fbpx

Sekaya Mana Mark Zuckerberg?

0 1,502

Mark Zuckerberg baru-baru ini mengumumkan program baharu untuk Facebook. Sebelum ini Facebook wujud sebagai media sosial. Sekarang ia telah menjadi satu perusahaan maya.

Dan Zuckerberg mahu mengembangkannya lagi. Dalam visi Zuckerberg yang baru, Facebook perlu berevolusi hingga menjadi sebuah realiti maya seperti dalam Ready Player One (Kovach, 2021).

Advertisement

Visi baru ini menunjukkan betapa berkuasanya Facebook dalam alam maya. Kuasa Zuckerberg jelas ditunjukkan, apabila Facebook dengan berani lagi lantang menyekat akaun Donald Trump susulan apa yang berlaku pada 6 Januari 2021 (Rajan, 2021).

Seorang hartawan berjaya menutup mulut seorang pemimpin negara berdaulat yang kuat. Memang imbangan kuasa zaman sekarang amat menakjubkan. Maka sekarang harus ditanya: berapa banyak kuasa Zuckerberg benar-benar ada?

Bagi yang tidak kenal Mark Zuckerberg.

Tidak perlu menafikan realiti. Zaman dulu dan sekarang sama saja. Golongan hartawan sememangnya memegang kuasa lebih banyak daripada kelompok marhaen. Maka persoalan sebenar adalah, sekaya mana Mark Zuckerberg?

Sejujurnya, beliau memang kaya.

Eksperimen utamanya iaitu Facebook benar-benar menjadi. Dan beliau tahu cara untuk mengekalkan dominasinya dalam dunia ini. Kalau tengok pada dasar media sosial, Instagram saja yang boleh menurunkan Facebook.

Lalu Zuckerberg mengambil kesempatan untuk membeli Instagram daripada pemilik asal. Sekarang ini gandingan Facebook dan Instagram mengekalkan kedudukan Zuckerberg sebagai pemain industri utama.

Walau bagaimanapun, beliau berdepan dengan cabaran besar kerana tidak dapat membeli YouTube yang sudahpun dipinang Google.

Maka sekarang dunia sosial terbahagi kepada dua, yakni YouTube yang kekal relevan untuk platform video. Manakala Facebook pula menjadi pembekal utama sebagai dunia pendapat.

Dewasa ini jelas kelihatan bahawa TikTok semakin lancar mencabar kedudukan Facebook. Ramai dalam kalangan anak muda menceburinya, sampai platform tersebut bertukar menjadi serbaguna (all-purpose).

Mungkin satu hari Facebook akan menjadi wadah untuk orang tua, memandangkan migrasi anak muda banyak membanjiri Twitter untuk dunia pendapat.

Namun buat masa sekarang, kedudukan Zuckerberg kekal relevan. Hartanya melimpah-limpah bagaikan tiada kesudahan.

Dengan kuasa kewangan, Zuckerberg mampu membuat apa sahaja. Tahun lalu saja, beliau melepasi nilai ambang untuk mendapat darjat centi-bilion. Tetapi ada satu perangai Zuckerberg yang wajar dicontohi.

Perangai ini boleh nampak jelas dalam kalangan anak-anak Melayu yang kaya. Harta boleh menggalakkan dorongan materialisme.

Ramai yang berlagak kaya sambil menayangkan iPhone terkini, padahal semua tahu itu sekadar besi buruk dalam masa beberapa tahun.

Sebenar-benar orang kaya adalah golongan yang selamba masuk kedai nasi kandar dan ambil sotong dan ketam. Itulah konsep yang dibuat Zuckerberg. Walaupun hartanya mencecah AS$100 bilion, urusan hariannya kekal marhaen. Pakaiannya tidak mewah. Kereta pula sekadar biasa, yakni “the means of basic transportation”.

Perbelanjaan sebenar Zuckerberg dilampiaskan pada pasaran hartanah (Knueven & Hartmans, 2021).

Ternyata beliau adalah seorang figura yang tidak begitu popular. Algoritma Facebook saban hari mengundang kecaman terhadap imejnya.

Dan satu hari, mesti beliau mengangkat kaki keluar daripada Facebook sepertimana Bill Gates dan Steve Jobs berundur daripada tampuk pemerintahan dalam syarikat masing-masing.

Tetapi inilah hakikat yang boleh semua ikut: bahawa Zuckerberg berjaya menghambakan harta. Sesetengah orang yang kaya akan diperhamba harta sendiri.

Kalau ikut senarai paling kaya dunia, Zuckerberg berada di tempat kelima di belakang Gates. Namun Gates juga sudah tidak lagi aktif memburu darjat paling tinggi ini.

Dan sekarang kuasa kekayaan dipegang Jeff Bezos sebagai orang paling kaya dunia dengan  harta sebanyak AS$177 bilion. Dan tiada siapa sangka Elon Musk boleh duduk di belakangnya, kukuh selepas kejayaan SpaceX.

RUJUKAN:

Knueven, L., & Hartmans, A. (2021, April 20). Mark Zuckerberg’s net worth has grown over $40 billion in the last year alone. Here’s how the 36-year-old Facebook CEO makes and spends his $114 billion fortune. Business Insider.

Kovach, S. (2021, Julai 29). Here’s how Zuckerberg thinks Facebook will profit by building a ‘metaverse’. CNBC.

Rajan, A. (2021, Jun 5). Facebook suspends Trump accounts for two years. BBC.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.