fbpx

Telegram Yang Naik Mencabar WhatsApp

0 202

Pavel Durov memang unik. Dulu beliau mengasaskan media sosial VKontakte untuk menguasai pasaran Rusia sebagai tandingan Facebook. Apabila rakyat Ukraine bangkit menentang Viktor Yanukovych, api kebencian anti-Rusia nampak jelas dalam VKontakte.

 Jadi pihak keselamatan Rusia berjumpa Durov untuk mendapatkan “jalan kebelakang” supaya dapat mengintip pembenci Rusia di Ukraine. Durov enggan bekerjasama. Dan lima hari kemudian, beliau dihalau dariapda syarikat sendiri (The Moscow Times, 2014).

Advertisement

Keluar saja Durov sebenarnya agak merugikan VKontakte (dan Rusia). Kerana Durov ada jentera teknologi baru. Macam mana beliau buat VKontakte untuk menjadi tandingan Facebook – macam itulah beliau buat Telegram Messenger untuk menjadi tandingan WhatsApp yang diasaskan pada Januari 2009.

Pavel Durov.

Telegram dibina dengan duit poket Durov sendiri, suatu projek perintis yang mendapat pelaburan penjelajahan (exploratory investment) berjumlah AS$1.7 bilion daripada beberapa pihak kenamaan. Menurut Business of Apps, Telegram mendapat 540 juta jumlah muat turun. Sangat ramai, tetapi jauh ketinggalan untuk dibandingkan dengan WhatsApp yang mendabik dada dengan dua bilion pengguna (Lin, 2021).

Jadi patutnya dengan WhatsApp dapat perolehan AS$15 bilion, Telegram mesti dapat sekitar AS$4.05 bilion, bukan? Salah. Pada tahun 2020, Telegram mendapat perolehan sebanyak AS$0. Sifar. Kerana pihak pengurusan percaya yang Telegram tidak patut membuat untung dalam usaha menawarkan mesej pantas dan selamat. Durov nekad mempertahan pemikiran ini – yang Telegram hanya patut berkhidmat pada pengguna… bukannya menjana berbilion-bilion.

Walaupun not-for-profit, Telegram ada pelan tindakan jika perlu dana pantas untuk apa-apa tujuan. Durov pun bukanlah miskin. Beliau dipercayai selesa dengan harta AS$17.2 bilion. Jadi Telegram memang selamat dan stabil untuk beroperasi dalam jangka panjang.

Tetapi itu bab prinsip. Telegram patut dikagumi. Tiada penafian. Tetapi dalam pertandingan aspek teknologi, prinsip not-for-profit tidak membawa sebarang makna.

Semuanya tertakluk pada prestasi dan kualiti. Sebenarnya dari segi aspek teknologi, WhatsApp sedang mengejar Telegram yang di hadapan dengan tawaran-tawaran menarik: 1) had masa bacaan yang memadamkan mesej ikut tetapan penghantar, 2) sistem sokongan kuat, 3) pemain media dalam aplikasi (in-app media player), 4) robot Internet (bots) dan 5) jumlah ahli kumpulan paling ramai.

Infografik aspek teknologi unik Telegram.

Cukup lima dulu. Senarai sebenarnya panjang. Telegram seolah-olah tahu minat pengguna. Dan WhatsApp perlu ikut jejak Telegram pula dalam perkara teknologi.

Hal ini memang unik. Patutnya WhatsApp yang untung berbilion lagi mudah menjalankan penyelidikan pasaran (market research) untuk mengenal pasti keinginan pengguna. Tetapi Telegram yang kaya dari segi semangat boleh maju ke hadapan dengan tawaran lagi menarik.

Jadi semua perbandingan – tidak kiralah dari segi kutipan perolehan atau jumlah pengguna – sebenarnya tidak relevan… sekurang-kurangnya untuk Telegram. Mereka tidak kisah. Kerana mereka naik bukan atas tujuan itu.

Tanpa keuntungan rasmi, Telegram sebenarnya suci daripada kecaman “kapitalis”. Tengok WhatsApp – macam mana terjejas akibat Facebook yang dibenci ramai. Telegram pula mengejar populariti dengan jaminan privasi dan aspek teknologi.

Jaminan-jaminan ini mengukuhkan tahap kepenggunaan Telegram. Ramai berpusu-pusu muat turun Telegram dengan tawaran “Secret Chat” misalnya yang menggunakan protokol katanya tiada negara mampu tembus (Losmithgul, 2020).

Semua ini memainkan peranan secara langsung dan tidak langsung dan menjadi punca kenapa Telegram boleh naik bertahun-tahun selepas WhatsApp. Penggunaannya pun lebih mudah. Dan diberinya mudah dan selamat, mana mungkin orang menolak.

RUJUKAN:

Lin, Y. (2021, Mei 11). 10 WhatsApp Statistics Every Marketer Should Know in 2021 [Infographic]. Oberlo.

Losmithgul, M. (2020, Oktober 23). 5 Things To Know About Telegram Messenger. Prestige Online.

The Moscow Times. (2014, April 22). Vkontakte Founder Pavel Durov Learns He’s Been Fired Through Media.

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.