fbpx

Sumpahan Empangan-Empangan China

0 7,952

Semua sedia maklum dengan isu perubahan iklim ketika ini, negara-negara mula beralih kepada sumber tenaga mesra alam seperti hidroelektrik dan tenaga suria. Tetapi di China, di sebalik keperluan untuk mencapai matlamat sifar karbon pada 2050 dengan menghentikan penggunaan tenaga arang batu, memilih untuk menutup 40,000 loji hidroelektriknya di seluruh negara. Jadi, mengapa keputusan ini diambil?

Keputusan ini boleh difahami dengan meneliti sejarah negara itu mengawal sungai-sungainya sejak tahun 50-an. Semasa era Mao Zedong, beliau mahukan sungai-sungai ini ‘ditawan’ dengan cara membina empangan sama ada berskala kecil mahupun besar. Kebanyakan empangan dibina untuk mengairi kawasan tanaman, menjana tenaga elektrik dan mengurangkan masalah banjir.

Advertisement

Bagaimanapun, kebanyakan empangan yang dibina langsung tidak mengambil kira aspek alam sekitar. Ini sekaligus mula memberi kesan kepada China ditambah dengan kesan perubahan iklim. Bagi sesetengah empangan, ia tidak lagi berfungsi apabila sungai yang mengairinya kering atau diatasi oleh empangan lain yang lebih besar.

Salah satu empangan hidroelektrik terawal China ialah stesen hidroelektrik Moshikou di Shijingsan, bekas pusat perindustrian Beijing. Dibina pada tahun 1956 di terusan pengalihan salah satu sungai utama Beijing, Yongding. Yongding merupakan sumber air minuman bersih penduduk sehinggalah ia dihentikan pada 90-an berikutan keadaan sungai yang semakin tercemar.

Secara teknikal, Moshikou tidak pernah dihentikan operasi secara rasmi. Tetapi ia sudah tidak boleh menjana tenaga berikutan keadaan kemarau yang semakin buruk di utara negara itu dan lebih banyak permintaan air di kawasan petempatan-petempatan. Petempatan-petempatan ini membina empangan mereka sendiri untuk menggunakan air untuk kegunaan mereka.

Di Beijing sahaja, terdapat 80 projek penyimpanan air dilaksanakan bagi memenuhi permintaan penduduk. Bagaimanapun, menjelang dekad 2010-an, sungai-sungai semakin kering dengan purata 316 hari setahun. Sekurang-kurangnya untuk Moshikou, ia ditukar peranan sebagai kawasan pelancongan dan rekreasi.

Tetapi tidak semua empangan berkongsi nasib sama dengan Moshikou. Di perkampungan Weizishui yang terletak di kawasan hulu sungai dengan perjalanan mengambil masa 90 minit, terdapat sebuah empangan lama yang dibina pada tahun 80-an. Bagaimanapun, selepas siap dibina, ia langsung tidak digunakan walaupun sekali sekaligus mendorong penduduk melabel projek berkenaan sebagai membazir dan memusnahkan alam sekitar.

Disebabkan sesetengah empangan tidak mempunyai laporan penilaian alam sekitar dan keselamatan, ia berpotensi sebagai pembunuh senyap penduduk sejak dari dahulu lagi terutama pada musim banjir musim panas. Mengikut data Kementerian Sumber Air China, 3,515 empangan pecah antara 1951 hingga 2011.

Antara insiden empangan pecah yang terkenal ialah insiden Empangan Banqiao di Henan pada 1975. Empangan itu bersama 61 empangan lagi pecah selepas tidak dapat menampung kapasiti air berikutan hujan lebat selama enam jam. Insiden yang berlaku pada Ogos tahun berkenaan menyaksikan 240,000 orang terbunuh.

Dan pada tahun ini saja, dua empangan di Inner Mongolia pecah selepas hujan lebat luar biasa. Dan bagi yang pernah melihat berita banjir buruk yang melanda Henan tidak lama dahulu yang meragut 300 nyawa, pihak tentera memberi amaran Empangan Yihelan boleh runtuh pada bila-bila masa.

Melihat kesan pembinaan empangan yang tidak terkawal, Presiden Xi Jingping mahukan semua bentuk empangan berskala kecil dihentikan. Untuk itu, satu kempen penghapusan 40,000 buah empangan dilancarkan di peringkat kebangsaan pada tahun 2018. Tetapi masalahnya, siapa yang mahu membiayai usaha memusnahkan empangan-empangan ini?

Contoh paling mudah, daerah Zhoushi di Shaanxi berhutang 100 juta yuan (RM65.68 juta) dengan sebuah syarikat yang ditugaskan memusnahkan tiga buah empangan di situ. Untuk separuh pertama 2020, daerah itu mempunyai pendapatan sekitar 135 juta yuan dan ia masih memerlukan kos yang tinggi untuk memusnahkan 26 buah stesen janakuasa.

Disebabkan kos yang tinggi, pihak berkuasa wilayah dan daerah hanya mampu mengeluarkan turbin-turbin stesen janakuasa. Tetapi empangan yang dibina terus kekal sekaligus memeningkan kepala Beijing. Bagi Ma Jun, pengarah Institut Hal Ehwal Awam dan Alam Sekitar, mungkin inilah masanya bagi pemain-pemain tenaga menanggung bil pemusnahan selepas bertahun-tahun meraih keuntungan menerusi akitiviti tenaga.

Sesetengah projek sahaja yang mendapat pembiayaan kerajaan seperti dalam kes Moshikou. Moshikou merupakan sebahagian daripada projek Rangkaian Kebudayaan Sungai Yongding yang mendapat pembiayaan Beijing sempena Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022. Salah satu lokasi terkenal ialah Kilang Besi Ibu Negara Beijing pernah menjadi loji pengeluar besi terbesar di China. Kini, ia merupakan ibu pejabat Jawatankuasa Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022.

Moshikou kini kembali penuh dengan air bukan kerana Sungai Yongding sudah pulih. Tetapi sebaliknya, China membelanjakan lebih AS$4 bilion untuk mengalihkan air Sungai Kuning masuk ke empangan berkenaan. Bagi Wang Yongchen, pengasas pertubuhan Sukarelawan Bumi Hijau, ia langsung tidak menyelesaikan permasalahan yang wujud.

Sekiranya tenaga hidroelektrik mahu dijadikan sebagai solusi karbon sifar China, maka kuncinya menurut Yongchen ialah memulihkan kembali ekosistem sungai. Apabila itu dapat dicapai, ia bukan sekadar memulihkan kembali keseimbangan alam termasuk menambahbaik kualiti air. Tetapi sama ada ia dapat direalisasikan atau tidak lebih-lebih lagi dengan kesukaran memusnahkan empangan-empangan yang tidak lagi berguna, kita hanya boleh tunggu dan lihat.

RUJUKAN:

Bloomberg. (2021). China has thousands of hydropower projects it doesn’t want.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.