fbpx

Solusi Ekonomi 1998 Tun Dr Mahathir Asas Tindakan Ekonomi Era Pandemik

0 1,182

23 tahun lepas, Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu bergelar Perdana Menteri buat kali pertama membuat satu keputusan mengejut. Pada ketika itu, dunia atau lebih tepat negara-negara Asia berdepan krisis ekonomi yang meruncing. Tetapi apa yang dilakukan beliau kemudiannya memberi inspirasi kepada generasi pentadbir seterusnya untuk berfikir di luar kotak bila berdepan krisis ekonomi yang mencabar.

Dari segi politik, semua tahu pada awal September tahun berkenaan, Tun Dr Mahathir membuat keputusan menyingkirkan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dan lebih mengejutkan, beliau turut memutuskan untuk melaksanakan kawalan modal dan mengikat nilai mata wang ringgit kepada dolar Amerika Syarikat.

Advertisement

Ini sama sekali berbeza dengan pendekatan pentadbirannya yang sebelum ini dilihat memberi kebebasan kepada pasaran kewangan. Bila sesebuah krisis kewangan berlaku, panggilan bantuan selalunya dibuat kepada Tabung Mata Wang Sedunia (IMF). IMF bersedia memberi bantuan kepada negara peminjam tetapi bersedialah memenuhi syarat mereka yang kadang-kadang terlalu membebankan.

Dan itu yang difikirkan Datuk Seri Anwar bila krisis kewangan 1998 tercetus. Di mata para penganalisis kewangan, pilihannya merupakan pilihan selamat dan terbaik kepada negara bila mendepani krisis sebegini. Tetapi bagi Tun Dr Mahathir, mustahil ini satu-satunya solusi yang ada.

Lantas, itu mendorongnya membuat langkah bukan ortodoks yang dinyatakan di atas. Sejak diumumkan, bukan sedikit pakar kewangan meragui pertimbangan Tun Dr Mahathir atas alasan ia boleh menjejaskan pasaran. Tetapi sebaliknya, ekonomi negara kekal stabil dengan kadar faedah turun dan pertumbuhan ekonomi bertukar kepada positif. Pendekatan kontroversi dan di luar kotak itu mengejutkan ramai pihak.

Sehingga hari ini, masih ramai pakar kewangan dan pasaran berdebat tentang keberkesanan strategi krisis ekonomi Tun Dr Mahathir. Ada melihatnya sebagai satu keputusan bijak kerana dengan mengawal aliran modal, ia dapat melindungi program-program domestik dan syarikat-syarikat penting kepada pertumbuhan ekonomi.

Ada pula menganggap impak strateginya itu bersifat minimum. Pada ketika itu, krisis ekonomi 1998 sudah melepasi kemuncak dengan beberapa negara seperti Indonesia, Korea Selatan dan Thailand mula pulih selepas menerima bantuan IMF. Rizab Persekutuan AS pula memotong kadar mereka pada akhir tahun sekaligus merangsang pasaran global.

Walau apapun analisis yang dinyatakan, yang pasti, kejayaan negara memberi inspirasi kepada negara-negara lain memikirkan semula solusi pinjaman kewangan yang ditawarkan oleh institusi-institusi kewangan antarabangsa. Bukan sekali institusi seperti Bank Dunia dan IMF dikritik kerana terlalu mementingkan wang pinjaman mereka dan mengenakan syarat pinjaman yang kejam kepada peminjam.

Contoh paling mudah, Greece. Greece berjaya mendapat pinjaman IMF pada 2010 tetapi terpaksa membuat pelbagai potongan perbelanjaan bagi memenuhi syarat IMF sekaligus memberi kesan besar kepada kebajikan warganya. Antara kesan negatif yang dapat dikesan ketika itu ialah kenaikan kadar kemiskinan, pengangguran, bunuh diri dan ketagihan.

Kerana Malaysia juga terutama dalam era pandemik Covid-19, perkataan ikat perut dan belanjawan seimbang seakan sudah tidak wujud dalam kamus IMF. Dan ini mendorong sesetengah negara seperti Indonesia, India dan Filipina mengambil langkah di luar kotak mereka dalam mendepani krisis ekonomi yang dicetuskan oleh penyakit itu. Malah, sesetengah negara maju turut memilih langkah sama, satu perkara yang dianggap janggal pada era pra-pandemik.

Kerajaan yang diterajui Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) terus bertahan dengan pemimpinnya bersilih ganti di sebalik asakan pihak pembangkang termasuk Datuk Seri Anwar. Ironinya, beliau dan Tun Dr Mahathir berbaik semula sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sekaligus membawa kepada kemenangan blok Pakatan Harapan (PH) pada Mei 2018. Di sinilah juga bermulanya ketidakstabilan politik yang berterusan sehingga hari ini.

Hubungan baik duo berkenaan pasca-PRU14 ibarat kusangka panas sampai petang, rupanya hujan di tengah hari. Kedua-duanya sekali lagi bertelagah tentang jawatan Perdana Menteri yang disandang Tun Dr Mahathir sekaligus membawa kepada kejatuhan kerajaan pada awal tahun 2020.

Dari situ, kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan dengan ketua parti Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisi kerusi panas berkenaan. Bagaimanapun, akibat tindakan sesetengah ahli parlimen yang menolaknya, kerajaan beliau juga tumbang pada awal Ogos lepas.

Dan kini, orang yang menggantikan Tan Sri Muhyiddin ialah bekas Timbalan Perdana Menteri kabinetnya merangkap naib presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Seperti Tun Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin, beliau berdepan cabaran mengetuai kerajaan yang tidak stabil dan situasi gangguan politik ini akan berterusan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15.

Ia seperti skrip 1998 berulang semula, cuma protagonis dan situasinya saja berbeza. Mampukah Datuk Seri Ismail Sabri mengulangi skrip sama yang memberi manfaat kepada negara sekaligus mengukuhkan kedudukannya dari segi politik? Kita hanya boleh tunggu dan lihat apa berlaku seterusnya…

RUJUKAN:

Moss, Daniel. (2021). Two Days in Sept. 1998 Wrote the Pandemic Playbook. Bloomberg.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.