fbpx

Sepanyol Juara Vaksinasi EU

0 184

Setiap negara mempunyai cara tersendiri untuk mendorong warganya mengambil vaksin Covid-19. Ada yang menawarkan insentif berbentuk kewangan. Dan ada juga yang memilih mewajibkan pengambilan vaksin dan tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang enggan mengambilnya. Tetapi dalam kes Sepanyol, negara itu memilih untuk tidak mengikut dua pendekatan ini.

Dalam kalangan negara-negara Kesatuan Eropah (EU), Sepanyol mempunyai kadar vaksinasi Covid-19 yang tinggi dengan kadar 71%. Peratusan ini jauh meninggalkan Itali (61%), Perancis dan Jerman (60%). Bagi Menteri Kesihatan Carolina Darias, ini meletakkan mereka di kedudukan pertama untuk dos vaksin pertama dan lengkap vaksinasi dalam kalangan negara-negara G20.

Advertisement

Di sebalik kejayaan ini, tidak ramai tahu permulaan lewat Sepanyol dari segi vaksinasi. Pada pertengahan April lepas, tatkala vaksinasi di Britain mencecah 13%, negara itu baru mencapai 7% lengkap vaksinasi. Kelewatan itu mendorong kerajaan dan komuniti-komuniti autonomi di seluruh negara bertindak pantas.

Disebabkan ketiadaan vaksin, gelombang jangkitan Covid-19 memberi tekanan besar kepada sistem kesihatan Sepanyol. Bekas pengarah pengurusan krisis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Profesor Adjung Daniel Lopez-Acuna mendedahkan kadar kema.ti.an pada ketika itu mencecah hampir 85,000 orang. Ramai orang ketika itu kehilangan ahli keluarga disebabkan jangkitan termasuk bapa beliau sendiri yang meninggal dunia semasa berusia 94 tahun.

Menjelang Februari 2021, semuanya berubah apabila pekerja-pekerja berjaya menerima vaksin dalam tempoh kurang daripada dua bulan. Menurut Profesor Dr Vicente Soriano dari Pusat Perubatan UNIR, trend sama dapat dilihat dalam kalangan polis, pekerja sosial dan penghuni rumah-rumah penjagaan orang tua.

Selepas 95% penghuni rumah-rumah penjagaan diberi vaksin, tiada lagi kes kecemasan membabitkan penghuni rumah-rumah penjagaan orang tua. Bagi Dr Soriano, ini turut menunjukkan keberkesanan vaksin dalam mengekang penularan Covid-19.

Profesor Lopez-Acuna menambah kejayaan vaksinasi Covid-19 Sepanyol turut dipengaruhi oleh kepercayaan orang ramai terhadap sistem kesihatan negara itu. Beliau mengakui pada awalnya, usaha vaksinasi sedikit lewat berikutan kekurangan vaksin yang dibekalkan kepada sistem kesihatan.

Tetapi apabila sistem kesihatan mendapat bekalan vaksin mencukupi, sistem kesihatan awam Sepanyol melakukan tugas yang baik untuk vaksinasi. Dengan sistem perubatan negara itu terbuka kepada semua warganya tanpa penglibatan pemain insurans, dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan dan tersusun walaupun ia terpencar, ia merupakan elemen penting untuk vaksinasi.

Ini berbeza dengan sesetengah negara Eropah yang mempunyai campuran pemain kesihatan awam dan swasta dalam sistem kesihatan mereka. Campuran ini kadang-kadang tidak membantu melancarkan usaha vaksinasi mereka.

Prof Lopez-Acuna melihat sebagai solusi kepada hal itu, kerajaan pusat dan kerajaan-kerajaan di peringkat wilayah bekerjasama untuk memastikan usaha vaksinasi berjalan lancar. Selain itu, ia turut didorong oleh rasa percaya orang ramai terhadap sistem kesihatan Sepanyol. Puncanya boleh dilihat pada sejarah penubuhan sistem kesihatan negara itu.

Pakar sosiologi Profesor Josep Lobera memberitahu selepas beralih dari rejim autokratik Francisco Franco kepada demokrasi pada 1978, usaha pemodenan negara itu bermula lewat berbanding negara-negara Eropah lain. Justeru, antara aspek pemodenan Sepanyol yang muncul pada ketika itu ialah sistem kesihatan mereka.

Tambah Prof Lobera, rakyat yang hidup pada era berkenaan melihat sistem kesihatan sebagai sebahagian aspek pemodenan Sepanyol. Dan ini mendorong mereka amat mempercayai sistem kesihatan awam negara itu.

Jika dibandingkan negara-negara Eropah lain dari segi aspek keraguan vaksin, Sepanyol secara tradisi tidak berdepan masalah itu. Ini kerana menurut Prof Lobera, ia didorong oleh trauma kolektif yang dikesan sejauh era Franco. Semasa era diktator itu, beliau memilih untuk tidak memberi vaksin polio kepada warga Sepanyol.

Tatkala negara lain melaksanakan vaksinasi polio pada pertengahan 1950-an, Sepanyol hanya melakukannya lebih sedekad kemudian. Ini mengakibatkan ramai warga Sepanyol ketika itu mengalami kecacatan teruk atau ma.ti akibat polio. Sejak itu, kerajaan Sepanyol baru-baru ini mengiktiraf pesakit polio sebagai sebahagian daripada mangsa rejim.

Prof Lobera turut menamakan faktor kebersamaan sebagai satu lagi faktor mengatasi keraguan vaksin di Sepanyol. Disebabkan 55% populasi berusia 25 hingga 29 tahun masih tinggal dengan keluarga terutama golongan berisiko, ini mendorong mereka mengambil vaksin.

Seperti negara-negara lain, Sepanyol juga berdepan masalah kemunculan teori konspirasi anti-vaksin. Antara teori anti-vaksin yang muncul semasa vaksinasi berjalan ialah risiko vaksin AstraZenecca terhadap penerima vaksin yang muncul sekitar Mac dan April. Bagi Prof Lobera, kerajaan memilih pendekatan pro-aktif dalam memerangi teori sebegini.

Beliau yang juga ahli jawatankuasa strategi vaksinasi Sepanyol menambah pertama sekali, mereka memeriksa kesahihan dakwaan yang dinyatakan. Pihak Sepanyol melalui kementerian dan agensi berkaitan turut menilai risiko vaksin berkenaan dan menimbang risiko dan faedah pada sesebuah vaksin. Ini dibuat menerusi perbincangan antara pakar-pakar dari pelbagai bidang saintifik relevan.

Prof Lobera turut memberitahu impak yang dibawa ahli politik terhadap isu kesihatan sangat besar. Lantas, jawatankuasa menasihati pihak kerajaan di semua peringkat untuk tidak membincangkan isu ini dan menyerahkannya kepada orang yang arif. Ini bagi memastikan isu ini tidak dipolitikkan sehingga menjejaskan kepentingan awam.

Nyata sekali pendekatan ini gagal difahami oleh Perancis atau lebih tepat Presiden Emmanuel Macron. Semasa mengadakan sidang media bersama media asing, beliau memberitahu vaksin AstraZenecca tidak berkesan terhadap golongan berusia 65 tahun ke atas. Bagaimanapun, selepas keberkesanan vaksin itu terbukti secara saintifik, ini memaksa Macron membuat pusingan U dan mengakui beliau tersilap.

Walaupun vaksinasi kini mencecah 71%, ini bukan masa untuk berhenti. Ini kerana kes Covid-19 masih lagi tinggi jika mengikut kadar kes berbanding populasi iaitu 200 kes bagi setiap 100,000 orang. Prof Lopez-Acuna melihat usaha vaksinasi harus ditambahbaik bagi memastikan semua warga Sepanyol mendapat vaksin.

Lantas, beliau melihat sebarang idea tentang imuniti berkelompok dicapai bila mencapai peratusan vaksinasi tertentu sebagai mengarut. Prof Lopez-Acuna turut melihat usaha melonggarkan sekatan Covid-19 perlu dibuat secara berhati-hati bagi mengelak peningkatan kes yang mendadak.

Yang pasti, selepas ini, semua isu kesihatan harus ditangani sepenuhnya oleh kerajaan, bukannya mengambil pendekatan tunggu dan lihat. Tambah Prof Lopez-Acuna, isu ini mungkin tidak berlaku di Sepanyol. Tetapi di negara di mana wujudnya pengamal kesihatan swasta dan sektor insurans awam atau sektor insurans awam-swasta, kerajaan perlu memastikan polisi kesihatan mereka dilaksanakan sepenuhnya tanpa sebarang penangguhan.

Walaupun Sepanyol belum melihat keperluan untuk mewajibkan vaksin, Prof Lopez-Acuna melihat ia harus dilaksanakan demi mencegah kemunculan golongan anti-vaksin. Apabila ia sudah diwajibkan, maka tidak akan wujud perdebatan tentang soal vaksin. Tambah beliau lagi, akibat perdebatan inilah, semakin ramai individu menolak vaksin dan mendukung fahaman tersebut.

RUJUKAN

Amiel, Sandrine. (2021, 3 September). How struggling Spain became one of Europe’s vaccination champions. Euronews.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.