancarkan peranti mercunya yang terbaharu ini pada 11 Feb, dan anda boleh menontonnya di sini https://www.youtube.com/user/SamsungMobile/ pada pukul 3 pagi, 12 Feb waktu Malaysia.