fbpx

Siapa Cakap Negara Korea Tak Korup?

0 6,654

Baru-baru ini, timbul satu diskusi di hangat di Twitter berkenaan tahap rasuah di Korea Selatan. Mereka merasa pelik bagaimana negara Asia Timur itu terus kekal maju di sebalik berdepan pelbagai isu rasuah berprofil tinggi. Rahsianya ialah golongan chaebol yang selalu dipaparkan dalam banyak drama Korea dan mereka bersedia melakukan apa saja untuk kekal berkuasa di sebalik agenda memakmurkan ekonomi negara.

Secara ringkas, chaebol merupakan gabungan dua perkataan Korea iaitu chae (kekayaan) dan bol (puak). Ia merujuk kepada syarikat-syarikat besar Korea yang dikawal oleh keluarga-keluarga tertentu dan mempunyai banyak anak syarikat dalam pelbagai sektor. Kebiasaannya, pemilik atau pemain penting bahagian pengurusan terdiri daripada ahli-ahli keluarga chaebol sendiri.

Advertisement

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Bagi menjamin keuntungan dan memastikan operasi syarikat lancar, chaebol mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan. Melalui hubungan ini, mereka mendapat banyak kelebihan seperti subsidi, kemudahan pinjaman bank dan insentif cukai. Ini menjadikan mereka sebagai tunjang utama ekonomi Korea Selatan termasuk pemacu era Keajaiban Sungai Han.

Atas sebab itu ada berseloroh seluruh kehidupan warga Korea dikawal oleh chaebol dari pagi sampai malam. Contoh paling mudah, pekerja Samsung. Pekerjanya tinggal di bangunan yang dibina Samsung, pakai pakaian dibuat syarikat itu, makan produk keluaran mereka dan buang air guna tandas keluaran Samsung. Betapa mendalamnya pengaruh chaebol dari bab makan hingga bab buang air!

Bagi mengukuhkan hubungan mereka dengan kerajaan terutama rejim-rejim autokratik, chaebol menawarkan rasuah atau mengahwinkan ahli keluarga mereka dengan pegawai-pegawai kerajaan. Bagi para chaebol, ia merupakan transaksi perniagaan semata-mata. Pada mereka, selagi mana kerajaan menyokong mereka, selagi itu mereka meraih keuntungan berlipat ganda saban tahun.

Bagi sesetengah figura kerajaan terutama diktator seperti Park Chung-hee, chaebol merupakan kunci pemulihan dan kemakmuran negara itu. Buktinya, ia mengubah kadar eksport Korea Selatan daripada 4% pada 1961 kepada 40% hari ini. Ini menjadikan kadar eksport negara itu daripada KDNK mereka sebagai antara yang tertinggi di dunia.

Rajah 1: Park Chung-hee

Begitu juga dari segi purata pendapatan rakyat. Pada tahun 1961, purata pendapatan rakyat Korea Selatan ketika itu hanya sekitar AS$120. Tetapi pada hari ini, ini kini berlegar sekitar AS$27,000.

Dominasi dalam dunia politik, perniagaan dan kewangan bukan pengakhiran kepada cita-cita mereka. Bagi menaikkan lagi nama dan mengelak dicukai kerajaan, ada chaebol sanggup menubuhkan yayasan biasiswa, institut akademik atau muzium-muzium seni. Kebiasaannya, kelompok yang menguruskan bahagian ini ialah ahli-ahli keluarga wanita chaebol seperti isteri, anak perempuan atau menantu mereka. Ini dapat dilihat dalam beberapa drama seperti Penthouse dan Sky Castle.

Pemilihan ahli-ahli keluarga chaebol dalam bahagian pengurusan syarikat merupakan berita basi. Walaupun perlu menjalani proses pemilihan ketat seperti orang lain, hakikatnya ia sekadar silap mata di mata undang-undang bagi membolehkan mereka dipilih. Atas sebab itu, label nakhasan (payung terjun dalam Bahasa Korea) dikenakan terhadap orang-orang ini.

Nakhasan merujuk individu-individu yang terpilih menjawat jawatan syarikat kerana pengurusan bersikap bias terhadap mereka. Bagi para chaebol, mereka tidak kisah dengan label sebegini kerana kuasa syarikat masih di tangan mereka. Tetapi label sebegini turut mewakili rasa tidak puas hati warga Korea terhadap pemilihan yang bersifat pilih kasih dan memandang sepi calon-calon yang berlatarbelakang keluarga biasa.

Jadi, pernahkah chaebol ditahan dan dikenakan hukuman atas kesalahan mereka seperti digambarkan dalam drama Penthouse musim kedua? Jawapannya, ya tetapi ia tidak semestinya bermakna hukuman berat untuk kesalahan yang dilakukan termasuk rasuah. Kadang-kadang rasuah boleh terjadi termasuk dalam soal mendapatkan pengampunan.

Perkara ini yang berlaku kepada mendiang Lee Kun-hee semasa memegang peranan sebagai pengerusi Samsung. Pada tahun 2008, beliau disabitkan di mahkamah atas kesalahan rasuah dan penipuan saham sekaligus mengakibatkannya membayar sejumlah besar denda dan menjalani hukuman pen.ja.ra selama beberapa tahun. Tidak sampai setahun hukuman dijalankan, Kun-hee dibebaskan pada 2009 selepas mendapat pengampunan presiden ketika itu, Lee Myung-bak.

Rajah 2: Lee Kun-hee

Bagaimanapun, selepas ditahan atas kesalahan rasuah pada 2018, pelbagai urusan rahsia Presiden Korea Selatan Ke-10 itu terbongkar. Salah satu daripadanya ialah Myung-bak menerima rasuah berjumlah AS$6 juta daripada Samsung sebagai tukaran kepada pengampunan presiden. Pasukan pendakwaan percaya ia digunakan untuk melunaskan yuran perundangan DAS, sebuah syarikat pembuat alat ganti kereta milik ahli keluarganya.

Rajah 3: Lee Myung-bak

Mungkin ada merasa pelik mengapa pengampunan mudah diberi kepada chaebol-chaebol ini. Bagi sesetengah presiden seperti Myung-bak dan Park Geun-hye, mereka melakukannya bagi mengekalkan kekuasaan chaebol dalam syarikat-syarikat mereka. Kebiasaannya, mereka diberi pengampunan pada sambutan Hari Pembebasan yang berlangsung pada 15 Ogos setiap tahun.

Atas sebab itu, ada merasakan chaebol-chaebol ini sebagai terlalu kebal di sebalik usaha mengurangkan kuasa oleh pihak kerajaan. Ini kerana pada era pandemik Covid-19, ia akan terus menjadi enjin penyedia pekerjaan kerajaan. Dan peluang bagi Presiden sekarang, Moon Jae-in untuk keluar daripada kemelesetan akibat pandemik ialah menerusi chaebol-chaebol. Suka atau tidak, sebarang agenda untuk menjatuhkan chaebol harus ditangguhkan terlebih dahulu…

RUJUKAN:

Jeong, Andrew. (2018). Former South Korean President Lee Indicted on Graft Charges. Wall Street Journal. Diambil dari https://www.wsj.com/articles/former-south-korean-president-lee-indicted-on-graft-charges-1523266262

Ji-hye, Jun. (2017). Liberation Day presidential pardons unlikely. The Korean Times. Diambil dari http://www.koreatimes.co.kr/www/nation/2017/07/356_233196.html

Cuppy, Lil Tea. (2020). K-Rich or Chaebol: An Ugly Inbreed of Corruption and Nepotism in South Korea. Medium. Diambil dari https://medium.com/@yewonhong1226/k-rich-or-chaebol-an-ugly-inbreed-of-corruption-and-nepotism-in-south-korea-2586394e368

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.