fbpx

Siesta Punca Produktiviti Sepanyol Rendah

0 244

Selalunya, waktu rehat tengah hari digunakan bukan saja untuk makan dan solat tetapi juga untuk melelapkan mata barang sekejap. Walaupun sekejap, itu sudah cukup untuk membantu pekerja bertenaga menghadapi baki hari bekerja.

 

Namun di Sepanyol, berikutan waktu rehat yang terlalu panjang, ia memberi kesan bukan sedikit terhadap produktiviti negara berkenaan.

 

Advertisement

Perkara ini diakui oleh Profesor Nuria Chinchilla dari Sekolah Perniagaan IESE, Universiti Navarra.

Akibat isu ini, ia mencetuskan masalah lain seperti ketidakhadiran di tempat kerja dan bekerja terlalu lama sekaligus memberi kesan kepada keseimbangan kerja-kehidupan rakyat negara itu.

 

“Di Sepanyol, kami mempunyai waktu bekerja yang lama, kadangkala dari 9.00 pagi hingga 9.00 malam dan kami membazirkan dua hingga tiga jam untuk makan tengah hari. Ini mengarut,” ujarnya yang mengetuai Pusat Keluarga dan Kerja Antarabangsa Universiti Navarra serta pernah mewakili Madrid ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

 

Asal-usul rehat makan tengah hari panjang atau siesta sebenarnya bermula semasa era P3rang Saudara Sepanyol yang meletus pada tahun 30-an.

 

Pada ketika itu, pekerja terpaksa menjalankan dua pekerjaan untuk menyara kehidupan yang payah semasa pemerintahan diktator Francisco Franco. Justeru, ini mendorong pekerja tidur sebentar sebelum menjalani syif seterusnya.

 

Selepas pemulihan demokrasi pada tahun 70-an dan ekonomi Sepanyol kembali berkembang, keperluan siesta dilihat tidak lagi wujud. Berdasarkan satu kaji selidik baru-baru ini, hanya 18% pekerja Sepanyol mengakui tidur pada waktu rehat mereka.

 

Justeru, siesta kini digunakan sebagai makan tengah hari yang lama atau berjumpa kawan-kawan, sekaligus menolak waktu kerja menjadi lebih panjang.

 

Trend ini bukan sekadar berlaku di Sepanyol sahaja tetapi di negara-negara Latin lain. Masalah ini ditambah dengan satu klausa undang-undang buruh Sepanyol yang menyatakan waktu kerja sesebuah syarikat bertambah untuk satu tempoh yang tidak ditetapkan bagi membolehkan lebih banyak masa diperuntukkan untuk menyiapkan kerja.

 

Tambah Chinchilla, “Struktur masa hari bekerja tidak pernah mengambil kira bahawa manusia itu bukan mesin atau pulau di lautan tetapi mereka mempunyai keperluan mereka. Bekerja untuk waktu yang panjang menyebabkan kita tidak boleh mengutamakan perkara-perkara yang lebih tinggi termasuk keluarga dan kesihatan diri.”

 

Justeru, solusi elegan untuk isu waktu bekerja panjang Sepanyol mudah saja: waktu kerja fleksibel. Chinchilla melihat ia dapat mengurangkan tekanan dalam kalangan pekerja. Namun untuk mengubah budaya siesta ini memerlukan keazaman dan kecekalan kerajaan demi mengelak masalah ini dari menjadi lebih parah.

 

Bukan sekali kerajaan-kerajaan yang dipilih berjanji mengurangkan waktu bekerja tetapi itu tidak berlaku. Justeru, perubahan budaya siesta harus dimulakan oleh pemain-pemain industri dan ahli-ahli akademik sepertinya.

 

Sebagai sebahagian daripada tugasnya sebagai profesor di IESE ialah memberi nasihat kepada syarikat-syarikat yang berminat melaksanakan waktu kerja fleksibel.

 

Salah satu syarikat yang melakukannya ialah Cyberclick, sebuah agensi pengiklanan digital Sepanyol. Pendekatan Cyberclick mudah iaitu tiada jadual bekerja.

 

Menurut pengasas bersama David Tomas, pengiraan waktu bekerja bukan mengikut jam tetapi mengikut berapa matlamat yang dapat dilaksanakan. Pendek kata, pekerja Cyberclick boleh bekerja mengikut kebebasan waktu mereka.

 

Bagi memastikan semua orang berpuas hati dengan bilangan cuti masing-masing, pasukan-pasukan Cyberclick berbincang dan membuat keputusan berapa cuti yang diambil dalam setahun dan bila berada di pejabat.

 

Tambah Tomas, fleksibiliti amat penting kerana ia memberi faedah kepada semua pekerja dan menarik perhatian mana-mana pekerja baru yang mahu menyertai Cyberclick.

 

Bagi salah seorang pekerja Sol Gonzalez, bekerja secara fleksibel di Cyberclick memberi peluang kepadanya menghabiskan masa dengan anak perempuannya di rumah tanpa perlu risau jadual kerja di pejabat.

 

Gonzalez menambah, “Bagi saya, bekerja dari rumah mempunyai pelbagai kelebihan termasuk menjaga anak perempuan saya bila dia tidak sihat atau makan tengah hari bersamanya sekali-sekala.”

 

Bagi Tomas pula, kebebasan ini dilihat mengurangkan tekanan kepada pekerja. Dia menambah, “Bila anda kata anda percayakan pasukan anda 100%, mereka akan membalas dengan lebih bertanggungjawab. Mereka akan kata, ‘Syarikat ini melayan saya dengan baik, jadi saya mahukan ia untuk berjaya.’”

 

Bagi syarikat-syarikat baru seperti Cyberclick, perlaksanaan waktu kerja fleksibel dilihat mudah. Namun bagi firma-firma tradisional, perkara ini sukar dilakukan.

 

Tambah Tomas, firma ini lebih mementingkan keselamatan pekerjaan berbanding kegembiraan pekerja kerana ia jauh lebih penting dalam negara yang mempunyai kadar penggangguran yang tinggi.

 

Namun begitu, perlahan-lahan firma ini mengubah cara mendapatkan pekerja baru termasuk golongan muda. Ya, isu pengangguran masih menghantui Sepanyol tetapi itu tidak menghalang mereka dari menawarkan waktu kerja fleksibel dan meninggalkan budaya siesta.

 

Dengan tawaran sebegini, mereka tidak akan berkelana ke luar negara untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik.

 

Namun untuk mengubah budaya siesta ini secara tuntas, ia memerlukan kerjasama semua terutama kepimpinan korporat di peringkat atasan.

 

Chinchilla menambah, “Prosedur-prosedur boleh diubah tetapi jika pemimpin tidak tahu, ianya tak berguna. Orang balik ke rumah dan merasa kepenatan.

 

“Kita membazirkan banyak masa yang kita sepatutnya habiskan di rumah atau untuk diri kita sendiri. Tidak hairanlah mengapa ramai merasa terlalu letih apabila mereka dipaksa bekerja terlalu lama.”

Source Park, William. (2019). Should Spain replace the siesta with flexible work?. BBC Worklife.
You might also like

Leave A Reply

Your email address will not be published.