fbpx

Sogok Rasuah Untuk Masuk Universiti

0 580

Amalan rasuah dalam institusi pendidikan bukanlah suatu benda yang janggal. Ramai dalam kalangan ibu bapa tidak mengutamakan isu halal dan haram. Janji anak dapat masuk dalam universiti terkemuka, walaupun tidak layak.

Biasanya untuk mendapatkan tempat, ibu bapa perlu membayar rasuah kepada pentadbiran. Amalan sebegini mungkin tidak mendatangkan sebarang masalah, jika berlaku sekali dua. Tetapi rasuah adalah sejenis barah. Ia akan merebak dan berkembang… tanpa henti.

Advertisement

Maka saban dekad, kualiti graduan daripada rangkaian universiti terkemuka pun tidak ke mana. Makin banyak universiti buat perangai sebegini – makin teruklah jadinya pada produk pendidikan negara.

Itulah yang berlaku di Amerika Syarikat, bermula tahun 2011. Pihak FBI menghidu gejala rasuah dalam rangkaian universiti tertinggi negara pada April 2018, kerana seorang ahli perniagaan pecah mulut.

Ahli tersebut adalah Morrie Tobin yang berpusat di Los Angeles. Beliau sedang disiasat kerana terlibat dalam aktiviti pemerdayaan.

Morrie Tobin.

Jadi beliau menawarkan maklumat untuk siasatan rasuah pendidikan dengan syarat dapat hukuman lebih ringan (Hussain, 2019).

Tobin mendakwa yang Jurulatih Rudolph Meredith meminta AS$450,000 untuk mendapatkan tempat di Universiti Yale (untuk anak Tobin). Maklumat saja tidak cukup.

Pihak FBI pula mengenakan syarat: dapatkan bukti untuk dapat hukuman ringan. Jadi Tobin pun bertemu Meredith dalam sebuah hotel di Boston pada 12 April 2018.

Meredith tidak tahu yang Tobin sedang pakai alat mikrofon pengintip. Beliau cerita habis pasa prosedur dan cara bayar. Memang habislah, sampai kena mengaku bersalah juga sebab bukti terlalu kukuh (Levitz & Korn, 2019).

Rudolph Meredith.

Perbualan antara Tobin dan Meredith membuka laluan kepada kepala besar dalam skandal ini. Memang tersenyum habis ejen-ejen FBI, kerana tidak perlu bersusah payah untuk kenal pasti dalang utama yang bernama William Rick Singer.

Skandal ini direncanakan Singer dengan menggunakan dua syarikat iaitu Key Worldwide Foundation dan The Edge College & Career Network.

Walaupun bunyi macam badan penasihat pendidikan, Singer menyalahgunakan pengaruhnya untuk menjual “tempat” dalam mana-mana universiti diingini. Sistem universiti ini akan menyediakan ujian untuk tujuan saringan kemasukan.

Nampak macam pengurus bola sepak. Tetapi Singer urus benda lain.

Singer akan membayar seorang alumni daripada Universiti Harvard bernama Mark Riddell, yang akan menjawab semua soalan dalam ujian kemasukan ini (Li, 2019). Jadi anak-anak murid masuk universiti bagaikan supergenius… padahal bangang.

Pihak FBI berwaspada habis dalam mendekati isu ini.

Mereka cuba korek sedalam mungkin, untuk mengenal pasti setiap nama yang terlibat. Siasatan mereka mencapai kemuncak, dengan 761 pelajar daripada keluarga hartawan (Winter, 2019).

Harap duit saja banyak; tetapi anak dangkal tidak bertangkal. Singer mengumpulkan AS$25 juta daripada keluarga-keluarga kaya raya ini. Kerjanya senang – buka pintu belakang untuk anak-anak mereka curi tempat pelajar sepatutnya daripada isi rumah sederhana atau miskin.

Salah seorang pesalah adalah pelakon Lori Loughlin, yang membayar sogokan untuk dua anak perempuannya termasuk Olivia Jade.

Belajar rajin-rajin lain kali, Olivia.

Teruk gila Jade kena, dimalukan daripada universiti sampai media sosial sampai ada ugutan bunuh. Bukan senang untuk tumbangkan peserta skandal. Tetapi semua dalam kalangan pelaksana sudah terjerat dalam perangkap sendiri. Singer mengaku bersalah dan berdepan dengan kebarangkalian akan meringkuk selama 65 tahun dalam penjara.

Apa-apa pun, gejala rasuah sebegini nampaknya tidak terhad dalam negara membangun sahaja. Amerika Syarikat pun ada. Cuma bezanya, Amerika Syarikat benar-benar menghentak sindiket ini sampai terbenam daripada kepala sampai ekor. Padan muka.

RUJUKAN:

Hussain, S., et al. (2019, Mac 31). The bizarre story of the L.A. dad who exposed the college admissions scandal. The Los Angeles Times.

Levitz, J., & Korn, M. (2019, Mac 14). The Yale Dad Who Set Off the College-Admissions Scandal. The Wall Street Journal.

Li, D. (2019, Mac 13). Harvard alum ‘profoundly sorry’ for taking tests for students in college cheating scheme. NBC News.

Smith, L. (2019, Mac 12). College admissions bribery scheme affidavit. The Washington Post.

Winter, T. (2019, Mac 13). College cheating ringleader says he helped more than 750 families with admissions scheme. NBC.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.