fbpx

Tax Haven: Cara Orang Kaya Lari Cukai

0 935

Jika ditanya perkara apa yang paling ‘dibenci’ oleh orang-orang kaya serta pendiri-pendiri bisnes dengan nilaian syarikat serta keuntungan perniagaan mencecah jutaan ringgit setahun, semestinya kebanyakan jawapan yang kita akan dengar adalah; cukai.

Cukai atau bahasa Inggerisnya; ‘Tax’ adalah salah satu cabang utama di dalam sistem kewangan negara yang berdaulat. Keberadaan sistem percukaian inilah yang memungkinkan sesebuah negara itu dapat berfungsi dengan efisien dan baik.

Advertisement

Hipotesis mudahnya; semakin banyak cukai yang dikutip, semakin ‘kaya’ sesebuah kerajaan. Sebagai contoh, lebih daripada 50% sumber pendapatan kerajaan Malaysia bagi tahun 2020 telah disumbangkan oleh kutipan Cukai Langsung (40.9%) dan Cukai Tidak Langsung (13.2%).

Atas faktor itu, sesetengah pendiri bisnes yang licik serta elitis kaya tidak gemar menyimpan aset-aset mereka di negara yang mengamalkan dasar percukaian ketat. Maka peratusan cukai korporat dan cukai pendapatan yang dikenakan ke atas mereka memainkan peranan yang amat penting.

Malaysia menetapkan kadar cukai korporat sebanyak 24%. Peratusan ini adalah lebih tinggi berbanding tiga negara jiran terdekat; Singapura (17%), Thailand (20%) dan Indonesia (22%).

Pun begitu, kadar peratusan tersebut agak rendah jika hendak dibandingkan dengan beberapa negara lain, yakni; Korea Selatan (25%), China (25%), Vietnam (26.5%) dan Amerika Syarikat (28%).

Selain cukai korporat yang menghantui syarikat multinasional, cukai pendapatan turut dianggap sebagai bebanan besar kepada sesetengah individu yang berpendapatan lumayan.

Tidak kira siapa pun mereka, baik ahli-ahli politik yang memegang pelbagai jenis jawatan, selebriti, pemain bola sepak, peguam berpengaruh, eksekutif syarikat termasuklah ‘gangster’.

Sebagai info, pada tahun 2020; Malaysia mengenakan kadar cukai pendapatan peribadi sehingga 30%, melibatkan golongan yang berpendapatan melebihi RM2 juta ringgit sebulan.

Walau bagaimanapun, pendapatan rakyat Malaysia yang layak dikenakan cukai pendapatan bermula pada tangga gaji sekitar RM5001 dan ke atas, pada kadar 1% atau RM150 sebulan.

Oleh hal yang demikian, dengan adanya permintaan yang tinggi untuk lari daripada membayar cukai (tax evasion) menerusi jalan-jalan yang kelihatan legit; maka wujudlah beberapa buah wilayah atau negara yang dianggap sebagai ‘Syurga Cukai Luar Pesisir’ atau ‘Offshore Tax Haven’.

Menurut data terkini, antara negara atau wilayah yang telah diiktiraf sebagai ‘Tax Haven’ adalah; British Virgin Islands, Cayman Islands, Seychelles, Switzerland, Hong Kong, Taiwan, Luxemborg, Bahamas, Panama, Mauritius, Cook Islands, Monaco, dan pelbagai lagi.

Kebiasaannya negara atau wilayah tersebut mengamalkan sistem percukaian yang amat bertepatan dengan citarasa ‘penyangak’ cukai. Semestinya peratusan cukai yang dikenakan ke atas golongan ini adalah teramat rendah, jika dibandingkan dengan negara-negara lain khususnya Malaysia.

Sebarang amaun wang yang ingin dialirkan keluar daripada ekosistem ekonomi sesebuah negara berdaulat ke wilayah ‘Tax Haven’ dibuat dengan cara yang agak licik, secara zahirnya transaksi itu sah di sisi undang-undang.

Hal ini dikatakan demikian kerana, transaksi tersebut kelihatan sah kerana terdapat beberapa pihak yang bernaung di bawah agensi kewangan – didalangi oleh sekumpulan pakar kewangan yang legit dan bijak memanipulasi segala kelompongan yang ada.

Seseorang individu boleh sahaja membuka akaun bank secara mudah di dalam mana-mana bank atau institusi kewangan yang berada di wilayah ‘Tax Haven’, tanpa perlu melalui sistem saringan ketat seperti mana yang ditetapkan oleh bank-bank biasa.

Tambahan pula, jika sesuatu ‘urusniaga’ itu melibatkan amaun yang teramat besar; mereka boleh menubuhkan sebuah syarikat ‘offshore’ atau ‘shell company’ yang berdaftar di dalam wilayah tersebut terlebih dahulu bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Setelah itu, barulah sebarang bentuk transaksi kewangan boleh dilakukan dengan mudah dan ‘halal’ di sisi undang-undang; tanpa memerlukan saringan serta pengesahan yang terlalu ‘complicated’.

Apa yang lebih menarik adalah, setakat hari ini – tidak ada satu pun akta perundangan yang memiliki kuasa penuh untuk memaksa institusi kewangan yang terlibat dengan sebarang urusniaga meragukan itu untuk mendedahkan maklumat klien mereka secara terperinci.

Jikalau berlaku apa-apa pendedahan daripada ‘whistleblower’ yang melibatkan kes penyelewengan wang; mereka akan menghidupkan klausa ‘melindungi data dan privasi pelanggan’, meskipun siasatan menyeluruh seperti ‘forensic accounting’ dilakukan.

Hal ini menjadikan penjenayah-penjenayah kewangan yang bijak bersembunyi di sebalik tirai ‘Tax Haven’ itu sukar dihadapkan ke muka pengadilan, walaupun modus operandi licik mereka berjaya dilondehkan oleh segerombolan pihak berkuasa daripada pelbagai negara.

Berdasarkan kajian yang diterbitkan oleh Crivelli, de Mooij, and Keen (2015) dan Cobham and Janský (2018); anggaran kasar kehilangan hasil cukai yang ditanggung oleh kebanyakan negara di dunia hasil daripada kewujudan ‘Tax Haven’ adalah sebanyak USD$500 hingga $600 bilion setahun.

Bukan itu sahaja, pada tahun 2017; dapatan kajian ‘International Monetary Fund’ (IMF) turut mendapati syarikat-syarikat multinasional Amerika Syarikat yang tersenarai di dalam Fortune 500 telah menempatkan sebahagian aset mereka di luar pesisir dengan angka lebih daripada $2.7 trilion.

Pada tahun 2017 juga, ahli ekonomi terkenal dari Universiti California yang bernama Gabriel Zucman merekodkan bahawa; USD$8.7 trilion adalah anggaran sebenar kadar ‘Tax Haven’ yang telah dinikmati oleh sebilangan aristokrat licik di seluruh pelosok dunia sejak sekian lama.

Justeru, ‘Tax Haven’ bukan hanya menguntungkan syarikat-syarikat gergasi yang bijak mengelak daripada membayar cukai; wilayah ini turut membuka pintu kepada orang-orang kaya yang hendak lari daripada cukai.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.