fbpx

Sektor Utama Yang Mendapat Tumpuan Belanjawan 2022

0 75

Pada Jumaat lepas, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz membentangkan Belanjawan 2022 dengan kos RM332.1 bilion. Ini menjadikan belanjawan tersebut sebagai belanjawan terbesar negara pernah dibentangkan di Parlimen. Belanjawan ini memberi fokus kepada tiga perkara iaitu pemulihan ekonomi, membina ketahanan dan merangsang pertumbuhan serta membantu peralihan fasa Covid-19 dari fasa pandemik kepada endemik.

Berikut ringkasan apa yang dibentangkan pada 29 Oktober lalu:

Advertisement

  • Pendidikan

Untuk belanjawan kali ini, Kementerian Pendidikan (KPM) mendapat pecahan belanjawan tertinggi sebanyak 16% atau RM52.6 bilion. Sementara Kementerian Pengajian Tinggi pula mendapat belanjawan sebanyak RM14.5 bilion. Ini menjadikan sektor pendidikan sebagai penerima belanjawan tertinggi dengan jumlah keseluruhan RM67.1 bilion.

Antara tambahan yang dinyatakan untuk belanjawan kali ini ialah peningkatan bantuan awal persekolahan dari RM50 kepada RM150 dengan jumlah kos RM450 juta. Ia dijangka dapat membantu lebih tiga juta orang pelajar di seluruh negara.

RM1 bilion pula diperuntukkan untuk penyelenggaraan lebih 10,000 buah sekolah yang diselia di bawah KPM. Ini termasuk peruntukan RM140 juta kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menyelenggara sekolah-sekolah agama dan maahad tahfiz. Sementara RM746 juta diperuntukkan untuk membaiki kemudahan dan bangunan sekolah yang rosak atau usang terutama di Sabah (112 buah sekolah) dan Sarawak (165 buah sekolah).

RM50 juta lagi diperuntukkan untuk pendidikan khas terutama untuk penambahbaikan kemudahan dan pembelian alat bantuan mengajar. RM400 juta lagi diperuntukkan untuk bekalan susu harian ke sekolah-sekolah. Kerajaan turut memperkenalkan subsidi RM100 kepada para guru untuk membeli peralatan elektronik untuk tujuan pengajaran.

Bagi para peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), berita baik kepada para peminjam. Menerusi belanjawan ini, kerajaan menawarkan diskaun kepada peminjam yang membuat bayaran pinjaman penuh, bayaran pinjaman separuh atau bayaran pinjaman secara berjadual.

  • Kesihatan

Dengan pandemik Covid-19 masih belum reda, tidak hairanlah mengapa Kementerian Kesihatan (KKM) mendapat peruntukan kedua terbesar belanjawan selepas KPM. Belanjawan kali ini menyaksikan KKM mendapat RM32.4 bilion untuk kos pembangunan dan operasi dengan RM4 bilion diperuntukkan khas untuk perjuangan melawan Covid-19.

Peruntukan ini dijangka dibelanjakan untuk perkara-perkara seperti pembelian dos penggalak vaksin Covid-19, ubat anti-viral dan pembelian bekalan perubatan termasuk kelengkapan perlindungan diri.

RM100 juta lagi diperuntukkan sebagai tajaan kepada para doktor dan doktor gigi kontrak yang menyertai program kepakaran perubatan. Kerajaan turut mengumumkan lanjutan perkhidmatan kontrak pegawai perubatan, pergigian dan farmasi bagi tempoh maksimum empat tahun. RM70 juta lagi diperuntukkan untuk program dan sokongan kesihatan mental.

  • Pertahanan dan keselamatan

Bagi memastikan keselamatan dan pertahanan negara berada pada tahap bersiap siaga, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri masing-masing mendapat peruntukan RM17 bilion dan RM16 bilion. Ini termasuk RM1.6 bilion diperuntukkan untuk penambahbaikan aset ketenteraan. Daripada RM1.6 bilion, RM14 juta digunakan untuk pembelian peralatan seperti bot dan payung terjun untuk pasukan khas TLDM (PASKAL) dan pasukan khas TUDM (PASKAU).

Sementara RM230 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja penyelenggaraan sekolah-sekolah di kem tentera, kemudahan tentera dan kuarters anggota tentera. Peruntukan ini termasuk penyelenggaraan lif di kuarters polis.

Kerajaan turut merancang untuk membina lapan kemudahan Pasukan Gerakan Am di Pagalungan, Sabah dan Temong Mura, Sarawak. Kemudahan-kemudahan ini dilihat penting untuk menambahbaik kawalan sempadan.

Kerajaan juga merancang untuk mewujudkan empat tempat pemeriksaan imigresen baru di Teluk Melano dan Baleh, Sarawak. Ini bagi mempermudah pergerakan trafik pengguna jalan raya ke Kalimantan Indonesia dan pembukaan laluan Teluk Melano, Lebuhraya Pan-Borneo.

RM100 juta diperuntukkan untuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). Manakala RM20 juta diperuntukkan untuk Insentif Pemerkasaan Komuniti Malaysia yang dikendalikan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

  • Pakej pembiayaan kewangan ekonomi

Bagi mempercepat dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara, kerajaan memperuntukkan RM40 bilion untuk pelbagai skim pembiayaan kewangan di bawah program Semarak Niaga. Program ini memberi fokus kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk membina semula perniagaan mereka.

Ini termasuk RM2bilion diperuntukkan di bawah Kemudahan Pemulihan dan Bantuan Bersasar Bank Negara Malaysia (BNM). Selain itu, PMKS turut ditawarkan pinjaman bebas faedah selama enam bulan sehingga RM75,000 oleh Agrobank dan Bank Simpanan Nasional (BSN). Skim sama turut ditawarkan TEKUN dengan pinjaman sehingga RM10,000 dengan moratorium selama setahun untuk pengusaha-pengusaha mikro.

Sementara RM2.1 bilion diperuntukkan untuk membantu syarikat-syarikat yang berdepan masalah penggearan kewangan melalui pelaburan ekuiti dan quasi-ekuiti.

  • Subsidi, bantuan dan insentif

Bab ini amat dinantikan rakyat Malaysia setiap kali pembentangan belanjawan dibuat. Untuk tahun 2022, RM31 bilion dibelanjakan bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat. Ini termasuk Bantuan Keluarga Malaysia berjumlah RM8.2 bilion yang dijangka memberi manfaat kepada 9.6 juta penerima.

Sementara RM274 juta diperuntukkan untuk komuniti Orang Asli termasuk bantuan sekolah dan subsidi kebajikan yang diharap membantu 200,000 orang penerima. Inisiatif lain termasuk RM200 juta diperuntukkan untuk meliputi kos pengangkutan dan pengagihan barangan am ke kawasan pedalaman. Ini bagi memastikan penduduk kawasan ini termasuk di Sabah dan Sarawak mendapat akses minyak petrol dan gas petroleum cair (LPG) pada harga berpatutan.

  • Menambahbaik komuniti Bumiputra dan mengukuhkan kedudukan agama Islam.

RM11.4 bilion diperuntukkan kerajaan dalam Belanjawan 2022 bagi memerkasa komuniti Bumiputra dan agama Islam. Ini termasuk RM6.6 bilion disediakan bagi menyediakan akses pendidikan kepada pelajar-pelajar Bumiputra di bawah MARA, Yayasan Peneraju dan UiTM. RM4.8 bilion diperuntukkan untuk kemudahan pembiayaan kewangan di bawah Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), TEKUN dan Dana Kemakmuran Bumiputra.

Kerajaan turut memperuntukkan RM200 juta untuk golongan belia mengambil bahagian dalam projek-projek kerajaan persekutuan berskala kecil. Sementara RM1.5 bilion diperuntukkan kepada Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) untuk perbelanjaan dan pembangunan. Ini termasuk pembinaan sekolah agama di Labuan dengan kos RM65 juta, merekrut 1,000 orang guru di bawah JAKIM dan bayaran sekali sahaja RM500 kepada 70,000 orang guru dan pengajar agama.

RUJUKAN

Dzulkifly, D. (2021, 31 Oktober). Budget 2022: Where will most of the money be going?. Malay Mail.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.