fbpx

Top 5 Geopolitik Yang Perlu Anda Tahu (1-15 Julai 2020)

0 386

Advertisement

5. Hong Kong: Pengakhiran One Country, Two Systems?

Sempena ulang tahun Hong Kong kembali kepada China pada 1 Julai 1997, kerajaan China telah menguatkuasakan undang-undang keselamatan negara yang diluluskan pada Mei yang lalu, yang memberi kuasa kepada China untuk membanteras anasir subversif di Hong Kong.

 

Penguatkuasaan undang-undang ini sekali lagi mencetuskan protes penduduk Hong Kong yang melihat sistem One Country, Two Systems yang menjamin autonomi Hong Kong telah “mati” dengan adanya undang-undang tersebut.

 

Malah negara-negara asing turut menyatakan kebimbangan dengan perkembangan ini, melihat China sedang membuli Hong Kong dan tidak menghormati hak dan kebebasan rakyatnya.

Taiwan, musuh azali China kata mereka bersedia untuk menerima pelarian dari Hong Kong, begitu juga dengan UK dan Australia.

 

Jepun ingin membatalkan lawatan Presiden Xi Jinping ke Jepun, dan AS membatalkan layanan istimewa kepada barangan Hong Kong pada 14 Julai, dengan alasan Hong Kong tidak lagi mempunyai autonomi di bawah China jadi tidak perlu diberi layanan istimewa.

 

Tekanan daripada negara-negara asing ini tentu dilihat sebagai provokasi oleh China dan menyebabkan China bertindak dengan lebih agresif.

 

 

4.Caucasus: Konflik Armenia-Azerbaijan

Pada 12 Julai, dua negara di kawasan Caucasus iaitu Armenia dan Azerbaijan telah bertempuran di sempadan yang berhampiran dengan Tavush. Pertempuran ini menyebabkan 11 anggota tentera Azerbaijan dan 4 anggota tentera Armenia terkorban.

Dua negara ini telah berkonflik sejak tahun 1988 untuk merebut kawasan Nagorno-Karabakh yang majoriti penduduknya kaum Armenia.

 

Azerbaijan kalah pada tahun 1994 dan kawasan tersebut telah merdeka daripada Azerbaijan dan mendirikan Republik Nagorno-Karabakh (kini dikenali sebagai Republik Artsakh) yang tidak diiktiraf di peringkat antarabangsa. Dan beberapa konflik menyusul selepas itu.

Konflik Armenia-Azerbaijan juga boleh dilihat konflik proksi antara Russia dan Turki. Armenia adalah sekutu Russia yang mempunyai perjanjian pakatan dengan Russia menerusi Collective Security Treaty Organization (CSTO), Azerbaijan pula mempunyai hubungan akrab dengan Turki atas faktor serumpun (Turkik).

 

Hubungan Russia-Turki menjadi tegang kebelakangan ini akibat perbezaan pendirian di Libya dan juga isu Hagia Sophia. Maka tidak hairan konflik Armenia-Azerbaijan dihidupkan balik sebagai medan pertempuran tidak langsung antara dua kuasa besar.

 

 

3. Geneva, Switzerland: AS Meninggalkan WHO

Selepas pelbagai ugutan dibuat, AS akhirnya pada 7 Julai menghantar notis penarikan diri sebagai anggota Pertubuhan Kesihatan Dunia (World Health Organization, WHO), atas alasan WHO bukan lagi pertubuhan neutral tapi pro-China.

 

Penarikan AS daripada WHO akan berkuatkuasa selepas setahun bermula 6 Julai 2021. WHO akan menghadapi masalah dari segi pendanaan disebabkan AS adalah penyumbang dana terbesar di kalangan anggota WHO, menyumbang hampir 15% daripada dana keseluruhan WHO.

 

Sekarang WHO hanya mampu berharap kepada kekalahan Donald Trump dalam pemilihan presiden pada 3 November nanti.

 

Joe Biden, calon presiden dari Parti Demokrat telah menyatakan bahawa perkara pertama yang dia akan buat pada hari pertama sebagai presiden AS adalah membatalkan keputusan Trump dan menyertai semula WHO.

 

 

2. Russia: Referendum Melanjutkan Pemerintahan Putin

Pada 1 Julai, referendum telah diadakan di Russia bagi tujuan meminda perlembagaan. Antara pindaan yang paling menarik perhatian adalah berkaitan dengan had penggal presiden Russia pada masa akan datang.

 

Cadangan dibuat untuk mengehadkan penggal maksimum kepada 2 penggal (1 penggal 6 tahun), tapi pada masa yang sama, penggal-penggal bagi Dmitry Medvedev (mantan presiden) dan Vladimir Putin (presiden semasa) tidak diambil kira.

 

Jadi maksudnya Medvedev atau Putin boleh pegang lagi 2 penggal selepas penggal Putin tamat pada tahun 2024.

 

Ramai melihat pindaan itu dibuat untuk membolehkan Putin melanjutkan pemerintahannya selepas 2024 kerana perlembagaan sedia ada tidak membenarkan Putin untuk memerintah melebihi 2 penggal secara berturut-turut.

 

Dengan 79% undian menyokong pindaan, maka Putin boleh pegang satu lagi penggal sehingga tahun 2030 atau 2 penggal sehingga tahun 2036.

 

Hal ini juga bermaksud Russia akan kekal mengamalkan dasar luar yang agresif di bawah Putin untuk masa sekurang-kurang 10-16 tahun.

 

Ianya akan memanjangkan lagi perseturuan antara Russia dan AS yang melihat Putin sebagai penghalang kepada cita-cita AS sebagai kuasa unipolar.

 

 

1. Laut China Selatan: AS Mencabar Tuntutan China

Pada 13 Julai, Setiausaha Negara (Menteri Luar) AS, Mike Pompeo telah mengeluarkan kenyataan yang mencabar tuntutan China di Laut China Selatan.

 

Beliau mengatakan bahawa tuntutan China tidak menepati undang-undang laut antarabangsa yang mengehadkan wilayah perairan sesebuah negara kepada 12 batu nautikal (22 km) dari pesisir pantai dan zon ekonomi eksklusif (exclusive economic zone) kepada 200 batu nautikal (370 km) dari pesisir pantai.

 

Dengan itu, AS menyanggah tuntutan China yang terkeluar dari had 12 dan 200 batu nautikal tersebut, termasuk tuntutan China ke atas Kepulauan Paracel yang terletak dalam EEZ Vietnam, sebahagian Kepulauan Spratly & Beting Scarborough dalam EEZ Filipina dan Beting Serupai (James Shoal) dalam EEZ Malaysia (50 batu nautikal dari pesisir pantai Sarawak).

AS mula bercampur tangan dalam isu Laut China Selatan pada zaman Barack Obama (2009-2017). Dengan memberi sokongan kepada Vietnam dan Filipina (dan juga Malaysia), AS harap dapat membina satu line of defense/offense terhadap China dari Jepun, Taiwan ke Laut China Selatan, atau “First Island Chain” bagi menyekat kuasa laut China yang memberi ancaman kepada AS. Di kala hubungan AS-China yang semakin tegang, lagilah Trump nampak ruang untuk “cucuk” China.

 

Vietnam terang-terang berpihak kepada AS, dan Filipina masih “setia” dengan China. Jadi adalah menarik untuk melihat reaksi Malaysia terhadap langkah AS ini dalam masa yang terdekat.

You might also like

Leave A Reply

Your email address will not be published.