fbpx

Teknologi Buat Peperiksaan Tak Relevan di Hong Kong?

0 114

Dengan perubahan teknologi hari ini dan isu perubahan iklim, suka atau tidak, norma lama harus ditinggalkan. Ini termasuk aspek pendidikan dengan salah satu daripadanya ialah sistem peperiksaan. Bagi bekas setiausaha kewangan Hong Kong, ini sesuatu yang harus diteliti oleh wilayah berkenaan jika mahu lebih ke hadapan dalam soal pembangunan insan.

John Tsang Chun-wah yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Kewangan Hong Kong selama sedekad menyifatkan pendidikan teknologi khususnya realiti maya (VR) dan kepintaran buatan sepatutnya dijadikan sebagai teras pendidikan utama. Bagi beliau, ini jauh lebih baik daripada meneruskan pembelajaran dalam talian dan pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik).

Advertisement

Rajah 1: John Tsang Chun-wah. Sumber: SCMP

Bila ditanya tentang sebab pandangan itu ditimbulkan, Tsang melihat sistem pendidikan hari ini semakin lapuk. Walaupun perubahan dalam sektor ini memakan masa untuk direalisasikan, beliau percaya ia boleh dijayakan. Ini kerana sekolah-sekolah sekitar Hong Kong mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh untuk melaksanakan apa yang dicanangnya itu.

Tsang turut melihat sistem peperiksaan hari ini hanya mengukur prestasi akademik pelajar, bukan mengukur potensi mereka secara keseluruhan. Ini disebabkan sesetengah syarikat sudah mula menyaring calon pekerja mereka untuk mencari calon terbaik walaupun ada yang datang berbekalkan segulung ijazah. Dengan trend sebegini, ia sudah pasti mengundang persoalan sama ada institusi-institusi pendidikan sudah beradaptasi dengan teknologi atau hanya melihatnya sebagai pelengkap silibus mereka.

Rajah 2: Sistem penilaian berasaskan peperiksaan dilihat semakin tidak relevan mengikut pandangan Tsang. Sumber: SCMP

Dengan situasi pandemik Covid-19 masih belum reda, ia memberi momentum kepada usaha pengajaran secara jarak jauh. Tsang menambah ia patut dikembangkan daripada kelas fizikal dalam talian kepada bagaimana cara memupuk minat pelajar menggunakan teknologi.

Salah satu caranya ialah menyokong beberapa syarikat teknologi pendidikan baru untuk menjalankan projek mereka di sekolah-sekolah. Dengan langkah tersebut, ia membenarkan pelajar menimba pengetahuan dan pengalaman dengan pakar-pakar yang terlibat. Tsang turut mencadangkan mereka dibahagikan mengikut objektif dan perkembangan pembelajaran mereka berbanding pembelajaran berdasarkan umur.

Rajah 3: Teknologi seharusnya dilihat sebagai medium pengembangan ilmu dan bukan sekadar pelengkap. Sumber: SCMP

Kenyataan beliau timbul selepas kerajaan Hong Kong bersetuju memperuntukkan dana sebanyak HK$2bil (RM1.06 bilion) untuk membantu sekolah-sekolah melaksanakan pembelajaran bercampur – gabungan pendidikan interaktif dalam talian dan pengajaran secara tradisional. Sekolah-sekolah dijangka akan mendapat peruntukan ini untuk musim persekolahan 2021-2022.

Bagi Tsang sendiri, beliau tidak berminat untuk mencabar Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam bila ditanya prospek berkenaan selepas melakukannya pada 2017. Fokus beliau kini ialah Yayasan Esperanza yang ditubuhkan pada 2018. Yayasan tersebut bakal mengadakan satu persidangan pada November ini bagi membantu syarikat-syarikat asing mempercepatkan pembangunan teknologi pendidikan agar dapat dikembangkan melangkaui pasaran negara mereka.

RUJUKAN

Lam, Nadia. (2021, 26 Oktober). Technology has made school exams unnecessary, former Hong Kong finance chief John Tsang says. South China Morning Post.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.