
Usah Tiru Resepi Bandar Besar Untuk Bangunkan Bandar Kecil
Bukan satu rahsia dengan perkembangan urbanisasi, bila mencecah satu paras tertentu, bandar-bandar kecil ingin menukar taraf mereka sebagai bandar-bandar besar. Kononnya dengan menukar status mereka itu, lebih banyak pembangunan dan limpahan ekonomi masuk ke kota-kota kecil ini. Tetapi dalam dunia hari ini terutama dengan mengambil kira isu perubahan iklim, mentaliti perancangan bandar ini harus diubah.
Perancang bandar Ihsan Zainal Mokhtar berpandangan bandar-bandar kecil seharusnya menyediakan pelan perancangan tempatan yang menetapkan hierarki perbandaran sekaligus mengehadkan pembangunan pusat bandar atau daerah perniagaan pusat (CBD). Pendekatan ini dilihat jauh lebih baik daripada pendekatan pasaran bebas di mana pasaran menentukan bentuk pembangunan bandar-bandar kecil.
Advertisement
Tambah Ihsan lagi, pendekatan pasaran bebas lebih banyak membawa masalah daripada manfaat. Ini kerana pendekatan sebegini hanya akan mengundang kemusnahan alam sekitar, kekurangan sumber bekalan air untuk penduduk dan mencetuskan masalah trafik pengguna jalan raya.
Tambahnya, tidak semua bandar atau taman baru punya potensi berkembang sebagai bandar-bandar besar setaraf Johor Bahru, Kuala Lumpur, Petaling Jaya atau Pulau Pinang. Baginya, lebih baik bagi bandar-bandar kecil berkembang mengikut kelajuan mereka dan pada masa sama, berkembang pada kadar dua kali ganda.
Ihsan melihat mementingkan pembangunan fizikal semata-mata tidak penting langsung kepada pertumbuhan sesebuah bandar atau kotaraya. Sebaliknya, kegiatan ekonomi yang kukuh dilihat dapat menjamin kemasukan wang dalam sesebuah bandar atau bandaraya daripada membuat projek pembangunan sepanjang masa.
Atas sebab itu, beliau menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menyekat pemaju-pemaju daripada meniru bulat-bulat perancangan bandar-bandar besar termasuk melaksanakan projek-projek pembangunan fizikal. Sebaliknya, PBT harus menekankan soal perancangan bandar lestari yang bersifat jangka panjang kepada pemaju dengan mengambil kira pertambahan populasi, trafik dan bekalan air bersih.
Selain itu, Ihsan turut mengingatkan PBT agar sentiasa mendapatkan maklum balas tentang sebarang perubahan pelan perancangan bandar mereka. Ini bagi membolehkan penambahbaikan dapat dibuat sekaligus menjamin kualiti kehidupan dan kesejahteraan mereka pada masa hadapan.
Mungkin ada menganggap pandangan Ihsan sebagai omong kosong. Tetapi hakikatnya, beliau merupakan bekas presiden Institut Perancang Bandar Malaysia (MIP) dan tampil dalam satu forum bersempena pelancaran Ekspo Bandaraya Malaysia 2021 yang dibuat secara maya baru-baru ini. Selain Ihsan, pengarah eksekutif Program Petempatan Manusia PBB Maimunah Mohd Sharif turut tampil sebagai panel dengan presiden MIP Noraida Saludin sebagai moderator.
Ekspo Bandaraya Malaysia dijangka berlangsung secara maya dari 8 November hingga 8 Disember. Selain pameran secara maya, forum selama lima hari akan diadakan bagi membincangkan pelbagai isu urbanisasi termasuk perkongsian idea dan cabaran yang timbul akibat urbanisasi.
RUJUKAN:
Nambiar, Predeep. (2021). No need to copy big cities, expert advises small towns. Free Malaysia Today.