fbpx

Squid Game Dedah Krisis Hutang Peribadi Korea Selatan

0 419

Sebut saja Squid Game, semua membayangkan drama distopia Korea Selatan terbitan Netflix yang memperlihatkan jurang antara golongan kaya dengan golongan miskin. Drama yang dibintangi Lee Jung-Jae dan Jung Ho-yeon dengan penampilan istimewa Gong Yoo dan Lee Byung-hun itu turut menampilkan realiti sebenar krisis yang membelenggu warga Korea hari ini: krisis hutang peribadi.

Dalam dunia Squid Game, kebanyakan peserta dibelenggu lambakan hutang semasa direkrut perekrut permainan (Gong Yoo). Mereka kemudian akan bermain permainan-permainan tertentu dengan pemain terakhir yang berjaya bertahan akan diberi hadiah wang tunai yang banyak.

Advertisement

Tanpa permainan berdarah yang ditonjolkan dalam drama tersebut, Choi Young-soo (bukan nama sebenar), 35, melihat itulah realiti yang dihadapi warga Korea saban hari. Di Korea Selatan, sesiapa saja boleh memohon pinjaman kewangan dan prosesnya dikatakan semudah membeli secawan kopi. Tetapi bagi individu yang dibelenggu masalah hutang seperti Young-soo, mereka dianggap orang yang gagal di sisi masyarakat.

Hutang isi rumah Korea Selatan telah meningkat berkali ganda sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan kini melebihi 100% Keluaran Hasil Dalam Negeri (KDNK) negara itu. Ini merupakan sesuatu yang tidak pernah dilihat di negara-negara Asia. Ia juga turut memperlihatkan keburukan sistem kapitalisme versi Korea Selatan yang hanya tahu meraih untung dan menjadikan ramai warganya sebagai mangsa.

Isu hutang ini berlaku seiring dengan jurang pendapatan yang semakin melebar, pertambahan kadar pengangguran dalam kalangan golongan muda dan kenaikan harga hartanah di bandar-bandar besar. Di sebalik pelbagai usaha diperkenalkan oleh pentadbiran Presiden Moon Jae-in untuk mengatasi isu ini, ia masih lagi tidak berhasil dan semakin mengundang keresahan dalam kalangan rakyat terutama pekerja biasa.

Seperti mana ditonjolkan dalam Squid Game, pemberhentian kerja, kesilapan pelaburan atau nasib malang boleh saja memaksa individu berpaling kepada bank atau firma pinjaman berisiko tinggi semata-mata untuk memenuhi keperluan kewangan masing-masing. Mungkin ada menganggap pengalaman ini dirasai oleh semua tanpa mengira bangsa, agama atau fahaman politik.

Tetapi menurut Lee In-cheol dari badan pemikir Institut Penyelidikan Ekonomi Real Good, ia bukan bersifat kebetulan. Ini kerana jumlah hutang yang dimiliki warga Korea kini melebihi KDNK sebanyak 5%. Ini bermaksud secara individu, walaupun seseorang itu berjimat untuk pendapatan yang diraih sepanjang tahun, individu tersebut masih tidak boleh membayar hutang mereka. Tambah In-cheol lagi, bilangan individu yang berhutang semakin bertambah pada kadar pantas.

Situasi ini mendorong suruhanjaya perkhidmatan kewangan dan perkhidmatan kawal selia kewangan Korea Selatan menggesa pinjaman tidak diberi sewenang-wenangnya bagi mengelak lebih ramai warga Korea Selatan daripada terjebak dengan belenggu hutang. Tetapi dalam situasi pandemik Covid-19 hari ini, In-cheol melihat saranan berkenaan sebagai tidak membantu.

Bagi Young-soo, situasi hutang yang dihadapinya berlaku secara mengejut dan pantas. Dahulunya, dia pernah bekerja di Pangyo (Lembah Silikon versi Korea Selatan) di mana kerjanya memerlukan kerja lebih masa yang lama, kadang-kadang sehingga lewat malam. Bimbang ia akan menjejaskan kesihatannya, Young-soo memilih untuk berhenti. Selepas setahun berbincang dengan isterinya dan merancang apa yang mahu dilakukan seterusnya, mereka bersetuju membuka sebuah pub di Incheon.

Pada awalnya, pub tersebut berjaya menarik ramai pelanggan datang. Tetapi selepas pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia termasuk Korea Selatan, sekatan operasi mula dikenakan kerajaan untuk mengekang penularan penyakit tersebut. Bar dan restoran perlu ditutup seawal jam 9.00 malam sekaligus mengakibatkan banyak premis ini kehilangan ramai pelanggan termasuk Young-soo sendiri.

Selepas gagal membayar sewa selama empat bulan, dia berjaya mendapat pinjaman bank tetapi perlu membayar faedah sebanyak 4%. Dalam tempoh beberapa bulan, pasangan tersebut turut meminjam daripada lima buah bank dengan menjadikan kediaman mereka sebagai cagaran. Tetapi itu masih tidak mencukupi. Seperti peniaga-peniaga lain yang terkesan, lebih banyak pinjaman diambil untuk memenuhi keperluan kewangan dengan sesetengah menawarkan kadar faedah melebihi 17%.

Disebabkan situasi ini, ia memberi tekanan kepada Young-soo sekeluarga. Bagi mengelakkan situasi bertukar menjadi lebih buruk, isterinya bekerja di sebuah restoran di wilayah lain Korea Selatan. Sementara ibu bapa Young-soo menjaga dua orang cahaya mata mereka. Bagi tuan punya badan, dia kini tinggal di sebuah hostel murah dan menyara kehidupan sebagai penghantar makanan sambilan.

Yang pasti, bila ditanya tentang Squid Game, Young-soo tahu tentang drama tersebut tetapi tidak pasti dapat menontonnya atau tidak. Jika dia dapat menonton sekalipun, apa faedah melihat sekumpulan orang yang dibelenggu hutang sepertinya? Hakikatnya, Young-soo sama seperti mereka tetapi situasinya bersifat realiti.

RUJUKAN

McCurry, Justin dan Kim, Nemo. (2021, 8 Oktober). Squid Game lays bare South Korea’s real-life personal debt crisis. The Guardian.

Sumber gambar: Young-kyu, Park/Netflix/AFP/Getty Images

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.