fbpx

Toyota Mengejar Mimpi Hidrogen

0 1,024

Isu perubahan iklim global memaksa banyak negara dan industri beralih kepada pendekatan yang bersifat mesra alam sekitar. Bagi industri automotif, pilihan mereka ialah beralih kepada penghasilan kenderaan berkuasa elektrik. Tetapi bagi Presiden Toyota Motors Akio Toyoda, kenderaan pilihannya dalam dunia bebas karbon ialah kereta berkuasa hidrogen.

Bagi menunjukkan konsep ini boleh direalisasikan dalam dunia bebas karbon, Toyota menghantar satu pasukan untuk berlumba di Litar Antarabangsa Okayama. Pasukan ini menggunakan kereta Toyota Yaris tetapi dikuasakan oleh enjin Toyota Corolla yang diubahsuai sebagai enjin hidrogen. Selepas memandu kereta tersebut di litar berkenaan, Toyoda melihat kenderaan bebas karbon bukan saja elektrik tetapi hidrogen.

Advertisement

Tatkala pengeluar-pengeluar kenderaan lain fokus kepada penghasilan bateri kenderaan elektrik, Toyota memilih teknologi hidrogen. Situasi ini berlaku tatkala negara-negara global mula memperketat peraturan perlepasan karbon sebagai cara memenuhi ikrar mereka semasa persidangan iklim PBB di Glasgow, Scotland baru-baru ini.

Malah, Toyota juga tidak mahu ketinggalan dalam perlumbaan penghasilan bateri kenderaan elektrik. Syarikat sudah berikrar akan menghasilkan 13 model kenderaan elektrik menjelang 2025 dan berusaha meningkatkan kapasiti pengeluaran bateri mereka. Tetapi dalam persidangan yang dinyatakan, Toyota dan Volkswagen memilih untuk tidak melaksanakan ikrar oleh gergasi-gergasi pengeluar kenderaan menghentikan pengeluaran kenderaan berkuasa fosil menjelang 2040.

Toyota beralasan sebahagian besar penduduk dunia belum bersedia untuk beralih kepada kenderaan elektrik. Tetapi ramai mengesyaki ia didorong juga oleh faktor politik. Sekiranya syarikat itu beralih kepada kenderaan elektrik, ia bakal menyaksikan sebahagian besar pekerjanya diberhentikan. Ketika ini, Persatuan Pengeluar Automotif Jepun menganggarkan industri itu menyediakan pekerjaan kepada 5.5 juta orang.

Rajah 1: Enjin hidrogen V8 Toyota yang dipamerkan di Litar Antarabangsa Okayama. Sumber: Bloomberg

Begitupun, enjin hidrogen yang dicanang oleh Toyota mempunyai beberapa isu yang perlu diatasi. Pertama, ia masih mengeluarkan karbon sebanyak 2% dengan eksosnya dikesan mempunyai sisa nitrogen oksida. Ini menjadikan enjin hidrogen bukan bersifat bebas karbon seperti didakwa. Walaupun pengeluaran bateri kenderaan elektrik menghasilkan karbon, kenderaan tersebut bebas daripada elemen berkenaan bila bergerak di jalan raya.

Selain itu, saiz tangki bertekanan tinggi yang besar juga dijangka akan mengundang ketidakselesaan kepada pemandu. Ini kerana tangki sebegini menghalang penglihatan pemandu untuk melihat kenderaan dari arah belakang.

Isu keselamatan terutama semasa mengisi tangki turut melewatkan pembangunan kenderaan sebegini. Untuk perlumbaan di Okayama, pasukan Toyota terpaksa mengisi bahan api jauh dari kawasan pit. Faktor ini turut melewatkan pembinaan stesen-stesen hidrogen di Jepun – hidrogen merupakan komponen penting untuk masa depan mereka yang bebas karbon. Pada akhir Ogos lepas, terdapat 154 stesen hidrogen dan bukan 160 seperti disasarkan kerajaan pada Mac lepas.

Di samping itu, Toyota harus berfikir tentang nilai jualan kenderaan ini di pasaran komersial. Sebarang kenderaan hidrogen yang dijual mestilah pada harga berpatutan dan mampu bersaing dari segi jarak dan kos perjalanan dengan kenderaan konvensional dan elektrik. Jika semua objektif ini gagal dicapai, maka Toyota harus mengatakan Sayonara kepada idea ini sebelum ia menjadi projek gajah putih!

RUJUKAN

Shiraki, M. dan Kelly, T. (2021, 15 November). As autos go electric, Toyota chases hydrogen dream. Reuters.

Sumber gambar: Bloomberg

You might also like
Leave A Reply

Your email address will not be published.