fbpx

Sumber Tenaga Boleh Diperbaharui – Malaysia Tidak Boleh Ketinggalan

0 838

Isu perubahan iklim memaksa banyak negara untuk berubah dan beradaptasi dengan situasi ini. Bagi mengekang isu ini daripada berterusan, antara langkah yang diambil ialah menjadikan tenaga boleh diperbaharui sebagai sumber tenaga alternatif. Dan ini sesuatu yang harus diambil perhatian oleh negara.

Tenaga boleh diperbaharui ialah tenaga yang tidak memerlukan pembakaran bahan api fosil seperti minyak petrol, minyak diesel dan arang batu. Di Malaysia, terdapat pelbagai jenis sumber tenaga boleh diperbaharui seperti hidroelektrik, tenaga suria dan tenaga bahan api bio.

Advertisement

Kepentingan sumber tenaga boleh diperbaharui semakin penting hari ini. Dengan sumber bahan api fosil seperti minyak semakin berkurangan, ia sudah pasti akan mengakibatkan harga komoditi tersebut naik melambung.  

Seperti negara-negara lain, Malaysia juga bakal berdepan kesan negatif akibat perubahan iklim. Kegagalan untuk mengubah hala tuju bakal memberi kesan besar kepada ekonomi lebih-lebih lagi dengan tindakan beberapa blok ekonomi dunia. Misalnya, Kesatuan Eropah (EU) merancang mengenakan tarif terhadap negara pengimport yang mempunyai kadar pengeluaran karbon yang tinggi.

Di pihak pengguna pula, semakin ramai pengguna yang beralih kepada produk-produk yang mesra alam. Jika Malaysia tidak beradaptasi dengan semua ini, negara akan ketinggalan di belakang negara-negara lain yang memodenkan sistem tenaga mereka.

Sebelum ini, negara telah melancarkan Dasar Tenaga Negara sebagai panduan untuk membantu Malaysia beralih menjadi negara rendah karbon. Ketika ini, Malaysia hanya menggunakan 18% tenaga boleh diperbaharui dalam campuran tenaga mereka. Mengikut Projek Karbon Global, negara merupakan pengeluar karbon kedua terbesar selepas Brunei dengan 7.83 tan.

Dan pada Isnin lepas, Panel Antara Kerajaan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (IPCC) dalam laporannya setebal 4,000 muka surat menyatakan satu mesej mudah: dunia semakin panas dalam kadar yang tidak pernah dilihat dalam tempoh 2,000 tahun. Dan ia berlaku akibat perlepasan karbon dan pergantungan terhadap bahan api fosil. Sekiranya ini tidak ditangani dengan segera, perubahan iklim akan menjadi lebih ekstrem untuk tahun-tahun mendatang.

Di Malaysia, sudah ada beberapa syarikat yang mula beralih kepada tenaga boleh diperbaharui. Antara syarikat yang berbuat demikian ialah Tenaga Nasional Bhd, Sime Darby Plantations dan Ipmuda Berhad. Sementara Solarvest Holdings Bhd dan SOLS Energy Sdn Bhd pula memang dikenali sebagai pemain dalam sektor tenaga ini.

Bagi Ipmuda dan pengerusi eksekutifnya Beroz Mirdin, keputusan beralih kepada sektor tenaga boleh diperbaharui ialah satu tindakan tepat. Ini kerana sumber tenaga boleh diperbaharui merupakan satu masa depan yang harus diterima semua pihak. Ia bukan saja bersih tetapi turut menjimatkan kos.

Syarikat kini mempunyai aset untuk menghasilkan tenaga suria dan hidroelektrik serta menjangkakan akan mengembangkan lagi aset mereka pada masa akan datang. Ipmuda turut menggesa kerajaan agar mewujudkan polisi yang menggalakkan syarikat-syarikat tempatan beralih arah kepada sektor berkenaan. Jika kerajaan tidak berbuat demikian, dibimbangi firma-firma tempatan akan ketinggalan sementara firma-firma ASEAN sudah membuat peralihan.

RUJUKAN:

Ariff, Imran. (2021). In the renewables race, how can Malaysia come out on top?. Free Malaysia Today.

Sumber: Elvis Gonzalez/EPA

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.